Isnin, 23 Mei 2011

ISU ALAM SEKITAR : Peringatan demi peringatan setelah kejadian tanah runtuh

DALAM sekelip mata 16 nyawa penghuni Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Kebajikan Madrasah Al-Taqwa, Felcra Semungkis, Batu 14 Hulu Langat, Selangor menyahut panggilan Ilahi.

Pemergian mereka amat menyentuh kalbu. Kesemua mereka meninggal dunia akibat tertimbus tanah setelah tebing sebuah bukit berdekatan runtuh dan menghempap khemah yang mereka duduki pada pukul 2.30 petang Sabtu lalu.

Kejadian tanah runtuh kali ini amat memilukan kerana menimpa kepada anak-anak yatim.

Kepada keluarga mangsa, kita hanya dapat mengucapkan rasa simpati dan minta mereka bersabar dengan dugaan ini.

Dalam kejadian itu, faktor hujan berterusan sejak kebelakangan ini dikatakan sebagai punca utama kejadian tanah runtuh yang menimbus rumah anak yatim itu. Tetapi janganlah kita asyik hendak menyalahkan hujan sahaja.

Kejadian di Hulu Langat sepatutnya membuka mata pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara supaya membuat tinjauan di kawasan yang kerap mengalami kejadian tanah runtuh bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin.

Kita sedia maklum penduduk yang tinggal di kawasan lereng-lereng bukit kerap terdedah kepada ancaman tanah runtuh.

Jadi, mereka yang tinggal di kawasan berbukit perlu berwaspada kerana kejadian tanah runtuh boleh berlaku di mana sahaja terutama apabila hujan berterusan.

Kejadian tanah runtuh di Malaysia boleh dielakkan jika golongan profesional, kontraktor pembinaan dan penjawat awam lebih bertanggungjawab menjalankan tugas mereka dengan tekun dan amanah.

Ingatlah bahawa kerajaan telah memutuskan untuk tidak meluluskan pembangunan di kawasan tanah tinggi selepas kejadian satu daripada tiga blok Highland Towers runtuh pada 1993 yang meragut 48 nyawa.

Semua PBT wajar berhati-hati dalam membangunkan tanah di lereng bukit. Mana-mana akta atau undang-undang yang longgar diperketatkan.

Jika semua pihak yang terbabit dalam pembangunan termasuk pihak berkuasa yang memberi kelulusan, para jurutera, arkitek, juru ukur dan kontraktor pembinaan mengambil serius tanggungjawab mereka, kejadian seperti itu tidak akan terus berlaku.

Tetapi, seperti biasa, kita rakyat yang mudah lupa dan jarang mahu mengambil iktibar daripada tragedi yang banyak kali menimpa kita. Ini kerana kita sentiasa mengharapkan ia tidak mungkin berulang lagi.

Pembinaan rumah, banglo, kondominium serta apartmen di lereng atau bawah bukit jelas menunjukkan sikap tidak peka terhadap keselamatan.

Seperti biasa, apabila berlaku tanah runtuh yang meragut nyawa, menteri pun akan minta laporan. Ini jawapan standard yang tak patut dinyatakan lagi.

Kenapa pihak kementerian berkenaan tidak minta laporan sebelum sesebuah bangunan itu diluluskan untuk pembinaan? Kalau dibina tanpa kelulusan, kenapa dibiarkan ia terus didirikan?

Kita percaya, kejadian di Hulu Langat ini bukan yang terakhir selagi kita masih bekerja mengikut cara lama.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan