Jumaat, 11 Mac 2011

ISU PENDIDIKAN : IPT hab inovasi, penyelidikan negara

Oleh Saudi Hamzah
sofeeham@bharian.com.my

Kementerian mahu bangun, wujud persekitaran pengajian tinggi pusat ilmu unggul, insan kompeten


MEMPERTEGUHKAN penyelidikan dan inovasi adalah satu daripada tujuh teras utama yang digariskan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi menjadikan Malaysia sebagai Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi menjelang 2020. Pada masa sama, KPT juga mahu membangun dan mewujudkan persekitaran pengajian tinggi tempatan yang menggalakkan ke arah menghasilkan pusat ilmu yang unggul dan insan yang kompeten, berinovasi serta berakhlak mulia untuk memenuhi keperluan negara dan antarabangsa.

Pada hakikatnya, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sudah banyak kali menyentuh aspek mengupayakan penyelidikan dan inovasi. Pada beliau, pencapaian sesebuah negara hari ini sebahagian besarnya bergantung kepada keupayaan dan kekuatan dalam membangunkan sumber manusianya dengan nilai tambah dalam bidang inovasi dan kreativiti.

Apabila Malaysia membuat keputusan untuk menganjak dan mentransformasikan pembangunan ekonomi negara bertunjangkan inovasi dan kreativiti, KPT akan memastikan institusi pengajian tinggi (IPT) dalam negara berupaya menjadi pemain utama dan menjadi hab kepada inovasi di negara.

Selain keperluan untuk mempunyai ekosistem inovasi dan budaya yang tepat terhadap inovasi dan penyelidikan dan pembangunan (R&D), KPT akan membangunkan keupayaan dalam melaksanakannya melalui kaedah ‘selectivity and concentration’.

Dengan penambahan dana untuk Fundamental Research Grant Schemes (FRGS) sebanyak RM741 juta untuk dua tahun pertama pelaksanaannya, kementerian perlu strategik dalam pengagihan dana terbabit.

Ini penting supaya pelaksanaan R&D mencapai tahap yang berkualiti dan memberi impak yang besar kepada negara terutama kepada negara berpendapatan tinggi. Untuk itu beberapa inisiatif baru akan diperkenalkan dengan harapan dapat menyumbang kepada merealisasikan peranan pengajian tinggi dalam inovasi negara.
Ini termasuk meningkatkan output penyelidik dalam negara kerana pada tahun lalu, IPT hanya mempunyai 21,000 penyelidik berbanding sasaran kerajaan 200,000 penyelidik pada 2020. Untuk itu, kerajaan sudah memperluaskan sasaran Program MyBrain15 melalui program MyMaster, MyPhD dan PhD industri yang akan meningkatkan jumlah pemegang PhD dalam negara ini.

Ini diikuti pemindahan Jaringan Penyelidikan Pendidikan Malaysia atau Malaysian Research and Education Network (MYREN) kepada KPT sejak 1 Januari 2011. Rangkaian berprestasi tinggi ini akan memberikan KPT satu infrastruktur rangkaian termaju khusus yang berpotensi untuk kolaborasi global termaju dalam bidang pendidikan dan penyelidikan.

Pada masa sekarang rangkaian ini diperluaskan untuk merangkumi semua 20 IPTA, 20 politeknik, 20 kolej komuniti, lima IPTS, dan dua institut penyelidikan. Rangkaian ini akan berhubung terus dengan komuniti penyelidik dan pendidik yang berada di Asia Pasifik, Australasia, Eropah dan Amerika Utara melalui Trans Eurasian Information Network 3 (TEIN 3).

Dengan itu, kesemua penyelidik dan pendidik yang dihubungkan dengan MYREN akan berupaya untuk berkomunikasi dan menjalin kolaborasi dalam ruang kerja maya dengan rakan kerja dalam dan luar negara dengan lebih berkesan dan pantas.

Selain itu, nafas baru diberikan kepada aktiviti pengkomersialan hasil R&D daripada IPT. Usaha gigih dan berterusan dengan kerjasama agensi dalam dan luar negara akan terus dipergiatkan lagi untuk membawa produk dan harta intelek (IP) hasil R&D IPT ke pasaran dunia dan global, termasuk kolaborasi dengan Unit Inovasi Khas (UNIK) di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan agensi lain.

Inisiatif berikutnya ialah menubuhkan Pusat Sitasi Malaysia (PSM) yang akan mula beroperasi sepenuhnya pada tahun ini untuk mengindekskan semua hasil penerbitan dalam negara sama ada dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris, bahasa Arab, bahasa Mandarin dan Tamil.

“KPT peka dengan nilai dan bilangan sitasi yang dirujuk yang menjadi asas kepada ranking dunia dan pengiktirafan profesor tersohor.

“Saya berharap PSM akan mampu melonjakkan lagi bilangan sitasi penyelidik Malaysia melalui kerjasama dengan ISI-Thomson Web of Science, SCOPUS dan Islamic Science Citation Centre (ISC),” kata Mohamed Khaled.

Tidak ketinggalan, mewujudkan beberapa konsep geran penyelidikan yang baru. Ini termasuklah Long Term Research Grant Scheme (LRGS), Exploratory RGS (ERGS), dan Prototype Research Grant Scheme (PRGS) sebagai tambahan kepada Fundamental Research Grant Scheme (FRGS) yang sedia ada.

PRGS adalah inisiatif baru KPT untuk menggalakkan lebih ramai penyelidik IPT untuk meneroka bidang baru setelah sekian lama terbabit dalam bidang R&D semata-mata. Program ini mestilah dilaksanakan dengan tersusun kerana di sinilah bermulanya inisiatif KPT untuk memastikan pengajian tinggi menyokong hasrat kerajaan dan negara dalam menjadi negara maju berpendapatan tinggi.

Inisiatif bagi memantapkan keupayaan Penyelidikan IPTA-IPTS. KPT akan turut memberi keutamaan dalam pengagihan geran FRGS kepada projek yang membabitkan kolaborasi kedua pihak ini.

“Saya berharap ini akan memantapkan lagi kebolehan penyelidikan IPTS. Dengan ini sumbangan IPT negara kita terhadap penghasilan inovasi dan produk yang boleh dikomersialkan oleh IPT kita akan bertambah, program MyBrain15 dapat dijayakan dan seterusnya menyumbang kepada hasrat Model Baru Ekonomi (MBE) yang ingin mencapai negara berpendapatan tinggi menjelang 2020,” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen