Jumaat, 30 Disember 2011

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Internet lubuk kaut keuntungan


Oleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM

DUNIA tanpa sempadan. Ia cukup sinonim dengan perkembangan teknologi alam siber yang semakin serba canggih hari ini.

Dengan hanya satu klik sahaja, pelbagai maklumat, kemudahan, perkhidmatan dan banyak lagi dapat diakses di mana-mana sahaja tanpa perlu mengerah keringat sehingga titisan peluh jatuh ke bumi.

Bagaimanapun, kecanggihan teknologi ini disalah guna sesetengah pihak untuk mengaut keuntungan melalui alam siber sehingga menyebabkan kerugian mencecah berbilion ringgit.

Bahkan, penjenayah siber ini akan mencari pelbagai taktik dalam mencari kemewahan melalui jalan pintas.

Modus Operandi

Menurut Penolong Pengarah Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Asisten Komisioner Kamarudin Md. Din, terdapat pelbagai taktik yang diguna pakai penjenayah siber dalam memerangkap mangsa untuk kepentingan mereka.

Bagaimanapun, beliau memberitahu, antara modus operandi tertinggi dicatatkan dalam kes-kes jenayah siber adalah belian barangan, penyamaran sebagai pegawai bank atau polis, mesin pengeluaran wang automatik (ATM), bungkusan dan phishing.

“Belian barangan mencatatkan kes tertinggi apabila suspek akan mengiklankan penjualan barangan di internet dan meminta mangsa membuat bayaran membeli barangan tersebut.

“Mangsa hanya akan menyedari ditipu setelah membuat pembayaran dan tidak menerima barangan dijanjikan seperti di dalam laman berkenaan,” katanya.

Kamarudin menambah, penyamaran sebagai pegawai bank atau polis menyaksikan sindiket membuat panggilan atau menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) secara rambang kepada mangsa.

“Selepas itu, ahli sindiket akan menyamar sebagai pegawai bank atau polis dengan menjawab panggilan mangsa lalu meminta mendedahkan butiran akaun.

“Mangsa akan diarahkan mengunjungi mesin ATM dan melaksanakan arahan diberikan melalui perbualan telefon sehingga wang mangsa dipindahkan ke akaun lain,” katanya.

Suspek turut akan menggunakan maklumat perbankan pemegang akaun untuk pengeluaran wang melalui mesin ATM

Satu lagi taktik yang biasa digunakan adalah mangsa akan berkenalan dengan suspek melalui laman sosial dan diyakinkan suspek ikhlas untuk bersahabat.

Mangsa kemudian akan dijanjikan menerima satu bungkusan dikirim dari luar negara. Kebiasaannya bungkusan tersebut mengandungi barangan berharga seperti wang atau barangan kemas.

“Mereka akan dimaklumkan bahawa barangan tersebut telah ditahan kastam dan perlu membuat bayaran untuk pelepasan barangan tersebut,” ujarnya lagi.

Beliau menambah, kaedah phishing pula digunakan untuk mencuri maklumat secara dalam talian.

Katanya, suspek akan mewujudkan laman web palsu bagi mendapatkan maklumat peribadi atau pun perbankan mangsa.

Pilih Alam Siber

"Pensyarah Kriminologi Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. P. Sundramoorthy pula berkata, terdapat beberapa faktor yang mendorong penjenayah siber memilih alam maya dalam melakukan jenayah.

“Di alam siber penjenayah biasanya lebih bersikap meyakinkan kerana mereka tidak perlu berkonfrantasi dengan mangsa malah, boleh dilakukan di mana-mana sahaja.

“Selain daripada itu, mereka juga mempunyai persepsi bahawa alam siber selamat daripada dikesan pihak berkuasa,” ujarnya.

Sundramoorthy berkata, ia disebabkan identiti mereka tidak boleh dicam dan atau boleh dipalsukan.

Menyentuh mengenai mengapa mangsa mudah diperdaya penjenayah siber, beliau menjelaskan, antara penyebab ia berlaku adalah cinta itu buta.

“Akibat penangan cinta dan beranggapan telah menemui teman hidup, mereka mudah percaya kepada orang tidak dikenali.

“Kebiasaannya, kes-kes sebegini disebabkan mangsa jatuh cinta dan mempercayai suspek sehingga ditipu. Ada juga di antara mereka tidak pernah menemui suspek,” katanya.

Ujarnya lagi, sikap tamak turut memainkan peranan apabila mangsa ingin menjadi kaya dengan jalan pintas.

Menyedari pelbagai amaran dan pendedahan telah dilakukan pihak berkuasa serta media, mereka masih yakin dengan iklan atau pun skim cepat kaya ini.

“Bagaimanapun, majoriti mangsa-mangsa jenayah siber tidak mengetahui mereka adalah mangsa.

“Ia boleh dikatakan kecuaian apabila memberi atau pun mendedahkan maklumat kritikal kepada penjenayah siber,” katanya.

Pencegahan


Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Lt. Kol. (Bersara) Prof. Datuk Husin Jazri berkata, orang ramai perlu sentiasa mempunyai sikap berwaspada dan berhati-hati apabila berada di alam siber.

"Jangan mudah percaya dengan orang yang baru dikenali terutama melalui laman web sosial kerana kita tidak mengetahui identiti sebenar mereka serta tujuan mereka menjalinkan persahabatan dengan kita.

“Dalam pada itu, mereka juga dinasihatkan agar tidak mendedahkan maklumat diri serta keluarga kepada orang yang baru dikenali kerana mereka mungkin mempunyai niat tidak baik. Bahkan, akhirnya anda akan terdedah kepada anasir-anasir negatif serta berniat jahat,”katanya.

Husin menegaskan, pengguna alam siber tidak perlu memuatnaik (upload) atau berkongsi gambar-gambar serta video yang berbentuk peribadi.

Katanya, mereka perlu memastikan mewujudkan tetapan privasi untuk melindungi maklumat peribadi daripada mereka yang bukan berada di kelompok rakan-rakan.

“Orang ramai boleh mengunjungi laman web kami iaitu www.cybersecurity.my kerana daripada laman web ini, mereka boleh masuk ke laman CyberSAFE (www.cybersafe.my) yang terdapat pelbagai tip serta nasihat berhubung keselamatan siber di situ,” katanya lagi.

Sekiranya jenayah siber tidak diambil perhatian dengan serius, potensi kerugian dalam beberapa sektor ekonomi di Malaysia dalam jangka masa lima tahun dianggarkan boleh mencecah sehingga RM2.73 bilion.

Jenayah siber boleh memberi kesan negatif kepada imej negara dan menjejaskan peluang pelaburan dari luar negara kerana kurangnya keyakinan serta kepercayaan terhadap tahap keselamatan siber negara.

Sumber : http://www.kosmo.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan