Rabu, 20 April 2011

ISU KESIHATAN : Makan makanan terbaik untuk tingkat kesihatan

Oleh Rejal Arbee
rejal@mcoba.org

Bersenam, kawal makan mampu atasi obesiti, hindari penyakit

MAJORITI rakyat negara ini dikatakan tidak mengambil berat terhadap keadaan kesihatan mereka. Corak hidup mereka yang mendiami kawasan bandar seperti Lembah Klang, Johor Bahru, Pulau Pinang, Ipoh dan Seremban lebih menjurus kepada keadaan yang boleh menjejas kesihatan. Oleh itu, tidak menghairankan negara ini kini menduduki tempat teratas bagi rantau Asia Tenggara yang mempunyai rakyat yang dianggap obes, iaitu keadaan kegemukan yang boleh membawa kepada pelbagai masalah kesihatan.

Angka Kementerian Kesihatan menunjukkan sehingga 60 peratus daripada keseluruhan rakyat negara ini didapati gemuk, iaitu 30 peratus obes dan 30 peratus lagi mempunyai berat badan berlebihan. Malah, Kementerian Kesihatan menganggarkan sehingga 1.7 juta daripada keseluruhan rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas mengalami keadaan obes. Bahkan pemantauannya mendapati masalah obesiti ini turut membabitkan golongan kanak-kanak lelaki seawal usia tujuh tahun dan semakin banyak dialami remaja dalam lingkungan umur antara 13 hingga 17 tahun.
Keadaan ini sepatutnya sudah mencemaskan kebanyakan daripada kita untuk berusaha mengamalkan corak hidup yang lebih sihat supaya tidak berterusan dilanda penyakit, khususnya kencing manis dan darah tinggi yang boleh membawa kepada sakit jantung dan serangan angin ahmar, selain buah pinggang. Malangnya, keadaan ini telah berlarutan bertahun-tahun tanpa ada keazaman di kalangan rakyat untuk berusaha menanganinya walaupun pelbagai usaha dan kempen dijalankan pihak berkuasa, khususnya Kementerian Kesihatan untuk menggalakkan rakyat mengamalkan corak hidup yang lebih sihat.

Dikatakan juga 20,000 rakyat negara ini mengalami kegagalan ginjal dan jumlah ini dijangka meningkat pada masa akan datang. Oleh itu, tidak menghairankan kenapa jumlah rakyat yang memerlukan pemulihan darah melalui proses dialisis semakin meningkat. Timbalan Dekan Fakulti Perubatan UKM, Prof Dr Jaafar Md Zain, berkata risiko pesakit ginjal untuk mendapat sakit jantung adalah amat tinggi kerana kebanyakan daripada mereka mempunyai penyakit lain seperti kencing manis dan darah tinggi. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pula pernah menyebut lebih 45,000 keluarga di Malaysia dicengkam kemiskinan kerana pencari nafkah mereka terlantar tidak dapat berjalan untuk mencari nafkah disebabkan penyakit kencing manis. Apabila ketua keluarga menghidap penyakit itu hingga terlantar dan tidak boleh bekerja, keluarganya mengalami penderitaan dan tentunya akan membebankan negara.

Sudah banyak diusahakan kerajaan dan badan lain supaya rakyat negara ini lebih prihatin terhadap kesihatan mereka dengan mengamalkan kehidupan lebih sihat iaitu makan makanan yang tidak memudaratkan badan dan selalu melakukan senaman. Malah, Prof Jaafar menyarankan setiap rakyat cuba mengekalkan berat badan yang ideal dengan bersenam selama 30 minit setiap hari, minum air sebanyak 1.5 liter sehari dan mengamalkan pemakanan sihat. Kementerian Kesihatan sendiri sejak 1991 sudah melakukan pelbagai kempen Cara Hidup Sihat, misalnya untuk menggalakkan rakyat mengurangkan pengambilan gula kerana gula dikenal pasti sebagai bahan utama yang membawa kepada masalah kegemukan atau obesiti, selain daripada menjalankan pelbagai program mempromosikan makanan sihat.

Terbaru ialah usaha Kementerian Kesihatan mahu menentukan murid sekolah tidak disediakan makanan tidak sihat ketika berada di sekolah. Semua kantin sekolah kini dilarang menjual makan yang dilabel sebagai makanan ‘junk’ yang terdapat dengan mudahnya di mana-mana. Malah, ia berusaha untuk menyekat kantin sekolah menjual nasi lemak. Tetapi usaha ini mendapat tentangan ramai ibu bapa dan pertubuhan guru kerana nasi lemak tidak harus disamakan dengan makanan ‘junk’. Apakah sudah ada penyelidikan menyatakan nasi lemak tidak sihat?
Sekiranya tidak ada penyelidikan yang menunjukkan bahawa memakan nasi lemak boleh mendatangkan kemudaratan kenapa pula ia harus diharamkan? Pengharaman ini akan hanya menjejaskan usaha sesetengah golongan berpendapatan rendah untuk menambahkan pendapatan keluarga. Malah, ada makanan lain, misalnya roti canai yang mempunyai banyak minyak dianggap lebih memudaratkan daripada nasi lemak. Ini tidak pula diharamkan.

Antara makanan yang tidak sihat dan boleh menjejas minda pelajar dan menjadikan mereka kurang bermaya dalam kelas ialah pengambilan makanan ringan atau ‘junk.’ Sememangnya ramai pelajar terdedah dengan makanan ringan demikian. Perkara ini boleh dilihat di setiap sekolah yang mana ramai pelajar akan menyerbu ke gerai jualan makanan ringan sebaik keluar dari pagar sekolah.

Malah, anak di tadika pun terdedah kepada penjaja yang muncul di luar pagar sekolah/tadika waktu tamat sekolah. Inilah yang patut dikawal. Memang diketahui bahawa kebanyakan daripada makan ringan sedikit sekali mempunyai khasiat kerana mengandungi kadar gula tinggi, menggunakan pewarna dan perisa tiruan dan boleh meningkatkan ketagihan hingga memudaratkan dan boleh pula membawa kepada pelbagai penyakit seperti kerosakan gigi, buah pinggang serta obesiti.

Oleh itu, pelajar hendaknya dipastikan makan makanan terbaik untuk kesihatan seperti buah-buahan, sayur- sayuran, susu segar serta banyak meminum air masak. Diketahui di kalangan orang Melayu mereka tidak banyak makan sayur-sayuran hinggakan nasi lemak pun kini sudah tidak lagi disajikan dengan kangkung seperti pada tahun-tahun dulu. Juga dinyatakan bahawa pengambilan makanan ringan boleh mengakibatkan pelajar kelihatan lesu tidak bermaya, mudah letih, tidur di dalam kelas dan tidak berasa segar dan bersemangat untuk belajar.

Selain makanan ringan ramai pelajar, malah rakyat negara ini terlalu banyak minum air tin/kotak dan teh tarik yang mengandungi gula pada kadar yang amat berlebihan. Inilah juga yang sepatutnya dikawal.

Penulis ialah Felo Kanan UKM

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan