Isnin, 30 Mei 2011

ISU SOSIAL : Keluarga punca ramai kanak-kanak hilang

Oleh IZRA ABD RAHMAN (izra@thestar.com.my)

Di Malaysia, kita mungkin boleh menarik nafas lega apabila kes kanak-kanak hilang (bawah 13 tahun) yang dilaporkan tidak menunjukkan angka membimbangkan.

Tetapi, agak kurang enak didengar apabila hampir semua kes kanak-kanak hilang didapati berpunca dari rumah.

"Kita dapati mereka ini hilang kerana dilarikan ibu atau bapa yang mempunyai masalah rumah tangga.

“Ada juga kanak-kanak yang keluar rumah dan enggan pulang kerana kurang perhatian di rumah lalu memilih untuk bermalam di rumah kawan tanpa memberitahu ibu bapa,” kata Pegawai Penyiasat Kanak-Kanak Jabatan Siasatan Jenayah, Asisten Suprintendan Ong Saw In kepada Mingguan mStar.

Berdasarkan statistik, terdapat peningkatan terhadap kes kanak-kanak yang dilaporkan hilang tahun dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

Pada 2009, sebanyak 50 kes kanak-kanak hilang dilaporkan dan angka ini meningkat kepada 54 kes pada tahun 2010 dengan peningkatan sebanyak lapan peratus.

Untuk tempoh Januari hingga April tahun ini pula, seramai 20 kanak-kanak dilaporkan hilang.

Menurut Ong, walaupun kes kanak-kanak hilang menunjukkan pertambahan dari tahun ke tahun, namun kes yang berjaya diselesaikan pihak polis turut meningkat.

“Pada 2009 kita berjaya selesaikan 45 kes dan 51 kes pada 2010. Tahun ini pula, semua kanak-kanak yang dilaporkan hilang telah ditemui semula.

“Ini menunjukkan pihak polis sentiasa serius dan sering berusaha meningkatkan kecekapan dalam mendapatkan semula mereka yang hilang,” katanya.

Dalam pada itu, Ong tidak menafikan masyarakat sering mengaitkan kanak-kanak hilang dengan sindiket penculikan.

Kanak-kanak hilang dikatakan dijadikan peminta sedekah, buruh kasar, pelacur atau dibunuh untuk diambil organ dalaman.

“Di luar negara kita memang pernah dengar kes-kes sebegini. Tapi setakat ini kita belum pernah terima sebarang laporan tentang sindiket ini.

“Sama ada ia benar atau tidak, yang penting ibu bapa harus sentiasa berwaspada terhadap keselamatan anak mereka bagi mengelakkan kejadian tak diingini,” katanya.

Tak tutup kes

KECEKAPAN pihak polis, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan beberapa pihak dalam menyiasat serta menghebahkan maklumat tentang kes-kes ini banyak membantu ibu bapa mendapatkan semula anak yang dilaporkan hilang.

Pada Julai 2010, Nur (National Urgent Response) Alert diperkenalkan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

“Nur Alert akan menyebarkan maklumat pantas tentang kanak-kanak 12 tahun ke bawah yang hilang tanpa melibatkan tebusan, ugutan atau ancaman bunuh.

“Penyebaran dibuat dengan persetujuan ibu bapa atau penjaga sah kanak-kanak sehingga kanak-kanak hilang ditemui,” katanya.

Ong berkata, sistem ini telah dilaksanakan terhadap kes kehilangan adik Nisha dan Lee Xin Ru dari Pahang yang kedua-duanya berusia dua tahun.

Sehingga kini kedua-dua mereka masih belum ditemui.

Mengulas kes kanak-kanak hilang dalam tempoh yang lama dan gagal dikesan pihak polis, kes tidak akan ditutup dan pihak polis akan terus menjalankan siasatan.

“Kita masih siasat dan terima maklumat yang ingin diberi orang ramai terhadap kanak-kanak hilang ini,” katanya.

Selain adik Nisha dan Lee, polis juga masih menyiasat kes adik Sharlinie dan Muhamad Asmawi yang hilang pada 2008.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan