Rabu, 30 Mac 2011

ISU BAHASA : Imperialisme bahasa Inggeris menghakis jati diri nasional

Prof Dr Teo Kok Seong

BI sepatutnya jadi sumber ilmu dianggap lambang prestij

TOHMAHAN terhadap pencinta bahasa Melayu, sama ada mahasiswa, pensyarah mahupun sesiapa saja yang memiliki rasa bangga, sayang dan setia terhadapnya, sebagai golongan fanatik, bukan saja tidak tepat, malah tuduhan melulu itu tidak sensitif langsung kepada sentimen nasionalisme Melayu, yang menjadi asas kepada nasionalisme Malaysia. Memburukkan lagi keadaan, prasangka begini datang dari kaum Melayu sendiri, di kalangan pemimpin pula, untuk menyelar pencinta bahasa Melayu yang ingin melindungi warisan Melayu ini, yakni bahasa leluhur mereka daripada dikuasai bahasa Inggeris yang lebih berprestij.

Sehubungan itu, pencinta bahasa Melayu bukan fanatik yang terlalu taksub sehingga tidak berpijak di bumi nyata dalam hal penguasaan dan penggunaan bahasa Inggeris di negara ini. Mereka tidak sekali-kali menolak kepentingan bahasa Inggeris sebagai lingua franca dunia dan bahasa ibunda zaman globalisasi.

Malah, mereka ikut menyarankan keperluan menguasai bahasa ini dengan sebaik mungkin oleh rakyat. Ini dilakukan agar rakyat tidak ketinggalan dalam tuntutan kepenggunaan tempatan dan pasaran antarabangsa yang diidentifikasikan dengan bahasa Inggeris.

Nilai pragmatik bahasa Inggeris di Malaysia dan juga di merata tempat di dunia, adalah sentiasa tinggi. Dengan ini, pelbagai usaha diperkenal untuk memajukannya. Bagaimanapun, dalam keghairahan mempertingkat penguasaan dan penggunaan bahasa Inggeris, kaedah pembelajaran didapati mempunyai impak bukan saja atas jati diri linguistik rakyat, tetapi juga terhadap jati diri nasional.

Justeru, kaedah yang tidak sesuai didapati boleh mencabar kejayaan bahasa negara di sesebuah tempat itu, sama ada untuk tujuan penyatuan mahupun kemajuan.

Sesungguhnya julat kaedah pembelajaran ini adalah luas. Pada satu penghujung, mereka yang mempelajarinya didapati tidak pun teruja walaupun ia bahasa yang hebat. Dalam kes begini, masyarakat Jepun secara umumnya didapati tidak memperlihat rangsangan berlebihan ketika mempelajari bahasa Inggeris.

Dalam hal ini, pelajar Jepun menguasai sistem bahasa Inggeris sebaik mungkin, sama saja seperti yang berlaku ketika mereka mempelajari mata pelajaran lain. Dengan kata lain, bahasa Inggeris tidak dipelajari dengan minat dan semangat yang berkobar-kobar sehingga boleh mempengaruhi pemikiran dan sikap mereka sebagai orang Jepun.

Hal sebaliknya berlaku pada satu penghujung lain. Golongan elit di sesetengah negara didapati mempelajari bahasa Inggeris dengan penuh teruja. Mereka didapati hanya boleh berbicara dengan baik apabila menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya.

Disebabkan mereka tidak fasih ketika menggunakan bahasa negara sendiri, mereka bukan saja dianggap sebagai orang asing di bumi sendiri oleh rakyat jelata. Tetapi lebih mengecewakan ialah mereka tiada jati diri etnik dan nasional pada diri mereka.

Di antara dua penghujung ini, wujud keadaan yang memperlihat pelbagai cara bahasa Inggeris menceroboh lalu mengubah jati diri etnik sesetengah kaum dan juga jati diri nasional di beberapa negara. Impak begini berlaku di Singapura yang mana sebilangan besar belia Cina dilaporkan menyesal dilahirkan sebagai orang Cina. Mereka ini yang dari segi budayanya bukan lagi Cina, merungut bahawa mereka sepatutnya dilahirkan sebagai orang Barat.

Jati diri sedemikian sudah tentu tidak unggul untuk jati diri etnik Cina. Ia juga tidak ulung untuk mewakili jati diri nasional republik itu yang ingin menonjol sistem nilai Asia dalam bentuk kepelbagaian budaya Cina-Melayu-India.

Sebetulnya kaedah pembelajaran bahasa Inggeris itu amat penting dalam usaha warga dunia menguasai bahasa dunia yang penting ini. Perkara inilah yang menjadi kebimbangan pencinta bahasa Melayu agar penguasaan dan penggunaan bahasa Inggeris di negara ini berlaku atas landasan yang tidak boleh sekali-kali menyebabkan bahasa Melayu terpinggir di tanah air sendiri.

Landasan itu adalah kepentingan bahasa Inggeris dalam bidang pendidikan dan arena antarabangsa. Berlandaskan kepercayaan dan kefahaman begini, kaedah pembelajaran bahasa Inggeris perlu dihadkan, pertamanya kepada peri pentingnya sebagai bahasa sumber ilmu. Dalam konteks ini, bahasa Inggeris perlu dipelajari sebaik mungkin untuk memahami kandungan ilmu yang rata-rata ditulis dalam bahasa Inggeris.

Pemahaman dalam bahasa Inggeris sebagai bahasa sumber ilmu ini kemudian diungkapkan semula dalam bahasa Melayu selaku bahasa ilmu. Ini bukan saja cara yang amat nasionalistik sifatnya untuk kita membina peradaban dan tamadun di Malaysia. Tetapi ia juga seiringan dengan Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu-Memperkukuh Bahasa Inggeris.

Dasar ini adalah dasar sosial penting untuk pembentukan dan pengekalan jati diri nasional di Malaysia, selain menangani persaingan antara bahasa negara ini dengan bahasa antarabangsa yang penting itu, secara bestari.

Seterusnya bahasa Inggeris dipelajari kerana ia adalah bahasa antarabangsa paling penting. Dengan penguasaannya rakyat Malaysia apabila perlu berinteraksi dengan masyarakat antarabangsa, sudah tentu dapat menggunakan bahasa pengantar ini dengan berkesan sebagai medium komunikasi. Ini dapat dilakukan ketika mengendalikan hubungan antarabangsa, selain terbabit dalam perdagangan dan perjalanan antarabangsa.

Inilah kaedah pembelajaran terbaik untuk melindungi bahasa Melayu daripada dikuasai oleh bahasa Inggeris. Sehubungan itu, kita perlu memastikan bahasa Inggeris di Malaysia tidak dipelajari atas landasan kekuasaan bahasa Inggeris. Ini bermakna kita tidak boleh mempelajarinya kerana kuasa dan prestijnya dalam pelbagai bentuk imperialisme. Antaranya adalah imperialisme budaya yang meliputi media, pendidikan, sains dan teknologi.

Apabila bahasa Inggeris dipelajari atas landasan ini, minda dan kehidupan rakyat Malaysia, akhirnya ditakluki. Penaklukan ini antaranya mewujudkan keadaan yang memperlihat rakyat benar-benar taksub bahawa bahasa Inggeris saja yang mampu memajukan negara, selain menyatupadukan rakyat berbilang kaum. Oleh itu ia perlu digunakan untuk mengendalikan hal yang menyangkut semua aspek kehidupan yang maju sifatnya. Antaranya pendidikan, urus tadbir negara, perundangan dan kegiatan budaya tinggi lain.

Penulis ialah Timbalan Pengarah Institut Alam dan Ketamadunan Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Sumber : http ://www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen