Selasa, 29 Mac 2011

ISU BAHASA : Suka duka bahasa Melayu

Oleh Adli Shahar
adli@bharian.com.my

Gagal mengangkatnya kerana sikap penutur

HATI siapa yang tidak sebak apabila kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di pusat pengajian tinggi dipersoalkan dan bertambah melukakan apabila kenyataan sedemikian diluahkan pemimpin tertinggi sebuah universiti.

Isu Naib Canselor, Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Ghauth Jasmon, memperlekehkan bahasa Melayu dan pelajar Akademi Pengajian Melayu (APM) pada 14 Februari lalu, masih menjadi sebutan pada Dialog Orang Muda (DOM) - Bahasa Melayu di IPT: Melukut di Tepi Gantang.

Hinanya bahasa Melayu dan APM di mata Prof Ghauth sehingga didakwa menjadi punca kegagalan UM untuk termasuk dalam senarai antara 100 universiti terbaik sehingga menyebabkan pelajar akademi terbabit mengemukakan memorandum bantahan.

Memorandum bantahan pelajar APM sudah diserahkan kepada Naib Canselor pada 24 Februari lalu dan sudah pun dijawab beliau dengan pendirian bahawa beliau tidak akan memohon maaf dan tetap mempertahankan tindakannya.

Panel forum sependapat tanggapan negatif terhadap bahasa Melayu adalah berkait rapat dengan sikap tidak yakin kepada penggunaan Bahasa Melayu, selain perkembangan situasi semasa yang banyak menekankan penggunaan bahasa Inggeris dalam pelbagai aspek kehidupan.

Calon Sarjana Bahasa Melayu Linguistik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Mohd Tarmizi Hasrah berkata, masalah itu berpunca daripada sikap penutur bahasa Melayu dan perlu diatasi, selain penggubal dasar perlu mewujudkan situasi menggalakkan penggunaan bahasa Melayu di IPT.

“Pelajar sekarang diarah menguasai bahasa Inggeris dengan alasan mereka mendapat peluang besar memperoleh pekerjaan apabila tamat pengajian. Ramai juga menganggap bahasa Melayu tidak mantap untuk digunakan dalam bidang sains, teknologi dan ekonomi. Bagaimanapun tiada kajian mengenainya,” katanya pada forum di Rumah PENA, Jalan Dewan Bahasa, baru-baru ini.

Editor Penyelidikan Al-Ameen Serve Holdings, Muhammad Syukri Roslim pula, yakin penekanan berlebihan kepada bahasa Inggeris oleh IPT menyebabkan pelajar mempelajarinya setakat untuk memenuhi keperluan dan bukan kerana menguasai ilmu.

“Perkara ini boleh diatasi sekiranya penutur bahasa Melayu membuang tanggapan bahasa Inggeris yang akan memberi kemajuan kepada negara. Kita perlu sedar sudah banyak kemajuan dalam penghasilan istilah bahasa Melayu,” katanya pada dialog yang dipengerusikan Ahli Jawatankuasa Biro Penulis Muda PENA, Muhammad Lutfi Ishak.

Kurangnya penterjemahan hasil kajian ilmiah bahasa lain ke bahasa Melayu dilihat Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz, turut menjadi salah satu punca bahasa terbabit tidak lagi dilihat sebagai bahasa ilmu.

Perkara terbabit didakwa berlaku kerana kurangnya insentif yang diberikan kepada penterjemah yang dapat mendorong mereka untuk menterjemahkan jurnal terbaru pengkaji luar dalam tempoh segera.

“Kita boleh melihat perkara ini berlaku apabila tulisan seperti makalah diberi bayaran lebih tinggi berbanding kerja penterjemahan,” katanya pada dialog bulanan DOM anjuran Biro Penulis Muda, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dengan kerjasama Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM).

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan