Sabtu, 9 April 2011

ISU KESIHATAN : Pembersihan berkala elak penularan virus


Oleh Rosnah Abd Rashid Shirlin

Sistem pengudaraan, bilangan pelatih di pusat latihan perlu dihadkan untuk cegah penyakit

PERKEMBANGAN terbaru kejadian influenza-like illness (ILI) di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Kuala Lumpur dan Pusat Asas Latihan Tentera Darat (PUSASDA), Negeri Sembilan yang disahkan positif influenza A (H1N1) dan Adenovirus sememangnya menarik perhatian rakyat.

Apatah lagi selepas tiga pelatih PULAPOL, Kuala Lumpur meninggal dunia kerana jangkitan adenovirus bulan lalu, menyebabkan ramai tertanya apa sebenarnya adenovirus dan bagaimana ia menjangkiti manusia.

Saya ingin memberi penjelasan untuk mengelakkan salah faham dan panik keterlaluan sehingga rasa takut yang tidak perlu. Walau bagaimana pun, ini tidak bermakna kita tidak perlu berhati-hati dalam berhadapan dengan adenovirus dan apa juga virus yang lain.

Jangkitan adenovirus mula dikesan sekitar 1950-an ketika Perang Dunia Kedua di kalangan askar Amerika yang menghidap penyakit Respiratori Akut (Acute Respiratory Diseases). Adenovirus adalah kumpulan virus besar yang mana ada lebih daripada 50 jenis dan boleh menyebabkan jangkitan pada manusia. Virus ini boleh menjangkiti tonsil, kelenjar adenoid dan usus tanpa menunjukkan sebarang gejala (asymptomatic).

Adenovirus pada kebiasaannya tidak menyebabkan penyakit yang teruk. Walau bagaimanapun, ada beberapa faktor seperti jenis Adenovirus, keadaan persekitaran, umur dan status kesihatan pesakit yang menyebabkan jangkitan teruk. Selain itu, adenovirus juga menyebabkan sakit perut dan cirit-birit (gastroenteritis), sakit mata (conjunctivitis), jangkitan pundi kencing (cystitis) dan ruam.

Sesetengah jenis Adenovirus memang endemik di kebanyakan negara dan jangkitan ini biasanya mula diperoleh ketika zaman kanak-kanak lagi. Selalunya ia menyebabkan jangkitan secara berasingan atau sporadik tetapi kadangkala boleh juga menyebabkan wabak. Umpamanya, wabak penyakit mata keratoconjunctivitis dikaitkan dengan jangkitan Adenovirus jenis 8, 19 dan 37. Wabak cirit birit diakibatkan oleh Adenovirus jenis 40 dan 41. Manakala wabak jangkitan pernafasan pula disebabkan oleh Adenovirus jenis 3, 4, 7, 14 dan 21. Bagi wabak Adenovirus di PULAPOL baru-baru ini, adalah disebabkan oleh Adenovirus jenis 7.

Jangkitan pernafasan oleh Adenovirus kebiasaannya menyebabkan jangkitan ringan dengan gejala, selesema, demam dan batuk. Kadangkala ia boleh menyebabkan radang saluran pernafasan (bronchitis) dan radang paru-paru (pneumonia). Anak kecil dan mereka yang mempunyai tahap imuniti yang rendah berisiko mendapat komplikasi daripada jangkitan ini.

Jangkitan pernafasan oleh Adenovirus bukanlah sesuatu yang baru di negara ini kerana jangkitan berasingan atau sporadik memang berlaku memandangkan ia virus yang endemik. Bagaimanapun, wabak jangkitan pernafasan yang membabitkan Adenovirus jenis 7 di PULAPOL adalah yang pertama pernah dilaporkan di Malaysia.

Untuk pengetahuan, wabak jenis ini pertama kali dilaporkan di kem tentera di Amerika Syarikat dan menimbulkan masalah di kalangan rekrut baru sehingga Amerika terpaksa memberi vaksinasi khusus terhadap virus ini suatu ketika dulu. Namun, langkah ini dihentikan pada 1999 memandangkan ada masalah dalam penghasilan vaksin, tambahan pula jangkitan ini boleh diatasi melalui kaedah mudah iaitu menjaga kebersihan diri dan sistem pengudaraan yang baik.

Walaupun jangkitan Adenovirus jenis 7 ini selalunya menyebabkan jangkitan yang ringan tetapi sebahagian kecil pesakit boleh mengalami jangkitan yang lebih teruk. Keadaan di kem latihan yang agak padat, memudahkan penularan jangkitan ini ke tahap wabak. Ini berbeza dengan keadaan di rumah kerana kepadatan penghuni yang rendah dan pengudaraan yang lebih baik berbanding di kem latihan.

Masyarakat perlu tahu bagaimana virus tersebar. Seseorang boleh dijangkiti melalui pernafasan jika ia berada berhampiran orang yang dijangkiti apabila dia batuk atau bersin. Kita juga boleh dijangkiti jika menyentuh permukaan yang tercemar. Cecair pernafasan yang dijangkiti itu seterusnya memasuki saluran pernafasan. Tempoh inkubasi bagi jangkitan pernafasan ialah antara dua hingga 14 hari.

Jangkitan adenovirus seperti penyakit jangkitan virus yang lain, diberi rawatan simptomatik dan akan sembuh dengan sendiri. Rawatan simptomatik ini adalah rawatan terhadap gejala seperti demam, batuk dan cirit-birit. Pesakit yang menunjukkan jangkitan pada respiratori, maka doktor akan meningkatkan pengambilan cecair, memberi rawatan bronkolidator dan bantuan oksigen bagi membantu pernafasan. Jika jangkitan berlaku di bahagian usus pesakit akan diberi ubat rehidrasi.

Memandangkan jangkitan penyakit ini disebabkan virus maka antibiotik tidak berkesan. Pencegahan cara terbaik menghindari penyakit ini. Seperti H1N1, amalan kebersihan diri adalah senjata terbaik menjauhi jangkitan adenovirus. Amalkan cuci tangan dengan betul dan kerap menggunakan sabun atau pembasmi kuman.

Bagi mereka yang menunjukkan gejala amalkan:

  • Adab batuk dan bersin yang baik. Tutup mulut dan hidung dengan sapu tangan atau tisu dan buang ke dalam tong sampah. Segera cuci tangan selepas itu.

  • Elak ke tempat tumpuan ramai dan guna penutup mulut serta hidung.

  • Bagi mereka yang berada di kem atau asrama, pihak pentadbiran mesti memastikan bilik berkenaan mempunyai pengudaraan yang baik dan mengehadkan bilangan anggota dalam satu bilik tersebut agar tidak terlalu padat.

    Persekitaran dan bilik asrama mesti dibersihkan secara berkala. Langkah berjaga-jaga perlu diambil agar kesihatan rakyat terjamin dan Kementerian Kesihatan tidak akan mengabaikan tahap kesihatan rakyat negara ini. Namun, semua pihak mesti berganding bahu untuk menangani masalah ini.

    Sumber : http : //www.bharian.com.my/
  • Tiada ulasan:

    Catat Ulasan