Jumaat, 29 Julai 2011

ISU ANTARABANGSA : Legasi pembunuhan rambang

PEMBUNUHAN rambang atas agenda peribadi, agama mahupun politik bukannya sesuatu yang baru atau begitu mengejutkan lagi bagi masyarakat dunia.

Suatu ketika dahulu mungkin ramai tertanya-tanya kenapa sesuatu yang begitu dahsyat boleh berlaku tetapi kini, soalan itu telah berubah kepada 'mengapa ia masih berlaku'.

Setiap tempoh tenang selepas satu kejadian tembakan rambang atau pengeboman oleh 'pengganas' tidak akan bertahan lama sebelum satu lagi kejadian serupa berulang.

Ini terbukti apabila bandar Oslo dan pulau Utoeya, Norway menjadi tapak tumpahan darah 76 mangsa di tangan seorang pelampau Kristian yang mahu menghapuskan masyarakat imigran dan Islam di Eropah.

Anders Behring Breivik, 32, seorang anti-Islam, berhaluan kanan yang tiada hubungan dengan kumpulan pelampau atau jenayah berat sebelum ini, bertindak mengebom pejabat kerajaan di Oslo sebelum melepaskan tembakan rambang di kem belia pulau Utoeya.

Kebanyakan mangsa yang maut atau cedera adalah golongan imigran muda atau remaja, anak imigran yang ingin mencari kehidupan lebih baik di negara itu. Turut terbunuh, abang tiri Puteri Norway, seorang anggota polis tidak bertugas yang cuba melindungi orang ramai dan menahan suspek ketika dia melepaskan tembakan rambang di pulau tersebut.

Suspek yang mengakui bertindak demi menghalang Eropah diambil alih orang Islam, dilaporkan mahu membunuh bekas perdana menteri Norway, Gro Harlem Brundtland tetapi terlewat beberapa minit selepas beliau beredar dari pulau tersebut.

Breivik dilaporkan sering melahirkan pandangan haluan kanan dan anti-Islam di Internet dan memiliki beberapa senjata api berdaftar serta menyertai sebuah kelab senjata api.

Fahaman pelampau suspek dapat dikaitkan dengan kejutan akibat kebanjiran pendatang asing ke Eropah dari benua Afrika, Pakistan dan Bangladesh yang ramai beragama Islam.

Sebilangan rakyat Eropah, sama ada individu atau kumpulan, melihat kebanjiran ini satu gerakan mengislamkan Eropah dan menghalangnya.

Sikap sebahagian pendatang membawa cara hidup yang tidak boleh diterima warga Eropah turut meluaskan jurang dan menghakis penerimaan penduduk tempatan.

Ditambah masalah Islamofobia yang melanda dunia dan media Barat yang prejudis, tidak mengejutkan media baru termasuk akhbar di United Kingdom dari awal lagi menuduh serangan itu dilakukan 'pengganas Islam'.

Hakikatnya, pembunuhan rambang melalui tembakan, bom atau senjata lain yang dilakukan mana-mana individu atau kumpulan merupakan tragedi yang tiada kaitan dengan mana-mana agama, bangsa atau ideologi.

Pembunuhan sedemikian banyak melibatkan fahaman peribadi dan situasi minda individu atau sekumpulan kecil manusia yang mengambil pendekatan ekstremis pelampau yang taksub kepada sesuatu agenda atau perjuangan.

Lebih malang jika mereka yang menyerang itu sebenarnya mangsa keadaan seperti mangsa buli di sekolah atau golongan tertindas di tempat kerja yang membalas dendam menggunakan senjata api.

Menurut maklumat dikumpulkan Reuters, 10 kes pembunuhan rambang paling teruk selepas serangan pengganas ke atas menara berkembar Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York pada 11 September 2001 direkodkan berlaku di Amerika Syarikat dan Eropah, termasuk serangan di Norway itu.

Beberapa bulan sebelum kejadian di Oslo, Tristan van der Vlis melepaskan tembakan rambang di pusat beli-belah Ridderhof, Alphen aan den Rijn, Belanda pada 9 April lalu, membunuh enam orang sebelum suspek membunuh diri.

Pada 30 Ogos tahun lalu, seorang lelaki bersenjata menembak mati enam sekeluarga bersama seorang lagi wanita di Bratislava, Slovakia, mencederakan 14 yang lain sebelum dia membunuh diri.

Dua bulan sebelum itu, Derrick Bird melepaskan tembakan rambang di beberapa pekan sekitar wilayah luar bandar Cumbria, Britain pada 2 Jun 2010 menyebabkan 12 terbunuh dan 11 cedera sebelum membunuh diri.

Senarai kejadian pembunuhan rambang itu sangat panjang jika dilihat daripada rekod paling awal selepas senjata api mudah diperoleh orang awam.

Barat, Eropah dan dunia perlu mengakui hakikat kejadian begini bukan pelik dan dijangka terus berlaku jika gerakan pembunuh gagal dipintas lebih awal.

Kejadian di Norway mungkin dapat dihalang jika gerakan ekstremis dan fahaman pelampau dibendung dari awal, bukannya dibiar merebak atas dasar 'hak asasi individu'.

Seperti juga serangan di sekolah, universiti mahupun tempat kerja, sasaran perlu diberi kepada mencari punca kejadian, bukannya menuding jari kepada 'pengganas Islam' semata-mata.

Jika titik kesederhanaan dan toleransi gagal dicapai, bukan sahaja Barat malahan seluruh dunia akan digegarkan dengan lebih banyak tembakan oleh mereka yang hilang akal dan hilang sabar kelak.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/(30/7)

Tiada ulasan:

Catat Komen