Rabu, 13 Julai 2011

ISU BAHASA : Bahasa Melayu mesti dijunjung, bahasa Inggeris kendong saja

RENCANA tulisan Rejal Arbee yang disiarkan dalam akhbar Berita Harian bertarikh 7 Julai lalu bertajuk 'Mengapa orang tidak fasih bahasa Inggeris diperlekeh' berkaitan dengan komen ahli politik veteran DAP, Karpal Singh amat menarik direnung.

Sebenarnya hal ini bukanlah perkara baru. Sejak di bangku sekolah pada tahun 70-an, 80-an hingga kini, tidak banyak berubah. Inilah antara kejayaan terbesar penjajah yang ditanam ke dalam minda rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, status ekonomi dan sosial.

Sebahagian besar rakyat dan pemimpin berfikiran bahawa bahasa Inggeris itu ‘maha’ besar, bahasa Inggeris itu satu-satunya bahasa kemajuan di dunia ini. Tanpa bahasa Inggeris mustahil negara kita akan maju.

Melakukan kesilapan ketika berbahasa Inggeris sama ada ketika bertutur atau menulis akan memberi malu cukup besar seolah-olah sudah membuat ‘dosa’ amat besar berbanding sepicing pun tiada rasa bersalah jika berbuat silap dalam bahasa Melayu sama ada bercakap atau menulis.

Malah untuk menyebut nama bahasa Melayu pun rasa malu, takut-takut sehingga disebut nama bahasa Malaysia, sedangkan itulah nama yang sah dan betul seperti tercatat dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Orang Melayu sedia menerima bahasa Mandarin, Tamil, Inggeris dan bahasa lain bagi diajar dalam sistem pendidikan negara kita.

Tentulah tidak wajar untuk sesiapa pun menolak istilah atau nama bahasa Melayu yang sah dan betul itu sehingga perlu menggunakan nama bahasa Malaysia yang tidak betul. Semua bahasa asalnya dituturkan oleh sesuatu bangsa di sesebuah negara dan bukannya oleh negara rupa bumi itu.

Berbalik rasa megah bahasa, keghairahan rakyat Indonesia, Thailand, China, Korea, Jepun, Jerman, Perancis, Finland, Norway dan lain-lain mempelajari bahasa Inggeris ditonjolkan secara mengelirukan seolah-olah di negara mereka wujud aliran Inggeris dan sains, matematik dan teknologi diajar dalam sistem pendidikan mereka secara berleluasa sedangkan hakikatnya di negara itu bahasa Inggeris digunakan secara amat terhad.

Istilah tepat mungkin banyak orang kita sudah ‘kemabukan’ bahasa Inggeris. Jika pun kita ‘perlu’ mabuk, biarlah ‘mabuk’ bahasa Melayu dan ‘teguklah’ bahasa Inggeris itu seteguk dua agar kembali normal. Sepatutnya bahasa Melayu dijunjung dan bahasa Inggeris dikendong, bukan sebaliknya.

KAMAL SHUKRI ABDULLAH SANI,
Timbalan Presiden
Persatuan Linguistik Malaysia.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan