Khamis, 5 Mei 2011

ISU EKONOMI : Malaysia tersenarai 7 negara realisasi Alaf Asia

MALAYSIA adalah antara tujuh negara di Asia yang bakal menerajui kemakmuran di rantau ini, demikian mengikut laporan terbaru Bank Pembangunan Asia (ADB).

Dalam laporan bertajuk ‘Asia 2050 – Merealisasikan Alaf Asia,’ bank itu berkata negara lain ialah Jepun dan Korea Selatan, yang kini sudah dikategorikan sebagai negara maju, serta China, dan Thailand.

Tujuh negara itu pada tahun lalu mempunyai gabungan penduduk seramai 3.1 bilion (78 peratus daripada jumlah penduduk Asia) dan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berjumlah AS$14.2 trilion (87 peratus daripada nilai KDNK Asia) pada 2010.
Berdasarkan senario Alaf Asia itu, jumlah penduduk di negara berkenaan menjelang 2050 akan meliputi 73 peratus daripada penduduk Asia, manakala KDNK pula merangkumi 90 peratus.

"Negara berkenaan saja akan menyumbang 45 peratus daripada KDNK dunia. Purata pendapatan perkapita mereka pula ialah sebanyak AS$45,800 berbanding AS$36,600 bagi dunia secara keseluruhannya," kata laporan itu yang disiarkan sempena Mesyuarat Agung Tahunan ke-44 ADB di Hanoi, Vietnam, semalam.

Antara 2010 dan 2050, tujuh negara itu akan menyumbang sebanyak 87 peratus daripada pertumbuhan KDNK di Asia dan hampir 55 peratus pertumbuhan KDNK dunia.

"Justeru, mereka akan menjadi enjin pertumbuhan, bukan saja di Asia, malah ekonomi dunia," katanya.
ADB berkata, Malaysia dan Thailand, yang dulunya adalah antara negara paling miskin, kini sudah mantap sebagai negara berpendapatan sederhana.

Menjelang pertengahan alaf ini, sebanyak tiga bilion lagi penduduk Asia akan menikmati taraf hidup lebih baik jika Asia mampu mengekalkan momentum pertumbuhan sedia ada selain menangani cabaran dan risiko pelbagai generasi, katanya.

Mengikut laporan itu, ada antara negara itu yang sudah mencapai paras perbandaran yang mana negara lain di Asia akan hanya mencapainya pada 2050.

Kemakmuran ekonomi dan taraf hidup yang tinggi di Jepun (67 peratus bandar) dan Malaysia (72 peratus bandar), bersama-sama Hong Kong, China dan Singapura, menunjukkan potensi manfaat perbandaran di Asia pada masa akan datang.

Laporan itu juga memberikan maklumat mengenai apa yang dijangkakan bagi bandar raya mega Asia 2015 yang berjaya, iaitu ia akan mempunyai kepadatan yang sama seperti Tokyo pada 2010.

“Peluasan bandar yang terhad berlaku akibat harga dan insentif. Pengangkutan awam sentiasa ada, bersih dan cekap. Sistem pengangkutan berkapasiti tinggi mendominasi negara kaya, sistem transit bas adalah antara perkara biasa,” kata laporan itu.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan