Jumaat, 24 Jun 2011

ISU BAHASA : Langkah perkasa bahasa Melayu

Mohd. Puad Zarkashi (kanan) mengucapkan tahniah kepada penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2010, Abu Bakar Buyong di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, semalam

Oleh MD. AZRIN ROSLY
pengarang@utusan.com.

KUALA LUMPUR 23 Jun - Penggunaan bahasa Melayu pada persidangan antarabangsa diharap dapat dilaksanakan tahun ini dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan itu.

Ia merupakan antara langkah yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan untuk memperkasakan bahasa Melayu, selain digunakan dalam surat-surat rasmi kerajaan, syarikat milik kerajaan (GLC) dan swasta.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, cadangan-cadangan itu akan dibawa kepada makluman Kabinet terlebih dahulu sebelum pekeliling mengenainya dapat dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"Tidak salah untuk menggunakan bahasa kebangsaan dalam persidangan antarabangsa termasuk dalam penyampaian ucaptama kerana penterjemah disediakan untuk para peserta.

"Kebanyakan wakil negara lain menggunakan bahasa kebangsaan sendiri ketika berucap seperti peserta China bercakap dalam bahasa Mandarin, peserta Asia Barat menggunakan bahasa Arab dan peserta Indonesia menggunakan bahasa Indonesia.

"Namun, apabila dalam perbincangan, dialog dan sebagainya, kita akan menggunakan bahasa Inggeris. Mesyuarat-mesyuarat dan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di peringkat tempatan juga diharap menggunakan bahasa kebangsaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan sambutan ulang tahun ke-55 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2010 di sini, hari ini.

Timbalan Menteri Pelajaran itu berkata, jika surat-menyurat melibatkan syarikat dari negara luar, bahasa Melayu digunakan dengan terjemahannya sekali.

Beliau menyeru GLC supaya mendukung usaha memartabatkan bahasa Melayu dengan menggunakannya semasa mesyuarat peringkat atasan mahupun bawahan.

"Kadangkala individu perseorangan tidak menggunakan bahasa kebangsaan walaupun dalam majlis yang menggunakan bahasa Melayu," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz berkata, pihaknya menyasarkan penglibatan bukan Melayu sebanyak 30 peratus dalam aktiviti melibatkan bahasa dan kesusasteraan.

"DBP mendapat kerjasama baik daripada persatuan dan Dewan Perniagaan Cina untuk memperkasakan bahasa kebangsaan menerusi penganjuran pelbagai aktiviti seperti pertandingan.

"Kami juga ada membantu 61 sekolah menengah persendirian Cina bagi memperkasakan guru bahasa Melayu.

"Harapan kami, bahasa kebangsaan diperkasakan dalam semua peringkat kerana ia menunjukkan jati diri sesuatu bangsa," katanya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan