Oleh Zainor Said
Pencemaran berleluasa seperti tiada garis panduan
ISU membabitkan bahasa Melayu sering menjadi perbincangan pelbagai pihak, bukan saja pakar bahasa malahan orang kebanyakan, ahli politik serta pemimpin negara. Boleh dikatakan setiap hari ada saja berita mengenai pengabaian penggunaan bahasa Melayu dipaparkan menerusi media. Isu paling hangat pernah mendapat perhatian umum ialah mengenai bantahan pelaksanaan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dikuat kuasa di sekolah rendah pada 2003.
Mulai tahun ini, pengajaran Matematik dan Sains di Sekolah Kebangsaan (SK) kembali diajar dalam bahasa Melayu, manakala di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) pula diajar dalam bahasa ibunda masing-masing.
Sebagai langkah memartabat dan mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, dan pada masa sama mengukuh penggunaan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan negara, Kementerian Pelajaran memperkenalkan dasar baru iaitu Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI). Namun isu penggunaan bahasa Melayu terus diperkatakan dan menjadi topik hangat, sama ada menerusi forum, seminar dan sering dipaparkan menerusi media.
Sebagai orang Melayu, kita harus bangga dengan komitmen sesetengah golongan yang terus membela dan memperjuangkan kedudukan bahasa Melayu. Mereka terus menjadi mata dan telinga orang Melayu untuk menangkis sebarang cubaan pihak tertentu yang sentiasa berusaha memperlekeh dan memandang rendah terhadap bahasa ibunda mereka.
Jika tidak ada kumpulan ini, tidak mustahil bahasa Melayu akan terabai dan penggunaannya terus dipinggirkan. Kita akui sejak Kementerian Pelajaran diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Timbalan Perdana Menteri, banyak usaha dilakukan untuk mengangkat kembali kedudukan bahasa Melayu. Beliau juga prihatin dengan pandangan rakyat khususnya orang Melayu yang mahukan bahasa rasmi negara itu diperkasakan dan dimartabatkan menerusi sistem pendidikan.
Bagaimanapun kedudukan bahasa Melayu tidak mungkin dapat dipertahankan dan dibela dengan hanya menerusi sistem pendidikan yang diajar di sekolah, sedangkan umum masih menyanjung tinggi bahasa asing. Malahan ada segelintir orang Melayu sendiri yang malu menggunakan bahasa ibundanya, termasuk di kalangan kakitangan sektor awam.
Pencemaran bahasa Melayu masih berleluasa seperti yang dapat kita lihat menerusi papan tanda dan papan iklan yang dipasang di seluruh negara. Malang sekali, masyarakat kita hari ini tidak sensitif dengan kesalahan yang berlaku secara terang-terangan terhadap bahasa Melayu, sebaliknya mereka cepat menegur dan berasa malu jika melakukan kesalahan bahasa Inggeris.
Kita menyokong dan bersetuju dengan kenyataan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim baru-baru ini yang menyelar golongan tertentu kerana tidak menghormati bahasa kebangsaan negara sendiri.
Beliau kesal dengan sikap sesetengah pihak yang terus mengetepikan bahasa Melayu, sebaliknya cenderung menggunakan bahasa Inggeris termasuk pada papan iklan dan papan tanda di seluruh negara.
Beliau juga kesal dengan sikap pihak berkuasa tempatan (PBT) yang lebih cenderung menggunakan bahasa Inggeris bagi menamakan taman perumahan, khususnya di sekitar bandar utama.
Tindakan mereka jelas tidak membantu memartabatkan bahasa Melayu, sebaliknya membuktikan minda serta tindak tanduk mereka masih terjajah walaupun kita sudah lebih 53 tahun mencapai kemerdekaan.
Isu ini bukan baru malah teguran dan peringatan seumpama itu sering dibuat, malangnya mereka seolah-olah tidak langsung mempedulikannya, jauh sekali mahu merujuk kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebelum mendapatkan lesen iklan daripada PBT.
Soalnya kenapa bahasa asing khususnya bahasa Inggeris terus digunakan secara berleluasa jika kita mempunyai garis panduan serta peraturan yang wajib dipatuhi. Kita juga ada pihak berkuasa yang boleh bertindak terhadap mereka yang tidak mematuhi garis panduan dan peraturan ditetapkan. Apakah ini juga berpunca daripada kelemahan penguatkuasaan dan pemantauan pihak berkuasa sendiri?
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan