Rabu, 25 Januari 2012

ISU SOSIAL : Taksub kepartian punca rakyat pecah-belah ?


SATU kajian telah dijalankan oleh Merdeka Center mengenai nilai politik rakyat Malaysia bermula Januari hingga April 2010. Kajian itu memberi fokus kepada perpaduan negara. Daripada 10 pendapat yang tertinggi, 13 peratus daripada 3,141 atau 408.3 responden berpendapat ketidakstabilan politik iaitu pertelingkahan antara ahli politik dan parti politik yang menyebabkan perpecahan antara rakyat dalam sesebuah negara.

Malaysia dianggap dunia sebagai unik kerana anggota masyarakatnya berjaya hidup bersama dalam kepelbagaian budaya, agama dan bangsa lebih daripada 50 tahun selepas mencapai kemerdekaan, tetapi ia bukanlah satu tugas yang mudah. Beberapa insiden berdarah membabitkan pertelingkahan antara kaum pernah mewarnai sejarah negara kita. Semua anggota masyarakat tanpa mengenal perbezaan perlu mengambil iktibar dan perhatian daripada kejadian sebegini supaya peristiwa pergolakan kaum tidak berulang lagi.

Kepelbagaian parti politik dengan masing-masing mempunyai aspirasi perjuangan tersendiri sering mengundang pertelingkahan hingga menggugat keharmonian dan perpaduan antara rakyat. Sikap terlalu taksub kepada satu-satu parti politik menyebabkan politik Malaysia sering diwarnai dengan insiden tidak matang. Politik lucah, politik tuduh-menuduh, fitnah-memfitnah, sabotaj dan pelbagai lagi acap kali menghiasi dada media massa dan elektronik. Rakyat dihujani dengan politik perkauman melampau yang lama-kelamaan menghancur-leburkan solidariti bangsa Malaysia.

Kepelbagaian ini dapat disatukan jika semua menjunjung tasawwur politik berkonsepkan demokrasi yang telah dipersetujui. Kefahaman mendalam mengenai wawasan negara oleh semua parti politik adalah teras kepada kewujudan landskap politik yang bersatu-padu di tengah-tengah kemajmukan penduduknya.

Malah, yang penting ialah kefahaman setiap pemimpin parti politik dan penyokongnya kepada kedaulatan Perlembagaan yang menjadi panduan hidup bernegara.

Ketika ini, kerap kedengaran sesetengah pemimpin parti politik begitu lantang mempersoalkan peruntukan khas dan asas dalam Perlembagaan terutama yang membabitkan agama Islam, bahasa kebangsaan dan peruntukan khas orang Melayu masing-masing tercatat dalam Artikel 3, 152 dan 153.

Penyokong sesebuah parti disogok untuk membenci secara keterlaluan perbezaan ideologi politik sehingga pernah berlaku perkahwinan terhalang, perkahwinan bercerai-berai hanya disebabkan perbezaan parti politik.

Apatah lagi apabila kita berbicara mengenai masyarakat. Boleh jadi masyarakat berpecah-belah kerana sikap ultra-taksub kepartian yang ada pada diri setiap individu. Kata-kata kesat keterlaluan dihambur bagi menyatakan kebencian kepada pemimpin dan penyokong parti-parti lain sehingga menggadai nilai sopan dan santun masyarakat timur.

Semua individu bergelar rakyat Malaysia wajib menjaga dan mengekalkan perpaduan yang dikecapi. Kita tidak boleh meletakkan beban menjaga perpaduan ini atas bahu sesuatu pihak saja. Semua individu berkepentingan dalam memberikan sepenuh komitmen untuk menjaga dan mengekalkan perpaduan nasional. Ia juga tidak bersifat bermusim iaitu hanya mempromosikan perpaduan apabila ada perayaan dan keraian. Perpaduan adalah tanggungjawab bersama warga negara Malaysia.

FARIDAH MOHD TAP,
Kolej UNITI, Port Dickson,
Negeri Sembilan.


Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan