KERAJAAN sudah mengadakan pelbagai kempen berkaitan amalan berbudi bahasa termasuklah Bulan Budi Bahasa sebagai usaha menyedarkan masyarakat betapa penting unsur budi bahasa diterapkan sebagai amalan peribadi. Malah, kita sering membaca slogan, Budi Bahasa Budaya Kita dan Bahasa Menunjukkan Bangsa.
Setakat mana kesedaran kita mengenai kempen itu? Adakah amalan berbudi bahasa semakin menyerap ke dalam jiwa kita atau kita masih memandang remeh akan hal berkenaan?
Berbudi bahasa dapat diertikan sebagai percakapan yang baik, elok dan bersopan dalam tutur kata, tinggi dan berhemah budi bicara, beradab, bersopan santun, tertib, bersikap lemah lembut, bertingkah laku baik dan mempunyai akhlak murni. Jadi, dilihat dari segi definisinya budi bahasa begitu luas skopnya meliputi segenap kehidupan manusia.
Dalam Islam, amalan berbudi bahasa diletakkan pada kedudukan tinggi dan amat digalakkan. Malah, pembangunan sesebuah masyarakat atau negara tidak sempurna tanpa rakyatnya kurang budi bahasa. Imam Bukhari ada merekodkan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah.
Kata Aisyah, Rasulullah s.a.w bersabda, Sesungguhnya Allah itu Maha Lembut. Dia suka dengan kelembutan. Allah akan memberikan balasan daripada kelembutan yang tidak diberikan ke atas sikap keras dan kasar serta selainnya.
Rasulullah dalam usaha membawa syiar Islam di bumi Arab sentiasa meninggalkan contoh teladan berkenaan amalan budi bahasa yang mulia.
Dikatakan Nabi s.a.w sentiasa menyambut tetamunya dengan kata-kata lemah lembut sekalipun tetamu yang mengunjungi Baginda dikenali sebagai orang yang berperibadi buruk. Inilah sifat dakwah Baginda sebagai ubat penawar menjinakkan jiwa manusia agar mengikuti ajaran yang dibawanya.
Aisyah juga ada menceritakan satu kisah yang katanya, Sesungguhnya seorang lelaki meminta izin untuk masuk berjumpa Nabi s.a.w. Lantas Nabi s.a.w menjawab, Persilakanlah masuk. Dia adalah lelaki yang berperangai buruk daripada sebuah keluarga. Tatkala lelaki tersebut masuk berjumpa Nabi s.a.w, kemudian Nabi s.a.w menyambutnya dengan kata-kata lemah lembut.
Aisyah kemudian melontarkan pertanyaan kepada Baginda, Wahai Rasulullah, mengapa kamu (Baginda) bercakap dan bersikap lemah lembut? Apa kata Nabi s.a.w apabila mendengar pertanyaan isteri kesayangannya itu? Kata Nabi, Wahai Aisyah, sesungguhnya orang yang kedudukannya paling buruk di sisi Allah pada hari kiamat kelak ialah orang yang dijauhi atau orang yang ditinggalkan orang ramai kerana mereka takut akan kejahatannya (orang yang buruk tutur kata dan tingkah lakunya). (Hadis riwayat Bukhari).
Ini adalah teladan terbaik buat kita yang hidup di zaman mutakhir agar menjadikan amalan berlemah lembut dan berbudi bahasa sebagai teras keperibadian.
Sebenarnya seseorang yang bersikap berbudi bahasa luhur akan disenangi orang ramai dan secara tidak langsung akan dapat membina satu kehidupan sosial yang sejahtera aman damai. Jadi, dalam era moden yang kita kecapi kini, sikap berbudi bahasa perlu diutamakan kerana masyarakat yang kontang dengan sikap mulia itu akan mengundang pelbagai kerencatan dan kemudaratan kepada sesama manusia, malah pembangunan itu menjadi tidak bermakna.
Sebagai hamba Allah kita wajar menjadikan berbudi bahasa sebagai satu saluran gambaran akal budi dan keindahan sosial. Matlamat negara menuju sebuah negara maju menjelang 2020 telah menggariskan nilai akhlak, moral sebagai tunjang utama. Ini disebabkan kemuliaan dan kebahagiaan sesuatu masyarakat atau bangsa itu banyak bergantung kepada pengamalan sikap mulia seperti berbudi bahasa.
Dalam usaha pembangunan dan kemajuan, fokus pembangunan nilai berbudi bahasa tidak boleh dilupuskan begitu saja malah perlu sentiasa diperkasa setiap masa. Masyarakat yang rosak sikap budi bahasa akan menjerumuskan negara ke kancah tidak sihat dan melambangkan keburukan wajah negara.
Tamadun sesuatu bangsa tidak dicipta hanya dengan pembangunan material semata-mata, tetapi penonjolan nilai budi bahasa rakyatnya yang menjadi pencorak kepada keberkesanan pembangunan dan tamadun tersebut. Kita sebagai umat contoh lagi terbaik di sisi Allah mesti mengupayakan diri untuk mempamerkan sahsiah peribadi terunggul dan kaedah pertama yang patut dilakukan ialah melalui pendekatan lisan.
Allah melalui Surah An-Nisaa ayat 148 ada menegaskan, Allah tidak suka akan perkataan-perkataan jahat yang keluar daripada mulut seseorang, melainkan perkataan (pengalaman) yang keluar daripada mulut orang yang dizalimi (yang menyebut keburukan yang dilakukan ke atasnya dalam pengaduannya) dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
Dalam usaha mengejar kemajuan dalam apa jua bidang baik ekonomi, politik atau pendidikan, kita sebagai mukmin mesti sentiasa menjadikan sikap berbudi bahasa dengan amalan adab sopan murni, tutur kata yang elok, penampilan wajah tersenyum yang menyenangkan dan bertata susila sebagai sahsiah peribadi.
Nilai budi bahasa akan menjadi kayu pengukur utama tahap kemuliaan seseorang dengan manusia lain. Melalui sikap berbudi bahasa akan dapat membina kehidupan ummah yang sihat, sejahtera dan mampu memperkasakan tamadun tinggi.
Sesungguhnya amalan nilai berbudi bahasa merupakan amalan bersifat universal dan semua agama di dunia ini turut menekankan agar penganutnya mengamalkan nilai peribadi ini dalam kehidupan.
Jadi, jelaslah di sini bahawa amalan berbudi bahasa seharusnya dijadikan sifat umat sejagat kerana ia mampu mencorak kehidupan manusia untuk hidup lebih harmoni dan positif. Tegak rumah kerana sendi, runtuh sendi rumah binasa, sendi bangsa ialah budi, runtuh budi, runtuhlah bangsa.
Kepada rakyat Malaysia mari kita hayati sebahagian daripada lirik lagu Budi Bahasa Budaya Kita, lagu yang dicipta oleh Suhaimi Md Zin atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah ini: Bangsa Malaysia berhemah tinggi, ramah dan mesra elok pekerti, yang tiada dibantu, yang lemah dilindungi, bertimbang rasa, hormat-menghormati.
Sumber : http : //www.hmetro.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan