Isnin, 26 Disember 2011

ISU PENDIDIKAN : MENGAPA SESEBUAH SEKOLAH MENJADI PILIHAN IBU BAPA


Ibu bapa atau penjaga murid mungkin ada banyak sebab mengapa mereka menghantar anak mereka ke sesebuah sekolah. Ada yang memberikan sebab yang mudah seperti sudah ada abang atau kakaknya yang belajar di sekolah yang sama.

Ada juga yang mempertimbangkan faktor jarak sekolah yang dekat dengan rumah dan memudahkan anak dihantar ke sekolah.

Ada juga ibu bapa yang lebih cenderung menjadikan faktor pencapaian sekolah dalam kokurikulum seperti mempunyai pasukan bola sepak yang berjaya dan menang di peringkat daerah atau negeri sambil menaruh harapan besar agar anaknya akan turut dipilih sebagai pemain sekolah.

Tetapi kebanyakan ibu bapa lebih suka mengukur pencapaian kurikulum sekolah terutama dalam kalangan mereka yang memberi tumpuan kepada pencapaian akademik anak-anak mereka.

Mereka jenis ini akan memberi pertimbangan lebih halus ke atas faktor kemampuan guru dan pengetua sebagai pemimpin instruksional dalam membantu menunaikan impian besar mereka untuk melihat anak mereka berjaya dalam pelajaran.

Bagi mereka yang berorientasikan begini, itulah sebab utama wujudnya sekolah dan atas sebab itulah mereka berhempas pulas memastikan anak-anak mereka datang ke sekolah serta mengikuti dengan penuh tekun pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

Sebahagian besar ibu bapa dalam kategori ini hampir-hampir tidak kisah tentang kejayaan yang dicapai oleh pihak sekolah dalam bidang kokurikulum. Mereka ini berasa sudah memadai jika anak mereka terlibat pada kadar biasa dalam aktiviti kokurikulum di sekolah, tanpa mengharapkan anak mereka turut serta dalam aktiviti di peringkat daerah, negeri mahupun negara. Jika ada pun yang mereka banggakan ialah kejayaan yang ada hubungannya dengan pencapaian akademik di sekolah seperti dalam kegiatan bercorak koakademik.

Begitulah juga halnya dengan ibu bapa yang berasa yakin dengan tahap keselamatan anak-anak mereka natijah daripada mutu disiplin murid yang semakin meningkat dan kuatnya tahap kawalan keselamatan oleh pengawal keselamatannya serta sistem keselamatan yang wujud yang menjadi satu lagi faktor pendorong yang kuat mengapa ibu bapa memilih sekolah A dan bukannya sekolah B.

Ada yang mungkin melihat faktor kantin sekolah yang menyediakan pelbagai menu harian yang banyak, mencukupi dan mengenyangkan khususnya bagi mereka yang ada anak yang mempunyai selera makan yang besar. Atau bagi ibu bapa yang sentiasa sibuk sehingga urusan makan dan minum anak-anak mereka pun diharapkan kepada kantin sekolah.

Tidak juga dinafikan ada ibu bapa yang menggunakan alasan yang agak peribadi seperti telah mengenali guru-guru di sekolah yang dipilih, wujud di sekolah tersebut guru Matematiknya yang mahir dan berpengalaman, atau Guru Bimbingan dan Kaunselingnya yang baik, boleh dipercayai dan sentiasa ingin membantu atau mungkin juga kerana guru itu jiran mereka, atau sahabat mereka.

Pendek kata ibu bapa mempunyai alasan yang tersendiri mengapa mereka memilih sesebuah sekolah bagi tujuan penempatan anak mereka.Banyak sebab dan alasan yang diberikan, bukan terhad kepada satu atau dua sebab sahaja. Tetapi semua itu diikat oleh satu keadaan bahawa apapun sebabnya, sebab itu bukan guru yang menentukannya, tetapi ibu bapa sendiri yang menentukannya.

SEBAB PALING DOMINAN

Namun yang paling tinggi nilainya ialah apabila sebab yang diberikan itu bersangkutan dengan kepercayaan ibu bapa bahawa pihak sekolah dapat memenuhi impian mereka dan anak mereka, sekaligus mengharapkan anak-anak mereka tidak dipersia-siakan dan dijaga dengan baik akan kebajikan dan keselamatan mereka.

Rekod-rekod sekolah berupa pencapaian terbaiknya dalam pelbagai bidang seperti kurikulum, kokurikulum, sahsiah dan lain-lain cukup membantu dan menjadi indikator yang paling jelas dalam menarik minat seseorang ibu bapa atau penjaga menghantar anak mereka ke sesebuah sekolah.

Sebab itu mengusahakan kemenangan dan kejayaan dalam pelbagai bidang bukan menjadi angan-angan lagi tetapi adalah suatu tuntutan yang perlu direalisasikan oleh setiap individu di sekolah yang diketuai oleh Pengetuanya.

Justeru, kejayaan kecil yang diraih oleh mana-mana ahli kepada sebuah keluarga besar sekolah tidak boleh diremehkan atau dipandang sebagai tidak penting dalam keghairahan para peneraju memburu kejayaan besar kerana kejayaan besar biasanya bermula daripada kejayaan kecil ini.

Sekolah yang terpaksa berhempas pulas untuk mengejar kejayaan dalam bidang akademik dan melalui pengalaman getir untuk memburu walaupun satu dua kejayaan boleh bergantung kepada satu dua kejayaan kecil ini sebelum kejayaan lebih besar menjadi kenyataan.

SEKOLAH PERLU DIPASARKAN

Malahan kemenangan dan kejayaan yang diperoleh oleh sekolah merupakan alat pemasaran sekolah yang paling ampuh bagi menarik minat ibu bapa dan penjaga murid untuk menghantar anak mereka ke sekolah kita.

Cerita-cerita baik yang cepat membiak dari mulut ke mulut akan menjadi bentuk pemasaan pelbagai tingkat yang paling ampuh yang akan menjenamakan nama sekolah ke suatu tahap tertentu di mana apabila disebut sahaja nama sekolah A orang ramai sudah mengetahui bahawa sekolah itu terkenal dengan ragbinya, sekolah B pula terkenal dengan pidatonya dan banyak lagi.

Jelas sekali kejayaan dan kemenangan yang kita harapkan bukan lagi setakat terkekang dalam kepompong angan-angan, sebaliknya benar-benar terjelma lalu menyemarak dan menyubur dalam kalangan warga sekolah atau lebih tepat lagi menjadi budaya sekolah.Percayalah, apabila hal ini menjadi kenyataan apa pun yang kita lakukan selepas ini akan menjadi lebih mudah daripada sebelumnya.

Natijah akhirnya keyakinan masyakarat terhadap sekolah semakin meningkat seiring dengan meningkatnya pencapaian sekolah. Itulah yang sepatutnya berlaku kepada sesebuah sekolah.

Apa yang sepatutnya berlaku ialah semakin lama sekolah itu wujud, semakin menokoklah kejayaan yang diperolehnya dan rentetan daripada itu semakin baiklah disiplin murid-muridnya yang diakhiri dengan semakin baiklah imej sekolah itu.

SUMBER : http://gurubashid.com/blog/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan