Selasa, 28 Jun 2011

Bahasa Melayu Subur Merendang Di Uniten

Oleh Melati Mohd Ariff

Lebih separuh abad bebas daripada belenggu penjajahan, polemik bahasa Melayu bagai air laut, sekejap pasang sekejap surut. Terpinggir atau dipinggir? Apakah akan tinggal sekadar bahasa percakapan, bahasa basahan atau bahasa pasar?

Rencana tujuh siri ini merungkai beberapa isu mengenai Bahasa Melayu.

Bahagian ke-6 ini menyentuh kursus Bahasa Melayu di Universiti Tenaga Nasional, antara beberapa buah institut pengajian tinggi swasta (IPTS) yang mewajibkan pengajian Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar antarabangsanya.

PUTRAJAYA, 29 Jun (Bernama) -- "Hidup subur". Itulah gambaran tepat untuk kedudukan Bahasa Melayu di Universiti Tenaga Nasional (Uniten).

Di universiti ini, antara universiti swasta pertama ditubuhkan, pelajar antarabangsa diwajibkan mengambil kursus Bahasa Melayu. Mereka perlu memperoleh sekurang-kurang gred C untuk lulus peringkat ijazah.

Bagi pelajar tempatan pula, Bahasa Melayu adalah antara subjek wajib universiti. Mereka mengikuti kursus Bahasa Melayu supaya dapat menggunakan bahasa kebangsaan itu dengan betul dan berketrampilan.

"Meskipun Uniten hanya sebuah universiti swasta, Bahasa Melayu masih ada tempat di Uniten.

"Ini mungkin kerana bahasa pengantar utama di Uniten ialah bahasa Inggeris dan kita tidak mahu meminggirkan bahasa kebangsaan kita," demikian menurut Dr Mardian Shah Omar, Pensyarah Kanan Kolej Pengajian Asas dan Umum Uniten, kampus Putrajaya dalam satu wawancara baru-baru ini.

PELAJAR ANTARABANGSA

Bercakap lebih lanjut mengenai program Bahasa Melayu Uniten untuk pelajar antarabangsa, Dr Mardian berkata sekurang-kurangnya pelajar berkenaan mampu mengenali Bahasa Melayu itu sendiri.

Pelajar berkenaan juga diharap boleh berkomunikasi secara santai dengan masyarakat luar kampus.

Pelajar antarabangsa di Uniten termasuk dari Arab Saudi, Yemen, Iran, Iraq, Palestin, Somalia, Botswana, Chad, Mauritius dan Vietnam.

"Memang kita fokuskan supaya mereka berkomunikasi ringan, bukan hendak kata mereka boleh jadi pandai berkomunikasi dalam Bahasa Melayu," jelas Dr Mardian yang terbabit dalam pengajian Bahasa Melayu di Uniten secara sambilan sejak 2000.

Beliau secara rasmi menjadi tenaga pengajar Kolej Pengajian Asas dan Umum Uniten pada 2007.

Menurut Dr Mardian ada pelajar antarabangsa yang sudah faham beberapa bahasa basahan dan bahasa pasar dan menggunakan bahasa itu, bukan Bahasa Melayu baku ketika bercakap di dalam kelas.

"Jadi ada konflik di situ dan saya nasihatkan mereka belajar bercakap bahasa formal dan selepas itu saya pecah-pecahkan kepada bahasa santai," katanya.

SIKAP BERUBAH

Bagaimanapun, tidak semua pelajar antarabangsa suka belajar Bahasa Melayu terutama di awal tahun Uniten memulakan sesi pengajiannya.

Dr Mardian membuat pengamatan itu ketika beliau mula-mula mengendalikan kelas Bahasa Melayu bagi pelajar antarabangsa di Uniten.

Katanya, mungkin ketika itu bilangan pelajar antarabangsa tidak ramai dan mereka sememangnya tidak berminat langsung untuk belajar Bahasa Melayu.

"Mereka juga banyak bermain dan beranggapan kursus bahasa ini mudah dan ingin mahu lulus sahaja. Lama kelamaan keadaan mula berbeza.

"Sekarang mereka lebih bersopan. Peratus pelajar yang mendapat A semakin ramai. Sebab dengan adanya gred ini pelajar agak berlumba untuk memahami Bahasa Melayu itu sendiri.

"Ada pelajar yang dapat B- pun ambil semula kursus itu sebab minat untuk belajar lagi," kata Dr Mardian.

PERLU KREATIF

Perubahan sikap pelajar antarabangsa ini terhadap Bahasa Melayu bak pepatah Melayu "Tak Kenal Maka Tak Cinta."

Cuma yang penting adalah bagaimana hendak menarik perhatian atau mempromosi Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar antarabangsa ini.

Dalam hal ini, sudah tentunya pensyarah perlu kreatif untuk menjadikan pengajian Bahasa Melayu menarik.

Menurut Dr Mardian pensyarah yang hanya pergi ke kelas dan mengajar sahaja serta menjadikan kelas itu seperti satu kuliah, tidak akan mencapai matlamat yang diharap-harapkan.

"Dalam hal ini saya sedang membuat kajian melihat kriteria yang diperlukan oleh pelajar antarabangsa untuk menguasai Bahasa Melayu dan ia dijangka siap penghujung tahun ini.

"Apa yang saya lihat dalam hal ini saiz kelas juga membantu. Kalau kelas terlalu besar ia tak membantu. Selalunya kita hadkan kepada 30 orang tetapi apabila banyak permintaan terpaksa tambah antara 40 hingga 45 orang," katanya.

TIDAK CUKUP


Bagaimanapun, Dr Mardian yang sudah mengajar Bahasa Melayu untuk pelajar universiti lebih 10 tahun, berpandangan bawa tempoh satu semester tidak cukup untuk menggalakkan pelajar antarabangsa menggunakan bahasa kebangsaan itu.

Untuk menjadikan kursus Bahasa Melayu bagi pelajar antarabangsa ini lebih berkesan, beliau melontarkan cadangan supaya ia dipecah kepada beberapa peringkat dan wajib diambil untuk selama dua semester.

Beliau turut mencadangkan dua lagi kursus yang berkaitan, satu bahasa pengukuhan dan satu lagi membabitkan budaya masyarakat Melayu.

Sekurang-kurangnya, kata Dr Mardian, pelajar antarabangsa ini kenal budaya Melayu dan memahami jiwa Melayu.

"Misalannya jika pergi ke rumah orang Melayu, macam mana hendak memulakan perbualan, apa yang boleh cakap dan apa yang tak boleh cakap.

"Kadang kala budaya mereka berbeza dan mereka tanya perkara yang tak sepatutnya ditanya. Jadi tidaklah kita kata orang asing ini biadap. Orang asing ini kurang santun berbahasa. Itu yang saya fikirkan," jelasnya.

MAKMAL BUDAYA

Dr Mardian memberitahu bahawa amat baik jika diadakan satu makmal budaya Bahasa Melayu untuk memudahkan lagi pembelajaran Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar antarabangsa.

Makmal yang dimaksudkannya itu berbentuk seperti muzium mini.

"Konsep sekarang setakat pergi kelas dan mengajar. Masa dua jam di kelas boleh dipecahkan satu jam di kelas dan sejam lagi di makmal.

"Jika ada makmal kita boleh bawa pelajar ke sana. Contoh ada kain songket dan kain batik. Kita boleh buat ayat perbandingan dan mudah untuk pelajar memahaminya.

"Menarik lagi jika diadakan juga permainan tradisional untuk menarik minat pelajar. Harap ini dapat menjadi kenyataan," katanya.

Dr Mardian turut memberitahu bahawa beliau sedang menyiapkan sebuah buku bagi membantu pelajar antarabangsa mempelajari Bahasa Melayu.

PELAJAR TEMPATAN

Bagi pelajar tempatan yang mengikuti pelbagai pengajian di menara gading swasta ini, mereka diketengahkan kepada penggunaan Bahasa Melayu tetapi secara lebih berketrampilan dan lebih santun.

Mereka sememangnya sudah boleh berbahasa Melayu tetapi yang diperbaiki ialah mutu bahasa.

Pelajar turut digalakkan berkomunikasi dengan menggunakan Bahasa Melayu yang betul.

Dr Mardian berkata pelajar-pelajar berkenaan juga dilatih berkomunikasi secara interpersonal dan intrapersonal .

Menurut Dr Mardian, ada juga pelajar Melayu yang tidak faham dengan penggunaan bahasa basahan atau harian dan bahasa pasar.

Mereka juga, katanya keliru dengan bahasa yang digunakan ketika berkomunikasi dan dalam penulisan.

"Sebagai contoh, ada pelajar menggunakan kamu apabila bercakap dengan pensyarah. Guna ganti nama engkau apabila bercakap dengan orang yang baru dikenali.

"Di sekolah lazimnya pelajar lebih diajar penggunaan tata bahasa.

"Di sini kita ajar mereka kesantunan berbahasa iaitu menggunakan bahasa dalam situasi yang betul dengan orang yang betul. Dia akan disanjung kerana menggunakan bahasa yang betul," tambahnya.

TUNJUK IMEJ


Bagi Dr Mardian, bahasa boleh menunjukkan imej seseorang.

Cara berbahasa, tambahnya boleh menunjukkan atau membezakan status pendidikan atau status pekerjaan.

"Kalau tidak menggunakan bahasa yang betul, semata-mata menggunakan bahasa yang tidak sopan, tidak tersusun, orang pun mungkin berpandangan rendah. Ini sudah tentunya boleh merendahkan imej dan status.

"Kita mahu mereka yang mengambil kursus ini mempunyai pengetahuan ini. Kursus ini memang kita sediakan untuk digunakan dalam dunia pekerjaan," tambahnya.

Kursus Bahasa Melayu yang diperjelas beliau ini ialah Bahasa Melayu Korporat, satu daripada subjek 'wajib universiti'. Tiga lagi subjek kategori yang sama ialah Pengajian Malaysia, Moral atau Pengajian Islam.

TEMPAT RUJUKAN

Dr Mardian mempunyai cita-cita besar. Beliau ingin Jabatan Bahasa dan Komunikasi atau Kolej Pengajian Asas dan Umum Uniten menjadi rujukan dunia Bahasa Melayu suatu hari nanti.

Bagi beliau, ini bukan suatu perkara yang mustahil.

Dr Mardian memberitahu bahawa sewaktu beliau di UKM ada pelajar dari Jerman, Australia dan Jepun datang semata-mata untuk belajar Bahasa Melayu di universiti itu.

Sehubungan dengan itu beliau berharap suatu hari nanti ada pelajar dari universiti luar negara datang belajar Bahasa Melayu di Uniten.

Dengan cara demikian, kata beliau, sekurang-kurangnya dapat memperkenalkan budaya belajar Uniten kepada negara luar sebagai program pertukaran pelajar.

"Pelajar ini boleh datang, contohnya belajar kejuruteraan dan dalam masa yang sama berpeluang belajar Bahasa Melayu.

"Secara tidak langsung bidang pendidikan menjadi bukan sahaja aset untuk menarik pelancong asing datang ke Malaysia tetapi juga landasan tepat untuk menobat dan memperkasa penggunaan Bahasa Melayu," katanya penuh yakin.

Sumber : http : //www.bernama.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen