Selasa, 20 Disember 2011

ISU PENDIDIKAN : 7,079 GSTT ke jawatan tetap


Oleh Haika Khazi
haikakhazi@bharian.com.my

Kerajaan serap sebaik guru terbabit tamat kursus di IPGM, IPTA

PUTRAJAYA: Seramai 7,079 daripada 13,184 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) di seluruh negara akan diserapkan dalam jawatan tetap selepas mengikuti kursus perguruan di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) terpilih, mulai Januari ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, berkata langkah itu membuktikan komitmen Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk menyelesaikan isu membabitkan 13,184 guru GSST di seluruh negara.

Beliau berkata, sebenarnya seramai 1,799 daripada 13,184 guru GSTT terbabit sedang mengikuti latihan perguruan menerusi mod kursus dalam cuti (KDC) di IPGM di seluruh negara sejak beberapa bulan lalu.

“Bagaimanapun, pada hari ini (semalam), kita memutuskan untuk memberi peluang kepada 7,079 guru GSTT mengikuti latihan perguruan di IPTA dan IPGM di seluruh negara mulai Januari depan.

“Ia dilakukan selepas proses saringan permohonan daripada GSTT menerusi kaedah penyerapan di bawah Skim Perkhidmatan Pelajaran selesai,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat khas berhubung isu GSTT di pejabatnya, di sini, semalam.

Beliau berkata, daripada jumlah berkenaan, 4,433 GSTT akan mengikuti kursus Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah KPLI (DPLI) di IPTA (mulai Februari 2012).

“Selebihnya akan mengikuti kursus menerusi Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) serta Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) di IPGM di seluruh negara mulai 9 Januari depan,” katanya.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, kementerian menolak 2,788 permohonan lain kerana GSTT terbabit gagal mengemukakan maklumat lengkap atau dokumen asal ketika menghadiri temu duga sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya, kementerian bersedia memberi peluang membenarkan guru terbabit membuat rayuan dengan mengemukakan permohonan lengkap bersama salinan sijil asal yang sudah disahkan untuk pertimbangan semula kementerian sebelum tarikh tutup pada 26 Disember ini.

“Kementerian juga menolak permohonan 2,012 calon lain kerana tidak memenuhi syarat minimum iaitu berkhidmat sebagai GSTT sekurang-kurangnya dua tahun berturut-turut.

“Selebihnya, 916 permohonan lagi ditolak kerana berumur lebih 35 tahun iaitu melebihi had ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA),” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan