Rabu, 7 Disember 2011
ISU KENEGARAAN : Parlimen perlu pertahan keluhuran Perlembagaan
Tuanku Mizan mahu institusi berperanan secara berkesan
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berharap Parlimen akan terus mempertahankan keluhuran Perlembagaan Persekutuan terutama hal mengenai Raja-Raja Melayu, agama Islam sebagai agama Persekutuan dan bahasa Melayu sebagai bahasa Persekutuan.
Menyifatkan Parlimen sebagai institusi yang menyuarakan suara rakyat, Seri Paduka bertitah Parlimen melaksanakan fungsi dan peranannya dengan berkesan ke arah mencapai matlamat negara maju berpendapatan tinggi sebagai bukti kepada proses evolusi dan pemantapan daripada segi dasar yang berterusan.
Seri Paduka bertitah adalah sesuatu yang membanggakan apabila melihat prestasi kedua-dua Majlis Parlimen yang terdiri daripada Dewan Negara dan Dewan Rakyat semakin matang dan bertanggungjawab daripada segi perbahasan demi untuk kepentingan rakyat dan negara.
“Beta memahami, ada kalanya suasana dewan menjadi begitu mencabar. Tetapi suasana ini dapat ditenangkan dan diuruskan dengan kebijaksanaan Yang Dipertua Dewan Negara dan Yang Dipertua Dewan Rakyat serta sikap bertolak ansur Ahli-Ahli Yang Berhormat.
“Sikap toleransi dan bertanggungjawab Ahli-Ahli Yang Berhormat penting bagi memastikan institusi Parlimen ini dapat memainkan peranan berkesan sebagai badan perundangan utama negara,” titah Seri Paduka pada majlis santapan menjunjung kasih sempena tamat tempoh pemerintahan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
Tuanku Mizan bertitah Parlimen perlu dilihat sebagai satu landasan penting dalam memastikan dasar kerajaan dilaksanakan secara efektif dan berkesan melalui mekanisme mengawasi dan menegur.
Terdahulu, keberangkatan tiba Tuanku Mizan dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor; Yang Dipertuan Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Aman Mulia dan Yang Dipertuan Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang.
Jamuan perpisahan itu dihadiri anggota Dewan Negara dan Dewan Rakyat daripada parti kerajaan dan pembangkang.
Pada 14 Oktober lepas, Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-14 oleh Majlis Raja-Raja manakala Sultan Kelantan Sultan Muhammad V dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong. – BERNAMA
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan