Selasa, 10 Januari 2012

ISU PENGAJIAN TINGGI : Masuk universiti bukan sekadar untuk lulus periksa


Apa sebenarnya tujuan seseorang individu belajar di Universiti? Tentunya dari segi falsafah pengajian tinggi, hasrat utama ialah mencari dan menguasai ilmu, untuk melakukan perubahan dalam pemikiran dan amalan sebagai orang yang berilmu dan berupaya membuat sebarang pertimbangan dalam hidupnya menggunakan ilmu yang berasaskan pengetahuan mendalam terhadap bidang dan disiplin yang dipelajarinya di bilik kuliah secara formal atau dalam persekitaran yang tidak formal.

Orang yang berilmu tidak membuat keputusan dan bertindak sewenang-wenang mengikut emosi dan telunjuk orang lain. Dia tidak akan membiarkan perasaan marah, kekaguman terhadap karisma seseorang atau faktor apa-apa yang didengari mahu pun diketahui daripada maklumat yang tidak lengkap atau separuh masak sebagai asas dalam membuat keputusan atau melakukan tindakan. Ini bermakna apa-apa juga keputusan dibuat terhadap kehidupannya semata-mata berasaskan fakta, walaupun fakta itu mungkin tidak selari dengan pandangan peribadinya.Oleh itu, perkara asas yang perlu difahami seseorang siswa atau siswi ketika melangkah ke universiti, haruslah bermula dengan memahami makna universiti dan ilmu yang dicarinya, tujuan mencari ilmu dan matlamat terhadap apa yang dicarinya.

Ini berkait rapat dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menjadi teras kepada falsafah Pendidikan Tinggi Negara iaitu ‘suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan bertujuan untuk melahirkan warga negara yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta mampu memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara’.

Sekali gus kita dapat mengaitkan dengan matlamat pendidikan tinggi untuk melahirkan siswazah yang berpengetahuan dan kompeten dalam bidang pengajian serta berkemampuan untuk menggunakan pengetahuan kepada amalan, berinovatif, mempunyai kebolehan kognitif yang tinggi (berfikiran analitikal dan kritikal dan berupaya berkomunikasi dengan baik. Ini bermakna, siswa-siswi yang melalui proses pendidikan di universiti bukan saja menjadi individu yang baik atau insan yang berdaya saing dari segi penguasaan ilmu pengetahuannya dan mempunyai peribadi yang holistik, berupaya menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara dengan pemikiran yang luas dan terbuka, beramanah, beretika dan sentiasa mempunyai nilai moral yang tinggi.

Sedangkan masyarakat secara umumnya mempunyai persepsi mudah bahawa universiti adalah tempat untuk anak muda kita mendapat segulung ijazah dan mempunyai boleh pasaran yang tinggi apabila mereka tamat pengajian, lalu dapat memasuki sektor pekerjaan dengan gaji dan pendapatan yang lumayan sebagai satu kayu ukur kejayaan sistem pengajian tinggi kita. Apabila gagal mendapat pekerjaan ia dianggap satu kegagalan. Bekerja sendiri, memulakan perniagaan kecil-kecilan, menjadi petani dan pengusaha atau yang seumpamanya, tidak dianggap sebagai cukup berjaya. Apatah lagi untuk menghargai kreativiti dan inovasi serta minat terhadap sesuatu bidang sebagai asas utama untuk mencapai kejayaan. Disebabkan itu agaknya sesetengah siswa-siswi mengambil mudah tugasnya di universiti, iaitu sekadar lulus peperiksaan, mendapat ijazah dan bekerja.

Sampai masanya persepsi ini ditukar jika kita mahu anak muda ini benar-benar memahami tujuannya berada di universiti. Bahawa mereka berhadapan dengan pelbagai cabaran masa depan dalam dunia tanpa sempadan, k-ekonomi, masyarakat berilmu atau knowledge society dan pelbagai lagi yang datang bersekali dengan proses globalisasi yang sekarang makin kurang diberi perhatian dan tidak dilihat sebagai ancaman.

Anak muda kita harus dididik bahawa mereka mempunyai tanggungjawab besar untuk menguasai ilmu dan mengubah landskap pengajian tinggi mahu pun ekonomi di negara ini. Bahawa ilmu yang dicari dan dikuasai adalah untuk mereka berfikir dan melakukan perubahan pada masa hadapan serta bersedia pula mengambil peluang dalam dunia tanpa sempadan, yang bukan lagi terikat di bawah tempurung semata-mata.

MOHAMAD ABDULLAH, Timbalan Pendaftar Pejabat Naib Canselor Universiti Sains Malaysia.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan