Isnin, 11 April 2011

ISU BAHASA : Penguasaan BI Hanya Boleh Dilakukan Menerusi Bahasa Itu Sendiri - Pakar Bahasa

BESUT: Pakar dan pendidik bahasa kebangsaan berpendapat, peningkatan penguasaan Bahasa Inggeris hanya dapat dicapai dengan cara meningkatkan pembelajaran dalam subjek itu dan bukannya kembali melaksanakan semula Pengajaran Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China Beijing, Profesor Dr Awang Sariyan berkata, kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran tidak sewajarnya berganjak daripada keputusan yang telah diambil pada tahun 2009 untuk memansuhkan PPSMI.

"Keputusan itu bertepatan dengan hasrat mengembalikan martabat dan peranan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama sistem pendidikan negara seperti yang telah diasaskan oleh Jawatankuasa Razak 1956 dan kemudian menjadi undang-undang negara dalam Akta Pelajaran 1961 dan seterusnya dalam pindaan Akta Pendidikan 1996.

"Langkah kembali kepada sistem dua aliran (bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris) meskipun dalam subjek-subjek bidang Sains dan Matematik, hanya meruncingkan keadaan dan kedudukan Dasar Bahasa Kebangsaan yang menjadi salah satu asas kenegaraan dan pembinaan negara," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata peningkatan penguasaan Bahasa Inggeris sebagaimana yang telah berkali-kali ditegaskan oleh ahli bahasa dan ahli pendidikan yang mendukung perjuangan bahasa kebangsaan tidak akan dapat diatasi dengan pelaksanaan PPSMI.

"Usaha itu hanya boleh dilakukan melalui peningkatan dalam pengajaran Bahasa Inggeris itu sendiri dan bukan melalui PPSMI," tegasnya.

Menurut beliau, Kementerian Pelajaran sendiri telah mengumumkan program Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) dan rancangan itu perlu dilaksanakan dengan berkesan tanpa mengganggu perancangan memartabatkan bahasa kebangsaan.

Presiden Persatuan Pendidik Bahasa Melayu Malaysia (PPBMM), Profesor Madya Dr Hashim Othman pula berkata, tidak perlu PPSMI diadakan semula semata-mata berdasarkan desakan sesetengah pihak.

Katanya, PPBMM menyokong Bahasa Inggeris diajar kepada pelajar sekolah dan pernah mendesak agar mata pelajaran itu diwajibkan lulus dalam peperiksaan awam di negara ini.

Bagaimanapun katanya, usaha meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar tidak patut dilakukan dengan mengorbankan kedudukan bahasa kebangsaan dengan perlaksanaan PPSMI.

Menurutnya, PPBMM secara tegas membantah sebarang usaha bagi mengembalikan PPSMI tanpa kompromi.

"Kita harap kerajaan memikirkan secara mendalam sebelum melayani desakan golongan tertentu untuk mengembalikan semula PPSMI kerana ia boleh membawa banyak implikasi buruk kepada usaha memartabatkan bahasa kebangsaan," katanya.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan