Rabu, 18 Mei 2011

ISU ALAM SEKITAR : JPS pantau paras laut

Oleh Syuhada Choo Abdullah dan S Anand Kumar bhnews@bharian.com.my

Infrastruktur di pesisir pantai dipertingkat elak hakisan

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memantau rapi kenaikan paras air laut akibat pemanasan global serta mengkaji keupayaan infrastruktur di negara untuk menangani kesan fenomena itu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Husaini Sulaiman, berkata pemantauan akan mengenal pasti tahap ancaman akibat fenomena itu, di samping meneliti aspek penting berkaitan seperti hakisan di kawasan pantai.

Beliau berkata, JPS tidak menolak pendapat profesional dan pakar termasuk dari universiti berhubung fenomena itu dan akan mengambil kira cadangan mereka dalam usaha menghadapi kesan peningkatan paras air laut.

“Jabatan mengkaji sama ada infrastruktur sedia ada boleh menampung masalah itu atau tidak. Mungkin ada struktur tertentu yang perlu dipertingkat atau diubah suai,” katanya, semalam.

Akhbar ini semalam melaporkan beberapa bandar di kawasan rendah, terutama berhampiran pantai berkemungkinan ditenggelami air laut dalam tempoh sembilan tahun akan datang berikutan fenomena paras air laut yang semakin meningkat akibat pemanasan global.

Jika fenomena berterusan secara konsisten dan tiada langkah pencegahan dirangka dari awal, antara kawasan berisiko tinggi ditenggelami pada 2020 ialah Batu Pahat, Melaka, Pulau Pinang, Miri, Klang, Selangor serta Pekan. Kemungkinan mengenai kejadian itu ditemui pakar Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) hasil analisis data paras air laut yang direkodkan JPS sejak 2004.

Walaupun tiada kepastian kemungkinan ia akan berlaku, Ahmad Husaini berkata, memang tidak dinafikan pemanasan global memberi kesan terhadap kawasan pantai negara.

Penasihat Persatuan Perlindungan Alam Sekitar Malaysia, Gurmit Singh, pula berkata kemungkinan beberapa bandar ditenggelami air laut yang semakin meningkat bergantung berapa serius kecairan bungkah ais di Kutub Utara dan Kutub Selatan.

“Justeru, usaha mesti dilakukan oleh semua negara untuk mengawal pelepasan gas karbon dioksida (CO2) termasuk daripada kenderaan bagi mengurangkan kesan pemanasan global. Kerajaan harus menghentikan pembangunan di kawasan tepi pantai, selain mengkaji pembinaan benteng yang berkesan tapi pada kos mampu dibiayai oleh negara. Pembinaan benteng sudah dilakukan di Belanda,” katanya.

Pakar kaji cuaca tempatan, Profesor Dr Fredolin Tangang, berkata komitmen negara maju amat penting dalam mengurangkan pembebasan karbon dioksida bagi mengawal perubahan iklim.

“Dunia perlu mengekang pembebasan karbon dioksida dalam usaha mengurangkan pemanasan global kerana ia antara lain turut menyumbang kepada peningkatan paras air laut,” katanya.

Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S Piarapakaran mengakui paras laut semakin meningkat akibat pemanasan global yang mula memberi ancaman kepada bandar di kawasan rendah, terutama berhampiran pantai.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan