Oleh Siti Nurazlinee Azmi
Penjawat awam digesa tingkat jati diri banteras gejala negatif
RASUAH adalah jenayah yang perlu ditangani secara terus dan bersepadu oleh semua golongan masyarakat tanpa mengira pegangan politik, agama, bangsa dan latar belakang kehidupan. Sekiranya tiada usaha memeranginya pada peringkat awal, gejala rasuah ini akan semakin berleluasa dan menular.
Ini akan memberi kesan negatif kepada institusi kekeluargaan, masyarakat dan negara selain menjejaskan kestabilan ekonomi.
Bersempena sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei ini, satu pembaharuan jati diri penjawat awam diperlukan khususnya berkaitan isu rasuah dan secara dasarnya mereka semakin memahami jenayah membabitkan rasuah bukan saja tidak menguntungkan, tetapi boleh memakan diri sendiri, sekali gus memecahbelahkan keluarga dan masyarakat.
Bagi memperoleh gambaran jelas mengenai jenayah itu, Pensyarah dan Kaunselor Berdaftar bidang Bimbingan & Kaunseling di Jabatan Pendidikan Kaunselor dan Psikologi Kaunseling, Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohamed Fadzil Che Din menyifatkan kesalahan rasuah itu berupaya merosakkan minda dan akhlak masyarakat sekiranya tidak dibasmi dari akar umbi.
Mohamed Fadzil berkata, disebabkan rasuah adalah penyakit sosial, selain bersifat anti kepada kehidupan harian, masyarakat perlu berganding bahu bagi menghentikan aktiviti rasuah, selain memahami konteks perbuatan rasuah secara jelas.
“Sebagai kelompok masyarakat tidak kira ahli politik, berlainan latar belakang, bangsa dan agama, kita seharusnya faham bahaya rasuah terhadap perkembangan sosial negara. Rasuah adalah aktiviti tidak bermoral yang boleh menjatuhkan jati diri dan martabat negara dan pendidikan awal mengenai rasuah harus diajar kepada anak kecil sejak di rumah lagi,” katanya.
Beliau berkata, aktiviti SPRM yang semakin menampakkan keberkesanan dalam memerangi rasuah perlu dipuji dan disokong. Bagaimanapun, katanya, tidak wajar jika SPRM dipolitikkan sesetengah parti politik yang mahu menumpang kemasyhuran.
“Penjawat awam khususnya, perlu berani dan mengaku jika mereka bersalah dan usah menggunakan taktik helah bela diri hanya kerana tidak mahu aibnya dibuka,” katanya.
Berdasarkan statistik penangkapan SPRM pada 2010, 414 pemberi rasuah dilaporkan berbanding 2009, iaitu hanya 91 kes membabitkan pemberi rasuah dilaporkan. Oleh itu, bilangan pemberi rasuah ditahan meningkat 355 peratus dan ia menunjukkan SPRM bekerja kuat bagi memerangi rasuah dalam negara ini.
Yang Dipertua Pertubuhan Pendidikan Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Shahrul Nizam Yunus turut berkongsi pendapat isu pembasmian rasuah oleh kerajaan dan padanya ia langkah terbaik dekad ini yang mana usaha kerajaan itu membuahkan hasil.
Beliau berkata, akibat usaha berterusan oleh SPRM khususnya, kebanyakan masyarakat di negara ini mula berbicara berhubung rasuah, malah ia dijadikan topik perbualan ketika waktu makan tengah hari atau sembang petang.
Shahrul berkata, perbualan mengenai masalah rasuah oleh masyarakat awam membuktikan tahap kesedaran berhubung bahaya rasuah timbul dalam diri masing-masing dan tambahan pula, perbuatan rasuah sememangnya bertentangan dengan agama Islam.
“Dalam usaha membantu kerajaan, masyarakat perlu menjadi telinga dan mata SPRM, iaitu melaporkan sebarang perbuatan rasuah yang mereka lihat dan dengar dengan segera. Dengan bantuan seperti ini, saya rasa gejala rasuah bukan saja akan berkurangan, tetapi boleh dihapuskan,” katanya.
Secara amnya, rasuah adalah perbuatan yang memerlukan persetujuan dua pihak, iaitu pemberi dan penerima dan jika salah seorang daripada mereka memungkiri janji, maka sesuatu transaksi rasuah tidak akan berjaya.
Panel Perunding dan Pencegahan Rasuah, Syed Akbar Ali pula berkata, lazimnya masyarakat umum menghadapi tekanan rasuah apabila mereka berurusan dengan jabatan kerajaan atau badan kerajaan yang diswastakan.
Tambah beliau gejala buruk rasuah memberi kesan yang mendalam dan beracun, malah rasuah akan menjadikan generasi masa depan lebih miskin.
Sementara itu, Presiden CUEPACS, Datuk Omar Othman pula berkata, penjawat awam harus lebih berwaspada dengan mereka yang sering memperdayakan mereka, terutama yang berkaitan isu penguat kuasa dengan segelintir masyarakat sentiasa cuba merasuah penjawat awam demi kepentingan diri.
“Masyarakat tidak perlu memandang negatif dan meletakkan 100 peratus jenayah rasuah terhadap penjawat awam berikutan tidak semua melakukan kesalahan itu. Kadang-kadang perbuatan rasuah berlaku akibat segelintir individu yang gemar memperalatkan penjawat awam untuk memenuhi kehendak mereka,” katanya.
Beliau berkata, laporan media berhubung isu penangkapan penjawat awam akibat kesalahan rasuah harus dijadikan pengajaran kepada kakitangan awam lain dan seelok-eloknya amalkan gaya kerja sihat dan jangan mudah menjatuhkan martabat perkhidmatan awam hanya kerana sogokan.
Sumber : http : //www.bharian.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan