Isnin, 1 Ogos 2011

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Hala tuju negara dan R&D

OLEH ROHAMI SHAFIE


MALAYSIA masih terlalu jauh ketinggalan berbanding negara-negara maju dari segi membudayakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam kehidupan rakyatnya.

Dalam banyak proses membuat keputusan, R&D jarang sekali diguna pakai. Keputusan lebih banyak dibuat dalam bentuk ad-hoc atau tergesa-gesa yang mana ia jarang sekali berdasarkan suasana sebenar.

Sebab itulah, di negara ini kita sering lihat sesuatu perkara berlaku berulang-ulang kali tanpa ada penyelesaian yang jitu. Sebagai contoh, kadar kemalangan terlalu tinggi di Malaysia sering kali diulang tayang dan ditekankan di media massa terutamanya ketika musim perayaan.

Penulis percaya terdapat kajian yang dilakukan untuk mengurangkan kadar kemalangan di Malaysia tetapi kenapakah kadar kemalangan masih lagi tinggi? Di manakah silapnya?

Penulis berpendapat antara punca utamanya adalah tiada penghayatan dan pelaksanaan sepenuhnya berteraskan kajian-kajian yang dilakukan untuk mengurangkan kadar kemalangan di negara kita.

Kajian-kajian tersebut hanyalah sekadar untuk memenuhi keperluan dunia akademik. Inilah kelemahan yang perlu diperbetulkan segera. Jika Malaysia ingin menjadi sebuah negara yang maju, hala tuju kita ke arah matlamat itu mestilah berteraskan R&D.

Di Amerika Syarikat (AS), umpamanya, banyak keputusan dibuat berdasarkan kajian. Sebab itulah AS cukup hebat dari segi R&D. R&D di sana bukanlah sekadar untuk memenuhi keperluan menamatkan pengajian di universiti, tetapi R&D digunakan untuk membantu membina negara agar lebih kukuh dalam pelbagai segi. R&D juga bukan sahaja bertujuan dibentangkan di seminar atau persidangan kebangsaan mahupun antarabangsa.

Sekadar membentangkan di seminar tanpa ada penghayatan dari segi pelaksanaan untuk kebaikan manusia, penyelidik kajian tersebut seolah-olah berada dalam zon syok sendiri.

Akhirnya, kajian-kajian ini hanya memenuhi rak-rak di perpustakaan-perpustakaan universiti untuk digunakan oleh penyelidik-penyelidik lain pada masa hadapan.

Kalau kajian itu berada dalam kategori bermutu tinggi, maka, ia akan diterbitkan di jurnal-jurnal terkemuka yang dikategorikan sebagai terbaik berstatus A dan diindekskan oleh ISI, Scopus dan sebagainya.

Tujuan utama diterbitkan pula hanyalah untuk mengejar 'rangking' yang dicipta oleh barat seolah-olah kita mengikut telunjuk barat. Sedangkan dunia akademik perlu bebas daripada sebarang telunjuk yang boleh menjumudkan ilmu itu sendiri.

Hanya mengejar rangking sedangkan kajian tersebut tidak langsung dipedulikan atau dihargai oleh kebanyakan rakyat, ia umpama ilmu yang terperap.

Tidakkah ini menunjukkan kajian hanya untuk 'menggembirakan' segelintir golongan yang rutin hidupnya berada di menara-menara gading? Berapa ramaikah orang biasa yang membaca jurnal-jurnal tersebut? Itu belum diambil kira sejauh manakah mereka memahaminya.

Bagi penulis, apalah gunanya ilmu yang dikaji jika tidak disebarkan kepada orang ramai untuk diamalkan. Tidakkah kita mengetahui bahawa terdapat banyak kajian yang dihasilkan oleh penyelidik-penyelidik Malaysia boleh membantu negara menyelesaikan masalah yang menyelubungi rakyat negara ini?

Begitu juga terdapat banyak kajian yang boleh membantu kerajaan menjadikan negara ini lebih baik. Lebih-lebih lagi, kini pelbagai transformasi sedang dan akan dilaksanakan oleh kerajaan.

Dalam konteks ini kajian dalam bidang sains sosial seharusnya ke hadapan. Kajian-kajian dalam bidang sains sosial lebih ke arah untuk membantu pihak atasan dalam pembuatan keputusan. Ramai yang mungkin menyangka kajian yang hebat mestilah sehingga menghasilkan produk yang boleh diguna pakai.

Produk fizikal yang boleh dilihat dan digunakan dalam kehidupan seharian. Ya, ini hanya sebahagian daripada R&D dalam bidang sains dan teknologi.

Untuk menjadi negara maju, kita tidak boleh meminggirkan kajian sains sosial. Sebab itulah, kerajaan bercadang untuk menubuhkan Universiti Penyelidikan Sains Sosial.

Sekali lagi, keputusan untuk menubuhkan universiti ini juga sudah tentulah berdasarkan kajian. Jika tidak, implikasi negatif akan dapat dilihat dalam jangka masa panjang.

Yang rugi nanti rakyat dan negara. Tetapi jika sudah ada kajian menyeluruh dilakukan dan penubuhan universiti ini benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan negara, maka, teruskanlah niat tersebut.

Dengan kata lain, setiap tindakan yang hendak dilakukan terutamanya untuk mencapai hala tuju dan wawasan negara, kajian adalah perintis kejayaan awal.

Maka, tidak menghairankan apabila Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) diperuntukkan sebanyak RM741 juta untuk dana penyelidikan bagi 2011 dan 2012.

Ini tidak termasuklah dana penyelidikan yang disediakan oleh kementerian-kementerian lain seperti Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan syarikat berkaitan kerajaan seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Selain dana penyelidikan yang mencukupi, negara juga memerlukan lebih ramai penyelidik yang mana ketika ini hanyalah dalam sekitar 30,000 orang sahaja.

Semuanya ini untuk memastikan budaya R&D dapat dihayati bukan sahaja di kalangan penyelidik tetapi juga untuk agenda yang lebih luas lagi bagi memenuhi keperluan dan hala tuju negara dalam menuju ke arah sebuah negara maju, makmur dan mapan pada 2020.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Kolej Perniagaan (COB) Universiti Utara Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

1 ulasan:

  1. as-salam, blog tuan bermaklumat dan saya akan terus membaca

    BalasPadam