Sabtu, 18 Februari 2012

ISU KENEGARAAN : Kaji semula dasar terlalu terbuka visa, pas lawatan pelajar


Oleh Anwar Patho Rohman
wananwar@bharian.com.my

Bendung Malaysia jadi hab dadah antarabangsa


LAPORAN Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), November lalu, mendedahkan kumpulan mafia dadah antarabangsa dari Afrika dan Iran semakin aktif dalam pengedaran methamphetamine di Asia Tenggara hingga ke Asia Timur.

Pil rangsangan (ATS) termasuk amphetamine dan methamphetamine atau syabu menjadi dadah pilihan di kebanyakan bahagian di Asia Tenggara dan Asia Timur, khasnya sejak 1990-an, menggantikan dadah berasaskan tumbuhan seperti heroin, candu dan ganja.
Ia mudah dihasilkan di mana saja dan memberi keuntungan lumayan menerusi pelaburan kecil. Peningkatan penggunaan dadah itu dilaporkan oleh kebanyakan negara di rantau ini terutama pada 2010 dan tahun lalu.

Penjenayah Afrika yang terbabit dalam jual beli kokain dan heroin beralih kepada penyeludupan ATS, manakala kumpulan Iran dikenal pasti sebagai ancaman besar penyeludupan dadah di rantau ini.

Tidak hairanlah Malaysia berjaya menahan seramai 228 penyeludup dadah dari Iran pada 2009 hingga 2010 kerana menyeludup methamphetamine.

Sepanjang tahun lalu saja, Kastam Diraja Malaysia (KDRM) merampas pelbagai jenis dadah seberat 187.45 kilogram (kg) bernilai lebih RM34 juta selepas mematahkan 39 cubaan menyeludup masuk bahan terlarang itu ke Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang.

Rampasan paling banyak membabitkan dadah jenis methaphetamine atau syabu iaitu 125.2kg (RM31.78 juta), diikuti ketamin 47.55kg (RM666,585); eramin sebanyak 9.5kg (RM958,000); heroin 3.21 kg (RM640,000) dan ganja 1.8 kg (RM4,320).

Sepanjang tahun lalu, KDRM KLIA menahan 30 suspek, sembilan warga Nigeria, enam rakyat Malaysia, lima India, tiga Iran, dua Cyprus dan masing-masing seorang warga Vietnam, Sweden, Pakistan, Sierra Leone serta Azerbaijan kerana disyaki menjadi keldai dadah sindiket penyeludupan dadah antarabangsa.

Dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini saja, ada tiga kes warga asing khasnya dari Iran ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan KDRM kerana kesalahan menyeludup dadah di KLIA atau memproses dadah di banglo mewah di ibu negara.

Ada beberapa faktor yang mendorong kepada perkara ini berlaku antaranya, tahap keselamatan di pintu masuk negara yang lemah di samping sikap ‘tidak apa’ di kalangan pegawai yang menjaga keselamatan pintu masuk negara.

Mungkin tidak adil menuduh pegawai jabatan kerajaan bersikap sambil lewa, tetapi penyeludupan dadah boleh dihalang jika semua pihak mempunyai inisiatif untuk mengetatkan pemeriksaan dan pemantauan di setiap pintu masuk negara ini.

Justeru, cadangan KDRM sebelum ini yang mahu menempatkan mesin pengimbas canggih dan berteknologi tinggi amat dialu-alukan bagi mengatasi jenayah penyeludupan dadah berleluasa di lapangan terbang atau pelabuhan di negara ini.

Pada masa sama, pakar kriminologi, Datuk Akhbar Satar, berkata agensi penguatkuasaan mempunyai pelbagai alternatif untuk mengekang jenayah ini seperti menambah pegawai risikan yang cekap dan berpengalaman serta berintegriti tinggi.

Katanya, pegawai risikan ini perlu bertanggungjawab, tidak mudah digoda dengan rasuah sehingga bersikap ‘tutup mata’ dengan tidak memeriksa barang atau bagasi suspek yang disyaki penyeludup dadah.

“Agensi keselamatan perlu memiliki alat pengesan atau pengimbas dadah untuk mengawal kemasukan dadah atau barang larangan lain. Walaupun begitu, kita tahu penjenayah juga bijak. Mereka akan mencari jalan untuk mengatasi masalah ini.
Kita hanya perlu memiliki alat lebih canggih,” katanya.

Beliau mengambil contoh, pihak keselamatan lapangan terbang di luar negara seperti di Melbourne, menempatkan pegawai berserta seekor anjing pengesan untuk menghidu dan memeriksa bagasi yang disyaki mengandungi bahan larangan seperti dadah.

Satu lagi kelemahan yang perlu diambil perhatian sistem saringan dan keselamatan kemasukan warga asing ke Malaysia, kata Akhbar, ialah dasar terlalu terbuka dalam pemberian visa atau pas lawatan pelajar kepada warga asing khasnya dari Iran dan Afrika.

“Ada yang menyalahgunakan pas pelajar untuk menjalankan kegiatan pengedaran dadah. Kementerian Pengajian Tinggi juga perlu membantu pihak penguatkuasa bagi mengatasi masalah ini," katanya.

Beliau juga tidak menolak kebanjiran warga asing ke negara ini seperti Iran di Nilai 3, Negeri Sembilan, mendorong warga negara itu menyeludup dadah ke negara ini bagi memenuhi keperluan rakyat negara itu yang diketahui bebas mengambil dadah di tempat mereka.

Mengulas mengenai kecenderungan warga asing ini menjadikan banglo mewah atau kondominium untuk dijadikan makmal memproses dadah, Akhbar berkata, ia menunjukkan penjenayah asing sudah mengkaji kelemahan sistem keselamatan negara ini.

Justeru, beliau mencadangkan supaya pihak berkuasa di pintu masuk negara supaya membuat laporan profil terhadap warga asing yang disyaki menjadi kumpulan pengedaran dadah ke negara atau rantau ini.

Beliau berpendapat, permintaan dadah methamphetamine yang tinggi di Malaysia dan rantau ini mendorong mafia dadah berlumba-lumba menyeludup dadah menerusi negara ini, yang akhirnya mencemar dan memburukkan nama negara.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan