Sabtu, 30 Julai 2011

ISU ANTARABANGSA : Makna di sebalik serangan di Norway

Oleh ZIN MAHMUD

APABILA mendapat tahu satu serangan berkembar mengejutkan di Oslo, Norway pada Jumaat minggu lalu, hati tergamam.

Persoalan menerjah di kepala, adakah ia serangan daripada orang Islam? Keganasan Islam? Al-Qaeda?

Pihak berkuasa Norway pada awal kejadian memberitahu bahawa mereka masih tidak mengetahui siapa yang melakukan serangan.

Kalaulah orang Islam yang melakukan searangan itu, pastinya gelombang baru Islamofobia akan melanda Eropah. Bukan saja orang Islam di Eropah yang akan menjadi sasaran tetapi pengunjung, termasuklah para pelajar Islam yang mahu melanjutkan pelajaran di Eropah akan juga menghadapi bahananya.

Lebih-lebih lagi Norway, sebuah negara Eropah yang dianggap "baik" pada orang Islam. Tidak seperti Amerika Syarikat, Britain dan Perancis.

Dalam laporan awal, Presiden Amerika, Barack Obama menyatakan kesediaan negaranya bekerjasama dengan Norway untuk memerangi keganasan.

Maksud daripada kenyataan itu ialah kejadian tersebut merupakan keganasan bersifat antarabangsa, dan hampir pasti beliau merujuk kepada keganasan Islam, khususnya Al-Qaeda.Siapa lagi?

Lebih-lebih lagi Amerika dan Eropah menjangkakan akan berlaku satu serangan besar ekoran daripada pembunuhan pemimpin Al-Qaeda, Osama bin Laden.

Laporan agensi-agensi berita termasuk Reuter yang kemudian disiarkan di seluruh dunia walaupun tdiak menyebut mengenai pengganas Islam tetapi dalam beritanya dinyatakan bahawa Norway sejak akhir-akhir ini mengakui bahawa mereka bersedia menghadapi ancaman daripada serangan pengganas Islam.

Perisikan

Maknanya perisikan mereka menilai bahawa kemungkinan ada ancaman daripada keganasan Islam. Mereka menduga sebabnya ialah Norway, sebuah negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) turut serta dengan Amerika memerangi Afghanistan.

Tetapi apabila keesokannya diumumkan bahawa pelaku keganasan yang mengorbankan 76 orang adalah seorang warganegara Norway berkulit putih, beretnik Nordic dan beragama Kristian, Anders Behring mengejutkan semua pihak.

Tentu bagi orang Islam, pengumuman bahawa pelaku keganasan itu bukan seorang Islam adalah melegakan.

Bagi orang Barat pula, pendedahan bahawa pengganas itu bukan Islam juga menuntut mereka untuk melihat ke dalam masyarakat sendiri. Bagaimana boleh seorang Barat melakukan tindakan yang amat kejam sekali.

Membongkar

Maka apa yang didapati ialah penyerang itu walaupun pernah menganggotai parti haluan kanan, Parti Kemajuan yang anti pendatang, tetapi telah melakukan tindakan itu secara bersendirian.

Lantaran itu, mereka berusaha untuk menganggap Behring sebagai tidak siuman. Hinggakan dia pun tidaklah disebut sebagai pengganas tetapi hanya penyerang.

Hakikatnya ialah kejadian kejam di Norway itu adalah bersejarah dan penuh makna. Dalam hal ini, umat Islam di seluruh dunia tidak wajar berasa lega apatah lagi bergembira kerana penyerang itu bukan seorang Islam.

Ini kerana tindakan Behring yang walaupun mengorbankan bukan orang Islam tetapi sasarannya adalah orang Islam.

Peluru yang dimuntahkan oleh senjatanya itu adalah penuh dengan kebencian terhadap orang Islam. Behring bukan saja anti Islam tetapi membenci Islam hingga dia sanggup membunuh orang sebangsanya.

Hakikat bahawa dia bertindak bersendirian adalah lebih berbahaya. Sesiapa saja orang kulit putih di Eropah yang memiliki perasaan benci pada Islam atau Islamofobia boleh dengan tiba-tiba melakukan serangan pada sesiapapun, termasuk orang sebangsa mereka. Perlu diingat juga bahawa tujuan serangan Behring itu. Dia melakukannya untuk menyampaikan mesej secara ledakan besar supaya dunia, baik Barat mahupun Islam sedar.

Maka sasarannya kepada anak-anak muda parti pemerintah Norway, iaitu Parti Buruh juga bukanlah kebetulan. Baginya Parti Buruh yang berfahaman sosialisme demokratik atau sosial demokrat itu memberi tempat dan muka kepada pendatang Islam di Norway melalui dasar kepelbagaian budaya.

Sedangkan dia dan sebahagian kecil penduduk Norway sudah mula resah dengan kehadiran pendatang orang Islam. Mereka melihat orang Islam mengancam cara hidup dan kebudayaan mereka kerana keengganan atau kesukaran pendatang Islam berasimilasi menjadi bangsa Norway.

Walaupun tentulah rakyat Norway dan penduduk Eropah umumnya mengutuk perbuatan ganas Behring dan akan mempertahankan dasar kepelbagaian budaya, tetapi jika mesej anti-Islam ini masuk ke benak banyak orang, maka orang Islam perlu waspada.

Maka tentulah dalam perbincangan yang diadakan pada masa-masa akan datang, diselidik mengapa muncul orang seperti Behring di Norway, sebuah negara yang bukan saja aman dan makmur tetapi juga contoh kejayaan peradaban Barat.

Norway adalah salah sebuah negara Scandinavia yang mengamalkan sistem sosialisme demokratik di mana negara memberi kebajikan penuh kepada rakyatnya sepanjang hayat. Tetapi pada waktu yang sama memberi kebebasan dan bersifat terbuka. Tentulah ciri-ciri ini menepati dasar kepelbagaian budaya.

Lain-lain negara Scandinavia ialah Sweden, Finland, Denmark dan Iceland. Negara Eropah lain yang dianggap aman, makmur dan berkebajikan ialah Switzerland dan Austria.

Boleh dikatakan negara-negara ini adalah sebagai mercu kejayaan peradaban Barat. Kebajikan, kebebasan, persamaan dan keadilan yang dinikmati warganya menjadikan mereka negara unggul dunia. Dan bukannya negara-negara Barat yang besar dan terkenal seperti Amerika, Britain dan Perancis.

Kemakmuran, kebajikan dan kebaikan negara-negara inilah yang membawa kepada kehadiran orang Islam yang berhijrah ke sana.

Kesemua negara-negara itu mempunyai tradisi Kristian yang kuat. Kecuali Austria, negara-negara yang disebut itu mempunyai bendera yang tertera di atasnya lambang salib.

Namun kini, agama sudah tidak menjadi teras atau penting dalam masyarakat mereka. Umumnya mereka sudah tidak meyakini sebarang agama. Justeru jika mereka bersikap anti-Islam, ia bukanlah kerana mereka kuat memegang agama Kristian. tetapi adalah kerana mereka mahu mempertahankan cara hidup sekular dan demokratik.

Tetapi semakin besar penduduk Islam di Eropah dan bertambah tertonjolnya identiti mereka, maka Eropah akan berasa terancam. Kini pun sedang berlaku perbahasan mengenai kepelbagaian budaya dan isu pendatang.

Maka tidak hairanlah parti-parti sosialis demokrat yang mendokong kepelbagaian budaya boleh kalah pilihan raya jika sentimen ini berterusan. Sebagai ganti nanti ialah parti-parti berhaluan kanan Neo-Nazi dan Neo-Fasis yang akan menghalang kehadiran pendatang.

Jika melihat keinginan besar orang Islam hendak berhijrah ke negara-negara Barat, maka ia bermakna juga bahawa negara-negara Islam telah gagal.

Sumber : http ; //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan