Rabu, 20 Julai 2011

ISU BAHASA : Keadilan bahasa Melayu di mahkamah

Oleh Teo Kok Seong
teokok@ukm.my

Institusi kehakiman masih ambil mudah penggunaan bahasa kebangsaaan

PERKARA 152 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa negara, iaitu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi Malaysia. Sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu antaranya berfungsi sebagai bahasa kepada entiti politik, sosial dan budaya yang bernama Malaysia. Dengan kata lain, ia adalah lambang nasional negara kita.


Selaku bahasa rasmi, bahasa Melayu antaranya adalah bahasa yang digunakan dalam urusan formal negara, selain sebagai bahasa pentadbiran pemerintah. Sehubungan itu, ia ikut berfungsi dalam semua sistem kebangsaan, antaranya sebagai bahasa ilmu, bahasa penyiaran utama, dan bahasa mahkamah di negara ini. Oleh itu, ia sebetulnya hendaklah juga digunakan dalam sektor swasta.


Bahasa Melayu selaku bahasa mahkamah termaktub dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Semakan 1971). Walau bagaimanapun, untuk kepentingan keadilan, bahasa Inggeris dibenarkan digunakan, sama ada sepenuhnya atau secara sebahagian bersama-sama dengan bahasa Melayu, khususnya dalam pembicaraan mahkamah.

Kelonggaran ini yang diperuntukkan dalam Akta Bahasa Kebangsaan dan juga Perlembagaan Persekutuan, membantut usaha untuk melaksanakan penggunaan bahasa Melayu dalam bidang perundangan. Sebenarnya kelonggaran inilah yang menjadikan ikhtiar untuk menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya di mahkamah, diambil enteng oleh pelbagai pihak yang berkenaan, lalu tidak dilakukan secara serius.

Dengan ini, ada kalangan tertentu dalam bidang ini yang bukan saja tidak mahu berusaha ke arah merealisasikan dasar ini, tetapi enggan menggunakan bahasa Melayu dalam pembicaraan mahkamah. Isu penggunaan bahasa Melayu sepenuhnya di mahkamah juga bergantung kepada sikap hakim selain peguam.

Hal ini dapat dilihat antaranya pada majlis petisyen terima masuk dan daftar rai pelatih dalam kamar sebagai peguam cara dan peguam bela di mahkamah tinggi di negara ini. Pada kebanyakan kesnya, majlis yang seringkasnya ini pun tidak berjaya dilakukan dalam bahasa Melayu sepenuhnya.


Untuk ini, bahasa Melayu yang digunakan itu lebih kepada mukadimah dan penutup teks yang lazim diguna pakai dalam mengemukakan petisyen sebegini. Walau bagaimanapun, lafaz penerimaan petisyen oleh hakim dilakukan dalam bahasa Melayu sepenuhnya tetapi ucapan memperkenalkan pempetisyen tidak selalunya disampaikan dalam bahasa Melayu sepenuhnya, yang menjadi bahasa mahkamah.

Sesungguhnya majlis ini adalah bukan saja sekadar upacara permohonan sebagai pengamal perundangan berdaftar dengan Majlis Peguam Malaysia, tetapi ia juga adalah istiadat permulaan kerjaya untuk peguam baru. Selain ini, ia boleh juga diibaratkan sebagai acara perasmian ke dunia kepeguaman untuk peguam baharu ini. Ia dikendalikan dengan penuh takzim, tertib, protokol dan formaliti mahkamah, baik dari segi tingkah laku, pakaian ataupun bahasa.

Dari segi bahasa, sepatutnya bahasa Melayu hendaklah digunakan sepenuhnya dalam majlis ini, dan penggunaan bahasa Inggeris yang didapati tidak diperlukan sama sekali itu, tidak sepatutnya dibenarkan oleh hakim. Ini antaranya majlis ini tidak membabitkan sebarang pembicaraan. Ia adalah satu majlis keraian yang dengan mudah sekali dapat dilaksanakan dalam bahasa Melayu, oleh semua pihak, baik yang mengemukakan petisyen dan juga yang mempertimbangkannya.

Dalam memastikan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa mahkamah berlaku dengan sepenuhnya, semua pihak, baik pendaftar, majistret, yang dipertua mahkamah sesyen dan hakim hendaklah bukan saja tegas. Tetapi yang lebih penting lagi ialah mereka perlu yakin terhadap kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, selain bangga terhadapnya sebagai bahasa kebangsaan kita.

Kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa mahkamah tidak boleh dipertikai lagi. Ini antaranya adalah kerana ia telah dipersetujui oleh semua pihak dalam bidang perundangan, baik peguam mahupun hakim, sebagai bahasa yang boleh digunakan di mahkamah Malaysia untuk mendukung keadilan.

Tidak dapat dinafikan bahawa matlamat utama dalam bidang perundangan adalah keadilan, yang bukan saja perlu dilindungi, tetapi diberikan kepada pihak yang menuntutnya. Dalam hal ini, semua pihak tidak sepatutnya sengaja menggunakan alasan ini untuk tidak menggunakan bahasa Melayu, lebih-lebih lagi pada masa ini. Ini adalah kerana ketetapan untuk menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa mahkamah utama kecuali dalam keterangan saksi saja, sudah lama dibuat, iaitu puluhan tahun yang lalu.


Atas kepentingan keadilan, mahkamah mempunyai budi bicara untuk menggunakan bahasa Inggeris dan juga yang lain, dalam mengendalikan kes tertentu. Penggunaan ini hendaklah dilakukan atas keperluan yang bersifat mesti, dan yang bukan sekali-kali dieksploitasi oleh mana-mana pihak, yang kurang fasih dalam bahasa Melayu, selain tidak bangga, sayang dan setia kepadanya selalu bahasa negara ini.


Penulis ialah Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan