Isnin, 30 Januari 2012
ISU AGAMA : Syukur kepada Allah, terima kasih sesama manusia
ALLAH melimpahkan rahmah dan nikmah yang banyak kepada manusia. Kepada-Nya manusia dididik bersyukur. Allah maha pengasih dan maha penyayang. Kasih Allah kepada semua makhluk yang dicipta-Nya. Orang yang tidak beriman juga diberikan rezeki.
Limpahan rahmah dan nikmah yang Allah berikan kepada manusia dalam pelbagai bentuk. Ada yang sifatnya ketenangan jiwa dan kebahagiaan diri. Ada yang bentuknya sumber-sumber rezeki yang terdapat di atas dan di perut bumi.
Orang yang jiwanya sentiasa bersyukur, lafaznya menyebut nama Allah. Rezeki yang diterima dimanfaatkan kepada yang lain. Ia memiliki jiwa sakinah yang tinggi dan merasakan rezeki itu dicari yang pada hakikatnya adalah milik Allah.
Orang yang bersyukur kepada Allah akan ditambah rezekinya dan ketenangan dirinya sebagai tanda barakah yang melimpah. Doa dipanjatkan memohon taufik dan petunjuk diikuti amal soleh. Orang seperti ini memiliki jiwa muttaqeen yang tinggi.
Sumber rahmah dan nikmah itu sebahagiannya diuruskan oleh manusia. Namanya individu, keluarga, masyarakat, kepimpinan negara dan rakyat, ilmuwan dan ulama, perancang dan pentadbir negara semuanya bergerak ke arah menjadikan pengurusan sumber suatu taklif atau amanah.
Kekuatan ihsan dan insan yang ada pada manusia menyebabkan rasa syukur sentiasa subur dalam lafaz dan tasdiq (membenarkan) sentiasa terjadi. Orang yang bersyukur menghubungkan apa yang diterima sebagai hak dan milik Allah. Lalu kepada Allah dikembalikan supaya ada pengiktirafan bahawa semuanya itu adalah anugerah Allah.
Sebahagian rahmah dan nikmat dari Allah itu diuruskan oleh manusia. Seorang bapa dan ibu bekerja mencari rezeki untuk membesarkan anak-anak dan mendidik mereka.
Rasa syukur kepada Allah tetap dilafazkan dan rasa terima kasih kepada ayah dan ibu tetap diucapkan. Ia membayangkan nilai budi yang tinggi terhadap Allah dan manusia. Ia adalah penting membentuk sifat adab kepada Allah dan kepada manusia.
Jangan ada anak-anak yang berkata, "Memang dah tanggungjawab kamu mendidik kami. Memang dah tanggungjawab kamu membesarkan kami. Dan memang tanggungjawab kamu membelanjai kami. Kami bukan minta dilahirkan." Kata-kata ini membayangkan adab anak yang rendah.
Terima kasih harus diberi kepada ibu bapa dalam bentuk kasih sayang dan pesan nasihatnya yang baik harus diikuti. Ada anak yang selalu menempelak ibu bapa bahawa mereka lebih cerdik daripada ibu bapanya. Benar, dari segi pelajaran dan kelulusan terdapat anak-anak yang lebih tinggi kelulusannya. Kelulusan tidak sama dengan pengalaman. Ibu bapa sudah menempuh pengalaman yang banyak dalam hidup. Anak-anak masih mentah dalam pengalaman dan pengamatan. Lalu keputusan yang diambilnya selalunya tidak cukup kukuh untuk memahami keadaan.
Beradab dengan ibu bapa adalah suatu tuntutan. Tidak ada ibu bapa yang ingin menjadikan anak-anaknya rosak. Usahanya mencari rezeki untuk kepentingan anak-anak dan membesarkan anak-anak dengan susah payah harus dilihat dengan rasa terima kasih.
Sekiranya rasa terima kasih ini pupus daripada anak-anak tunggulah masanya apabila anak-anak menjadi ibu bapa nanti, anak-anaknya pula bakal melakukan kebiadapan dan langsung tidak ada rasa syukur kepada Allah dan terima kasih kepada ibu bapa.
Seorang guru mendidik anak muridnya menjadi pandai dan berpengetahuan. Ilmu yang datangnya dari Allah itu patut disyukuri dan usaha guru menyampaikan ilmu dan membentuk peribadi murid harus diikuti dengan lafaz terima kasih. Seorang guru yang berjaya mendidik anak muridnya tidak mengharapkan balasan yang berbentuk kebendaan. Jangan ada murid-murid yang berkata begini, "Dia jadi guru kerana digaji oleh kerajaan. Memang dah kerja dia mengajar dan mendidik." Kata-kata begini membayangkan akal budi yang rendah. Siapalah kita kalau tidak ada guru yang mendidik kita menjadi manusia.
Hal yang sama berlaku terhadap kerajaan yang memerintah. Soal bersetuju atau tidak dengan kerajaan adalah sesuatu yang lazim dalam proses demokrasi. Tetapi sebagai seorang warga Islam rasa terima kasih perlu ada. Yang baik dikatakan baik dan yang tidak dikatakan dengan tidak, secara adab dan berhemah terutamanya di kalangan generasi muda. Jangan biarkan emosi dan sentimen mengambil tempat.
Kerajaan yang memerintah sentiasa memikirkan kebaikan untuk warganya. Kelemahan pemerintah tetap ada kerana pemerintahan itu dikendalikan oleh manusia yang bersifat lupa (nasiyya) dan lalai (ghaflah).
Pemerintah kena memikirkan bagaimana ekonomi menjadi lebih stabil, peluang pekerjaan kepada rakyat tersedia, peluang pendidikan dalam negara dan keluar negara diberikan dengan adil, kemudahan prasarana terbina dengan baik, program pembiayaan dalam berbagai bentuk diwujudkan, pendekatan mensejahterakan rakyat dilakukan. Dan ia tidak datang bergolek. Ia perlu dirancang dengan bijaksana dan berhemah.
Memang benar ada kelemahan di sana dan di sini. Rasuah masih ada dan ketirisan dalam pelaksanaan dasar tetap terjadi. Yang pentingnya ada tidak usaha pencegahan dibuat dan pembaikan strategi memperkemas pelaksanaan dasar berlaku. Jawapannya ada.
Anak-anak muda yang diberi peluang belajar dalam negara dengan bantuan PTPTN adalah bernasib baik. Program ini tidak dibuat oleh mana-mana negara Islam lain. Kadang-kala berlaku kelemahan yang sifatnya teknikal dalam mengendalikan PTPTN dan ia perlu diperbaiki. Bayangkan berapa ramai yang lupa membayar kembali hutang-hutang PTPTN walaupun sudah bekerja dan bergaji besar.
Apakah ia membayangkan rasa terima kasih terhadap kerajaan supaya menjelaskan hutang dapat membantu pelajar-pelajar lain pula. Sikap tidak bertanggungjawab ini boleh menyebabkan perjalanan sistem bernegara menjadi terjejas. Sekiranya ini menjadi tabiat generasi muda bayangkan apa akan terjadi jika generasi muda bakal mengambil kepimpinan negara nanti. Begitu juga peluang pelajar cemerlang untuk belajar di luar negara diberikan kepada generasi muda khususnya anak orang Melayu. Pemilihan mereka tidak dibuat atas pertimbangan parti. Anak orang pembangkang juga dipilih dengan syarat ada merit dan kebolehan. Ia adalah suatu dasar yang adil.
Berapa ramai di kalangan pelajar-pelajar ini yang ada rasa syukur dan berterima kasih dengan pihak yang membantunya. Kedapatan perangai tangan menghulur, jari digigit. Maka berkatalah sebahagian daripada mereka, "Itu memang sudah tanggungjawab kerajaan!". Bayangkan kerajaan yang memerintah tidak ada upaya kewangan yang tinggi, bolehkah program menghantar pelajar itu berlaku. Tentunya kerajaan yang bertanggungjawab dan punya sumber kewangan mampu melakukan sesuatu.
Bangsa yang tidak berterima kasih adalah bangsa yang lupa diri. Bangsa yang lupa diri bakal menghadapi generasi hari depan yang bakal melupakan peranannya. Balasan itu tetap datang. Tradisi Islam mengajarkan kita supaya menjadi mata rantai perubahan yang beradab dan beretika.
Kepayahan yang dilalui oleh orang terdahulu menyebabkan nikmat kesenangan sampai kepada kita pada hari ini. Jadilah insan yang sentiasa mengenang budi baik orang supaya kita pula bakal dikenang oleh orang lain.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan