Isnin, 9 Januari 2012

ISU BAHASA : Kebangkitan baru penulis muda


HARI ini kegiatan kesusasteraan Melayu bukan menjadi hak monopoli golongan elit kerana sasterawan sudah mencapai taraf "menopous" dalam kegiatan kreatif. Mereka cuma menggilap karya-karya mereka di zaman lampau dengan segala mimpi kehebatannya.

Kononnya karya-karya mereka itulah yang menjadi mercu tanda puncak mutu karya sastera yang teragung. Inilah mimpi yang mereka abadikan dalam keuzuran mereka untuk terus menerus bergiat secara serius di bidang ini.

Kini karya penulis muda membanjiri pasaran sebagai bahan bacaan dengan novel-novel yang ditujukan kepada para pembaca golongan belia khasnya. Mereka menggarap dunia remaja dengan segala percintaan, kegagalan, harapan dan kekecewaan yang segar dalam lingkungan hidup mereka. Anda anggap karya-karya itu sebagai karya picisan, tidak bermutu sastera? Anda mencemuh mereka dan menganggap mereka bukan sasterawan tulen?

Jangan sekali-kali merendahkan sumbangan mereka. Mereka mengisi keperluan bacaan generasi yang lebih hebat konflik kehidupan dari era 1960-an sewaktu para penulis mengisi kemiskinan karya-karya sastera yang bermutu pada waktu itu. Bukankah pada era 1960-an karya-karya Yahya Samah seperti Perahu Kecil Belayar Malam yang meneroka dunia keghairahan seks mendapat sambutan hangat dari masyarakat pembaca?

Pada era 1960-an lahirnya Salina karya A. Samad Said, Patah Sayap Terbang Jua (A. Samad Ismail), Krisis (Alias Ali), Terdedah dan Menteri (Shahnon Ahmad) dan beberapa buah karya besar dari pena Arenawati, Abdullah Hussein, S Othman Kelantan dan sebagainya. Banyak penerbit Melayu muncul untuk memperkenalkan karya-karya sastera dan penerbit-penerbit kecil inilah yang menyuburkan kegiatannya.

Gerakan


Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) turut memainkan peranan aktif di bidang sastera walaupun karya-karya sastera seperti novel tidak banyak diterbitkan. Namun infrastruktur pembinaan kegiatan sastera dan budaya menjadi kekuatan DBP apabila ia mengadakan gerakan Bulan Bahasa Kebangsaan. Pegawai DBP yang terkenal sebagai sasterawan seperti Usman Awang, Keris Mas, Hassan Ahmad dan lain-lain selalu menerima undangan untuk memberi ceramah sastera di serata pelosok tanah air.

Sekali air bah sekali pasir berubah. Kini penulis-penulis muda timbul seperti cendawan terutama sekali kalangan wanita. Mereka tidak mencari ilham dan petunjuk jalan dari sasterawan -sasterawan veteran yang hidup di mahligai mimpi. Sumber kekuatan kreatif mereka terletak pada kemampuan mereka berkarya menurut suara hati anak-anak muda yang menghadapi cabaran yang paling hebat dari angkatan lama. Mereka terdedah pada teknologi maklumat melalui facebook, twitter dan Internet yang tidak pernah menjadi sumber ilmu pada para penulis tahun-tahun 1960 dan 1970-an.

Tidaklah hairan kalau novelis muda mendapat perhatian khalayak pembaca yang lebih besar dari tahun 1960-an dan 1970-an. Ada penulis wanita yang memperolehi royalti lebih RM100,000 untuk sebuah novel yang dijual lebih dari 50,000 naskhah. Barangkali A. Samad Said dan Yahya Samah tidak memperolehi royalti sebanyak itu untuk sebuah novel ciptaan mereka. Jadi janganlah hairan kalau penulis muda ini menjadi kaya raya hanya dengan penulisan novel.

Mereka menghayati dunia mereka dan inilah sumber kekuatan mereka. Mereka tidak peduli nasib bangsa dan negara kerana konflik yang mereka hadapi, generasi mereka, adalah lebih bersifat peribadi sebagai manifestasi dari kehidupan anak-anak muda sekarang.

Justeru mereka tidak peduli apakah karya-karya mereka dianggap picisan. Persetan dengan kritik-kritik negatif seperti itu. Yang penting mereka mahu mengangkat persoalan kehidupan generasi muda sekarang dengan segala dukalara, mimpi-mimpinya, dengan segala kerinduannya.

Kepada para penulis muda jangan patah semangat kalau kalian dianggap sebagai penulis picisan. Terus berkarya dan menghasilkan sebanyak mungkin yang mampu dalam pengembaraan hidup sebagai penulis. Para peminat sastera menilai dan membaca karya-karya kalian kerana membicarakan isu-isu yang menyentuh hati nurani generasi muda kalian.

Tidak perlu anda menyangkut harapan dan bantuan dari badan-badan penulis. Anda menjadi terkenal sebagai penulis kerana karya-karya kalian, bukan sebagai ahli mana-mana badan penulis. Saya pernah memimpin PENA pada masa lalu tetapi tidak pernah mengharapkan PENA untuk membentuk jiwa saya menjadi penulis.

Idealisme

Kalian mempunyai wilayah pembaca yang lebih besar dari era 1960-an dan 1970-an. Kalian boleh hidup mewah dengan penulisan novel, dan teruskan kegiatan itu walaupun membicarakan soal percintaan anak-anak muda, hal rumah tangga dan idealisme orang muda. Belajarlah dari pengalaman hidup, tambahkan ilmu dan terus menerus membaiki mutu penulisan dan garapan anda.

Anda harus menghayati dan mengalami transformasi minda terlebih dulu dari masyarakat pembaca. Karya-karya kalian akan menjadi contoh terbaik untuk membuktikan bahawa kalian sebagai penulis, adalah pencetus idea-idea baru yang progresif.

Hari ini dunia sastera anda yang punya. Warnailah dengan segala kebijaksanaan anda sebagai penulis kreatif, tanpa malu dan segan untuk menyatakan hak anda sebagai penulis. Anda perlu membentuk sejarah anda sendiri dan bukan sejarah membentuk diri dan jiwa anda.

Oleh Yahaya Ismail

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen