Sabtu, 10 September 2011

ISU BAHASA : Kajian JMM mengenai PPSMI tidak tepat: Puad

BATU PAHAT - Kajian oleh Jaringan Melayu Malaysia (JMM) yang menunjukkan 50 peratus ibu bapa mahukan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tidak tepat kerana ia dilakukan secara tidak komprehensif.

Menegaskan demikian, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Puad Zarkashi, berkata kajian terbabit dilakukan tanpa mengambil kira pelbagai aspek dan hanya bergantung sama ada ibu bapa bersetuju terhadap PPSMI.

"Kajian itu tidak meliputi keberkesanan PPSMI dalam meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar. Ia (kajian) tidak dilakukan secara empirikal dan tidak komprehensif," katanya pada rumah terbuka Hari Raya Aidilfitrinya di sini hari ini.

Sebaliknya, Puad berkata kementerian sudah melakukan kajian terperinci selain beberapa perbincangan meja bulat dengan pakar pendidikan negara sebelum membatalkan pelaksanaan PPSMI.

Mohd Puad berkata, kementerian juga menolak PPSMI berdasarkan keputusan pelajar yang merosot dalam subjek sains dan matematik pada peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada 2008.

Beliau menjelaskan, ketika dasar PPSMI dilaksanakan, hanya lapan peratus guru menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya ketika mengajar subjek Sains dan Matematik kerana kebanyakan mereka tidak dilatih dan tidak menguasai bahasa itu.

Katanya, banyak pihak salah faham mengenai pelaksanaan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) sebagai kerajaan meminggirkan penguasaan bahasa Inggeris.

Beliau juga berkata, langkah kementerian mempertimbangkan cadangan memberi autonomi kepada sekolah untuk memilih sama ada menggunakan bahasa Melayu atau Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik, tidak bermakna kementerian akan kembali menggunakan PPSMI.

"Memang kita sedang mempertimbangkan cadangan itu dengan mengambil kira pelbagai aspek tetapi ini langsung tidak bermakna kita akan kembali kepada PPSMI," katanya. - Bernama

Nota Hujung :

Untuk imbasan, penulis menyertakan kenyataan akhbar Jaringan Melayu Malaysia sebagaimana disiarkan melalui akhbar The Star 6 September 2011 yang lalu.

"PETALING JAYA: Hasil kaji selidik Jaringan Melayu Malaysia (JMM) mendapati organisasi bukan kerajaan (NGO) Melayu adalah antara 15,000 responden yang melahirkan sokongan terhadap isu pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Kaji selidik yang berlangsung selama empat bulan mendapati 54% daripada keseluruhan responden di seluruh negara termasuk golongan guru dari kawasan pedalaman mahu PPSMI dikekalkan.

70% daripada responden terdiri daripada bangsa Melayu.

Menurut Presiden JMM, Azwanddin Hamzah, walaupun perlembagaannya jelas menyatakan peranan mereka dalam mendukung bahasa Malaysia, sokongan daripada ibu bapa berkenaan isu itu tidak boleh diketepikan begitu saja.

Kaji selidik itu juga menyatakan 66% ibu bapa daripada kawasan pedalaman bersetuju pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris akan memberikan masa depan yang lebih cerah kepada anak-anak mereka.

"Kerajaan perlu mengambil kira pandangan ibu bapa mengenai pendidikan anak-anak mereka daripada kita menghapuskan ia (PPSMI) sepenuhnya.

"Sebagai contoh, sesetengah sekolah di kawasan bandar boleh menawarkan PPSMI. Ibu bapa sangat menyokong pelaksanaan itu. Terpulang kepada kerajaan dan guru-guru untuk bersiap sedia bagi melaksanakannya.

"Bahasa Inggeris merupakan salah satu keperluan untuk anak-anak kita melanjutkan pengajian di luar negara dan juga kriteria penting dalam pencarian hampir 12 juta peluang pekerjaan di negara ini," katanya.

Azwanddin menambah, keputusan kaji selidik itu juga mencerminkan sokongan Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) terhadap pelaksanaan PPSMI.

Katanya, JMM juga telah bersedia untuk bertemu dengan Perdana Menteri berserta pencarian yang diperolehi bersama PAGE jika perlu.

Pengerusi PAGE, Datin Noor Azimah Abdul Rahim juga dipanggil untuk mengadakan mesyuarat dengan Kabinet bagi mendapatkan penyelesaian isu berkenaan."

3 ulasan:

  1. saya dulu dari form1 kene belajar dlm bahasa inggeris,, bila masuk universiti dah biasa dengan istilah bahasa inggeris tu. nasib baik :)

    BalasPadam
  2. Salam...sebagai seorang guru yang sudah mengajar 20 tahun di sekolah luar bandar, PPSMI menyebabkan pelajar Melayu pertengahan dan lemah terus ketinggalan. Mereka tidak berminat dan tidak suka belajar Sains & Matematik kerana diajar dalam Bahasa Melayu. Fikirkankanlah masa depan golongan ini...Mate dan Sains boleh diajar dalam Bahasa Inggeris tetapi biarlah untuk kelas tertentu sahaja dan oleh guru tertentu. Mungkin ditetapkan sebuah kelas dalam setiap sekolah diajar Mate dan Sains dalam Bahasa Ingeris...Sekadar pandangan

    BalasPadam
  3. Dapatan kajian menunjukkan pelaksanaan PPSMI semakin menjarakkan jurang penguasaan mata pelajaran Matematik dan Sains antara pelajar bandar dengan pelajar luar bandar. Keputusan KPM untuk kembali kepada Bahasa Melayu untuk P&P Matematik dan Sains adalah keputusan yang tepat dan perlu dihormati. Bagi meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu pelajar-pelajar, kaedah P&P kedua-dua mata pelajaran itu yang perlu dipertingkatkan. Oleh yang demikian, KPM sewajarnya terus tekal dengan keputusan yang telah diambil sebelum ini iaitu mengembalikan P&P Matematik dan Sains dalam Bahasa Melayu.

    BalasPadam