Sabtu, 7 Januari 2012

ISU BAHASA : Salleh Majid mesrakan ilmu ekonomi kepada masyarakat


MENELITI semula penulisan bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL), kini Bursa Malaysia, Allahyarham Datuk Mohd Salleh Abdul Majid, 62, yang meninggal dunia pada Isnin lalu, mengenai permasalahan berkaitan ekonomi, pelaburan dan saham peringkat nasional atau antarabangsa dalam bahasa Melayu, maka benarlah bagai dikata bahawa beliau adalah pejuang bahasa Melayu.

Beliau memiliki keistimewaan tersendiri kerana mampu menjadikan topik yang dirasakan sukar difahami, khususnya mereka yang tidak tahu langsung mengenai bidang ekonomi sebagai ilmu yang mudah dihadam, malah menarik untuk dipelajari.

Itulah kelebihan tokoh ekonomi dikagumi pelbagai lapisan masyarakat negara ini daripada kalangan mereka sealiran bidang dengannya sehingga kepada rakyat jelata yang menganggap ilmu berkaitan ekonomi sebagai sesuatu yang asing pada mulanya.

Justeru, kepulangan Allahyarham ke rahmatullah pada 2 Januari lalu akibat kanser rektum, amat dirasakan terutama mereka yang banyak mempelajari serta meneroka ilmu berkaitan ekonomi daripada hasil penulisan beliau di media cetak dan penjelasan melalui forum, dialog, seminar dan program televisyen.

Carian nama Allahyarham Salleh Majid di internet bakal menemukan kita dengan komen serupa, banyak ucapan terima kasih terhadap usaha beliau memesrakan ilmu ekonomi kepada masyarakat melalui penjelasan ringkas dan mudah difahami.

Tulisan beliau yang tidak menggunakan jargon ekonomi, sebaliknya selesa dengan penjelasan santai (atau borak kedai kopi) membuatkan sesiapa yang membaca akan mendapat manfaat jika tidak banyak pun, akan terdedah kepada ilmu baru daripada penulisan itu.

Mungkin menyedari sukarnya memahami istilah ekonomi dan ilmu bidang perniagaan mendorong kolumnis akhbar arus perdana serta majalah berkonsepkan bisnes itu berkongsi pengetahuan demi kelangsungan anak bangsanya.

Hebatkan, seorang yang dikenali kerana sikap rendah diri tetapi tegas pendirian itu, tidak pernah kenal erti jemu untuk mencurahkan rahsia berjaya dalam bidang keusahawanan, perniagaan, pelaburan dan ekonomi melalui baris-baris ayat.

Topik menarik dibahaskan termasuk insurans yang mempersoalkan kenapa orang Melayu dulu tidak gemar melabur dalam insurans (sekarang kebanyakan sudah menyedari kepentingan insurans) dan kesediaan peniaga menggunakan kemudahan internet untuk memasarkan produk mereka.

Itu dibangkitkan beliau 10 tahun lalu menyedari pentingnya usahawan yang ingin maju mempersiapkan diri mereka memanfaatkan perkembangan teknologi serta kemudahan perkhidmatan ditawarkan di pasaran. Kini apa yang dibangkitkan 10 tahun lalu kini dipraktikkan kebanyakan usahawan dalam perancangan strategi perniagaan mereka.

Perkongsian ilmu Salleh yang disifatkan sebagai tokoh mencatatkan pencapaian luar biasa dalam menerajui BSKL bersama pembaca akhbar Berita Harian bermula Mac 2001 apabila menjadi kolumnis akhbar ini. Tulisan hasil buah fikiran beliau turut tersiar di Utusan Malaysia dan Business Times.

Beliau turut bercerita mengenai kesan apabila hutang tidak dibayar selain mencerahkan pemikiran pembaca mengenai sumbangan mereka terhadap ekonomi negara melalui amalan berbelanja. Tidak ketinggalan, kesan tragedi 11 September di Amerika Syarikat yang mengubah landskap ekonomi dunia.

Menyedari pentingnya supaya apa yang disampaikan benar-benar difahami dan dapat dimanfaatkan, Salleh mementingkan komunikasi dua hala apabila berkongsi maklumat khususnya dengan wartawan yang akan menyebarkan pandangan beliau kepada umum.

Memetik pandangan Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) Datuk Moehamad Izat Emir, Allahyarham adalah seorang tokoh yang konsisten dan tidak pernah teragak-agak dalam membuat keputusan.

“Diharap ada pihak yang mengumpulkan buah fikiran Allahyarham untuk dibukukan. Sebagai anak Melayu, Allahyarham dikagumi kerana mampu membuat perubahan amat ketara dalam ekonomi Bumiputera Melayu,” katanya.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Datuk Ibrahim Ali kagum dengan perjuangan gigih Allahyarham memperjuangkan ekonomi bangsa Melayu.

“Saya bersama beliau belajar di Institut Teknologi MARA (kini Universiti Teknologi MARA) tetapi beliau tidak memilih bidang politik, sebaliknya memilih bidang profesional. Paling menarik, dia bukan oportunis. Dia hanya bincang pasal ekonomi tapi tak pernah ambil kesempatan. Hidup dia pun sangat sederhana...dia seperti orang biasa saja,” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan