Rabu, 27 Julai 2011

ISU KESIHATAN : Ketepikan Stigma Berkaitan Kemurungan

Oleh Wan Shahara Ahmad Ghazali

Bahagian akhir tiga siri rencana mengenai kemurungan.

KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) -- Masalah mental, termasuk kemurungan, sudah lama dikaitkan dengan stigma dalam masyarakat Malaysia walaupun ia mudah berlaku kepada sesiapa sahaja termasuk selebriti.

Seseorang yang mengalami kemurungan akan terhalang daripada mencapai apa yang sepatutnya menjadi potensi dirinya.

Lebih teruk lagi, kemurungan menurut kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), didapati menjadi penyebab utama kes bunuh diri.

Sebagai contoh pelukis era 'post-Impressionist' Vincent van Gogh (1853-1890), yang menghasilkan banyak karya agung termasuk 'The Starry Night'.

Van Gogh menterjemah isu gangguan mental yang dihadapinya ke atas kanvas lalu menghasilkan karya-karya hebat zaman itu yang kemudian mempengaruhi corak dan halatuju dunia seni moden.

Sayangnya, kemurungan yang teruk dan ditambah dengan tekanan sosio-ekonomi yang dihadapinya, menyebabkan beliau membunuh diri. Beliau mati sendirian dalam keadaan yang menyedihkan.

MENGATASI KEINGINAN BUNUH DIRI

Rekod menunjukkan Malaysia mencatat 731 kes bunuh diri dalam tempoh 2007 hingga 2010, atau secara purata sekitar 20 kematian dalam sebulan. Ini bukanlah angka yang kecil.

Pengerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) The Befrienders, S. Gangadara Vadivel berkata individu yang memerlukan sokongan emosi tidak harus menunggu lama sebelum mendapatkan bantuan. Ini boleh mengelak situasi menjadi lebih teruk.

"Befrienders, banyak menghadapi situasi di mana pemanggil mahu membunuh diri atau mempunyai keinginan yang kuat untuk membunuh diri angkara kemurungan," katanya sambil menambah bahawa mereka sebenarnya berada di dalam situasi keliru.

Beliau menjelaskan bahawa mereka ini memerlukan bantuan tetapi tidak tahu arah mana harus dituju, tetapi dengan hanya berbicara dan berkongsi perasaan dengan orang yang memahami meskipun kepada orang asing seperti Befrienders, mampu membantu mengurangkan tekanan yang terbuku dalam hati.

"Sukarelawan Befrienders seterusnya, akan membantu mereka meneliti semula masalah yang dialami dari sudut pandangan yang lebih luas supaya mereka dapat berfikir dengan lebih tenang dan mencari jalan menghadapinya," jelas Gangadara.

Beliau berkata sukarelawan Befrienders bukan pegawai kesihatan profesional, tetapi telah mendapat latihan insentif untuk membantu pemanggil mengatasi kesakitan emosi yang dialami dan membantu mereka mencari kekuatan diri.

"Talian Befrienders iaitu 03-79568145 dibuka 24 jam sehari dan bersedia menerima sebarang panggilan tanpa prejudis," jelas Gangadara.

Gangadara bersetuju bahawa berbincang tentang keinginan bunuh diri secara lembut dan simpati akan memberi peluang kepada individu berkenaan untuk melahirkan perasaan mereka dan boleh membuka kepada jalan penyelesaian.

Dalam kebanyakan kes, ini akan menghalang individu berkenaan daripada melaksanakan keinginan membunuh diri, katanya.

HAKIKAT SEBENAR KEMURUNGAN

Justeru, dapat disimpulkan bahawa, senario bunuh diri boleh terus berlaku jika masyarakat enggan bersikap terbuka untuk memahami hakikat sebenar kemurungan selain terus mempercayai pelbagai mitos berkaitan dengannya.

Secara umumnya, kesihatan fizikal dan mental yang baik penting bagi membolehkan seseorang mencapai kehidupan sosial yang stabil dan menyumbang ke arah kebaikan diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Dalam temu bual yang diadakan sempena Hari Kesedaran Kemurungan baru-baru ini, Presiden Persatuan Psikiatrik Malaysia (MPA), Dr Abdul Kadir Abu Bakar menyatakan bahawa pelbagai mitos mengenai masalah mental dan kemurungan boleh dirungkaikan dengan pengetahuan.

Beliau turut menegaskan bahawa penyakit itu tidak boleh direka, justeru seseorang tidak patut disalahkan jika menghidap kemurungan.

"Antara mitos popular ialah kemurungan berlaku ekoran faktor luar yang mengganggu pesakit atau diwarisi, tetapi pakar kini mendapati bahawa ia berkait rapat dengan ketidakseimbangan bahan kimia tertentu dalam otak terutama serotonin.

"Mitos lain berkaitan kemurungan ialah pengidap dianggap terkena sihir atau diganggu makhluk halus sedangkan kemurungan boleh disebabkan oleh faktor biologi dan persekitaran," jelas beliau.

Dr Abdul Bakar menjelaskan bahawa kemurungan tidak mengenal batasan sosio-ekonomi, negara, agama atau budaya, malah sesiapa sahaja di negara maju atau membangun boleh mempunyai risiko kemurungan.

PESAKIT MESTI DIRAWAT

Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk rantau Asia Tenggara (SEARO) menyatakan bahawa masih terdapat kekurangan dari segi pemahaman dalam kalangan doktor berkenaan diagnosis dan rawatan sewajarnya.

Masyarakat juga perlu menukar sikap termasuk menyalahkan pengidap kemurungan selain menganggap mereka malas atau gila.

Dua faktor ini, menurut laman web rasmi SEARO berkenaan, menyebabkan masih ramai pengidap kemurungan takut mendapatkan bantuan dan terpaksa menderita sendirian.

Menurut kenyataan itu, anggapan bahawa pengidap kemurungan tidak memerlukan rawatan perubatan profesional juga tidak benar. Kemurungan tidak boleh dirawat dengan semangat diri, percutian atau melalui pengambilan alkohol.

"Masih banyak komuniti yang mempercayai petua ini, bagaimanapun, pengidap kemurungan sebenarnya tidak mampu menikmati percutian malahan alkohol hanya akan memburukkan lagi keadaan," jelasnya.

Abu Bakar turut mengakui bahawa kemurungan boleh dirawat menggunakan ubat perskripsi doktor serta sokongan sosial daripada keluarga dan masyarakat.

"Ahli keluarga pengidap terutamanya, perlu bersikap lebih terbuka dengan tidak cuba menyembunyikan pesakit, kerana pesakit perlu diberi peluang untuk mendapat rawatan sewajarnya," jelas beliau.

Rawatan sewajarnya boleh membantu pesakit untuk kembali sihat dan membolehkan mereka melakukan semula pelbagai aktiviti normal dalam kehidupan.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan