Selasa, 20 Mac 2012
ISU PENDIDIKAN : STPM baharu - Mampukah menarik ramai pelajar?
Oleh : Allmuddin Mohd. Dom
TRANSFORMASI pendidikan melalui pelaksanaan sistem pentaksiran baharu Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dilihat seperti serampang dua mata iaitu ingin menarik lebih ramai pelajar untuk menduduki peperiksaan tersebut kerana jumlahnya semakin berkurangan tahun demi tahun.
Keduanya untuk menyesuaikan dengan perkembangan baru dalam dunia pendidikan pra universiti iaitu berasaskan 'outcome based education' bertujuan melahirkan modal insan cemerlang yang menekankan 'character building' dan memiliki kemahiran insaniah atau 'soft skills.' Pendekatan dan kaedah ini telah pun diamalkan dalam kurikulum dan peperiksaan peringkat antara bangsa iaitu 'A Level' dan 'International Baccalaureate' (IB).
Seperti biasa selepas keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan hampir setengah juta pelajar akan mengikut haluan sendiri untuk mengejar cita-cita masing-masing.
Nampaknya mereka mempunyai pilihan yang terbuka luas sama ada ingin mengikuti pengajian di peringkat diploma, mengambil sijil kemahiran, mengikuti kelas matrikulasi atau memasuki tingkatan enam bagi mengambil STPM.
Bagi mereka yang tidak berminat melanjutkan pelajaran boleh saja memohon pekerjaan di sektor awam atau swasta. Atau yang memiliki bakat keusahawanan mungkin akan melakukan kerja sendiri sama ada berniaga, bertani dan sebagainya. Sementara itu, mereka yang ingin melanjutkan pelajaran di seberang laut boleh mengambil peperiksaan 'A Level' atau 'IB' yang ditawarkan di kolej-kolej swasta tertentu.
Sesungguhnya tidak sukar melanjutkan pelajaran tinggi di negara kita. Terdapat ratusan institusi pendidikan tinggi awam dan swasta di seluruh negara yang menawarkan ratusan jenis kursus. Pilihlah mana yang sesuai dengan minat dan keupayaan sendiri atau seperti kata pepatah 'tepuk dada tanya selera.' Jangan lupa bidang yang dipilih mestilah mempunyai nilai dan permintaan tinggi di pasaran pekerjaan jika tidak mungkin akan menimbulkan masalah selepas bergraduat nanti.
Dari segi kewangan pula jangan bimbang, kita ada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) atau Pinjaman Pelajaran MARA yang sedia membiayai pengajian secara pinjaman bagi mereka yang memenuhi syarat.
Beruntunglah mereka yang mendapat keputusan cemerlang dalam SPM kerana Jabatan Perkhidmatan Awam, Bank Negara dan banyak lagi institusi awam, swasta dan badan-badan persendirian yang sudi membiayai pengajian mereka sama ada di dalam atau luar negara.
Bagi tujuan menarik minat lebih ramai pelajar untuk memasuki tingkatan 6, Majlis Peperiksaan Negara (MPM) akan memperkenalkan peperiksaan STPM baharu yang diluluskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada pada 4 Januari 2012.
Perubahan ini akan dimulakan kepada pelajar tingkatan 6 bawah yang akan mendaftar mulai Mei 2012 ini. Mereka merupakan pelajar kohort pertama yang akan mengambil peperiksaan STPM baharu yang akan diduduki pada akhir tahun 2013 nanti.
STPM dulunya dikenali sebagai High School Certificate (HSC) telah dimulakan sejak 1950an yang merupakan satu-satunya peperiksaan untuk membolehkan seseorang diterima masuki universiti. Apabila Dasar Pendidikan Kebangsaan diperkenalkan mulai 1970 maka secara beransur-ansur peperiksaan STPM menggantikan HSC.
STPM mempunyai kelebihan kerana kurikulumnya berbentuk umum. Misalnya pelajar aliran kemanusiaan akan mengambil subjek Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Ekonomi, Sejarah dan Pengajian Am di mana mereka boleh memilih untuk memasuki sama ada fakulti Ekonomi, Undang-Undang, Pengajian Perniagaan, Sastera atau Sains Sosial apabila memasuki universiti nanti.
Ini berbeza dengan pelajar yang mengambil diploma atau matrikulasi di mana bidangnya lebih menjurus kepada pengkhususan. Misalnya, bagi mereka yang mengambil Diploma Pendidikan akan mengikuti Ijazah Pendidikan apabila memasuki universiti. Demikian juga aliran matrikulasi yang kebiasaan akan mengikuti ijazah dalam sains tulen.
Bagi melaksanakan transformasi ini kajian dan projek rintis telah dilaksanakan sejak beberapa tahun lepas. Ini bagi memastikan supaya perubahan ini dapat dilaksanakan dengan lancar seperti yang dirancangkan. Bermula pengambilan pelajar tahun ini mereka akan mengikuti pengajian berbentuk penggal iaitu setiap hujung penggal akan diadakan peperiksaan.
Ini bermakna pelajar tidak lagi dibebankan dengan peperiksaan di akhir tahun. Peperiksaan setiap penggal akan diberikan wajaran iaitu 20% hingga 40% dan dikendalikan secara Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS).
Sementara itu, peperiksaan akhir wajarannya sebanyak 60% hingga 80% adalah peperiksaan berpusat yang dikendalikan oleh MPM. Ini bermakna kandungan kurikulum menjadi lebih ringan kerana dibahagi kepada tiga penggal. Pelajar-pelajar akan mempunyai masa lebih untuk membahagikan aktiviti pembelajaran mereka.
Apa yang menarik dengan kaedah baru ini sekiranya pelajar mendapat keputusan yang tidak memuaskan bagi setiap akhir penggal mereka boleh mengulang semula subjek berkenaan di penggal seterusnya. Pelajar yang tidak mencapai keputusan yang baik bagi penggal 3 boleh juga menduduki semula peperiksaan akhir penggal 3 sahaja pada Mac/April tahun berikutnya.
Keputusan keseluruhan peperiksaan STPM Baharu ini adalah berdasarkan gabungan keputusan terbaik bagi ketiga-tiga penggal. Dengan cara ini memberi peluang kepada pelajar untuk memperbaiki keputusan peperiksaan supaya ia benar-benar terbaik. Keputusan ini dijangkakan memberi peluang lebih besar kepada pelajar untuk terpilih memasuki universiti nanti.
STPM baharu ini disediakan agar selari dengan perkembangan penilaian dan peperiksaan di peringkat antarabangsa. Misalnya kurikulum 'A Level' dan 'IB' bukan lagi menekankan peperiksaan bertulis semata-mata tetapi turut menilai pelajar melalui tugasan dan kerja kursus seperti penyediaan kertas projek, kertas seminar dan kajian luar.
Bagi melahirkan modal insan cemerlang ditekankan pula kemahiran insaniah atau 'soft skills' seperti menggalakkan aktiviti secara berkumpulan, kemahiran berkomunikasi, membina asas kepimpinan dan menggalakkan mereka sentiasa berfikir secara kritis. Dalam STPM baharu ini semua kaedah tersebut diterapkan dengan memberikan markah kepada gerak kerja dan aktiviti tersebut melalui PBS.
Penyebaran maklumat tentang STPM baharu ini perlu dilakukan secara meluas kepada pelajar dan ibu bapa agar lebih ramai pelajar memasuki tingkatan 6 dan menduduki peperiksaan STPM.
Moga-moga kita akan dapat melahirkan lebih ramai pelajar yang berketerampilan dan berdaya saing sebelum mereka menjejakkan kaki ke universiti nanti. Walau apa pun tahniah dan syabas kepada MPM.
PENULIS ialah Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan