Jumaat, 30 Mac 2012

ISU SOSIAL : Kurang pendedahan punca jumlah penderma organ rendah



Oleh Nor Fariza Ramlan
norfariza@bharian.com.my


WALAUPUN fatwa mengharuskan pendermaan organ sudah lama wujud dalam negara kita seawal 1962 lagi, tahap kesediaan masyarakat khususnya orang Melayu untuk menjadi pengikrar masih lagi rendah.

Halangan seperti ahli keluarga tidak bersetuju serta beranggapan menderma organ akan mencederakan atau menyeksa mayat menjadi faktor kekurangan pengikrar sehingga tahun ini.

Kempen mengenai isu terbabit dan perbincangan dari perspektif umum atau agama sudah mula dijalankan secara giat oleh agensi terbabit dalam tempoh dua hingga tiga tahun kebelakangan ini.

Apa yang mengecewakan sehingga Februari tahun ini, walaupun kesedaran dilihat meningkat secara perlahan, pengikrar derma organ dalam kalangan masyarakat Melayu masih pada tahap amat rendah dengan jumlah 18.78 peratus, manakala masyarakat Cina (54.23 peratus), India (24.14 peratus) dan bangsa lain (2.82 peratus).

Dari segi definisi, pendermaan organ ialah proses mendermakan sebahagian tubuh badan untuk tujuan pemindahan bagi organ dan tisu yang masih berfungsi daripada penderma masih hidup atau meninggal dunia kepada pesakit.

Ia kaedah rawatan terbukti dapat menyelamatkan nyawa mereka yang mengalami kegagalan organ dan buat masa ini, dianggarkan lebih 15,000 pesakit memerlukan buah pinggang sedang menanti organ bagi proses pemindahan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Awam Pendermaan Organ, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata kesedaran masyarakat negara ini untuk menderma masih kurang iaitu tidak sampai satu peratus daripada 28.3 juta rakyat bersedia menjadi pengikrar.

“Sehingga Februari tahun ini, seramai 190,041 individu mendaftar sebagai pengikrar dengan wanita mewakili 54.3 peratus, mendahului lelaki pada kadar 45.16 peratus.

“Tidak dinafikan sepanjang proses kempen berjalan, pembabitan masyarakat Melayu menunjukkan peningkatan melalui kaedah penyampaian maklumat yang baik ketika menjawab pelbagai persoalan yang dilontarkan,” katanya.

Katanya, mereka yang beragama Islam perlu didedahkan mengenai proses ini yang mendapat sokongan Majlis Transplantasi Kebangsaan dan Kementerian Kesihatan.

“Satu buku berkaitan pemindahan organ diterbitkan bertajuk Pemindahan Organ Dari Perspektif Islam bagi membincangkan isu yang sering menjadi pertanyaan.

“Buku ini boleh didapati di hospital kerajaan, jabatan kesihatan atau memuat turun salinan digital melalui laman web Kementerian Kesihatan,” katanya.

Melalui kempen Sejuta Rakyat Berikrar Sokong Pendermaan Organ, ia lebih fokus untuk menggalakkan pendaftaran sebagai penderma kardaverik (selepas meninggal dunia).

Organ serta tisu yang boleh didermakan ialah jantung, paru-paru, hati, buah pinggang, mata (kornea), injap jantung, tulang dan kulit.

Pendermaan selepas meninggal dunia digalakkan kerana pelbagai organ dan tisu boleh digunakan dan memberi manfaat serta hidup baru kepada ramai pesakit.

Sehingga tahun ini, seramai 364 penderma kardaverik berjaya menunaikan hasrat mereka dengan 738 organ berjaya dimanfaatkan.

Jumlah organ dan tisu yang dimanfaatkan ialah buah pinggang (197), jantung (27), hati (44), paru-paru (9), injap jantung (143), kornea (246), kulit (15) dan tulang (65).

Kempen berkenaan menyasarkan sebanyak sejuta orang mendaftarkan diri sebagai pengikrar dan juga berharap lebih banyak NGO, persatuan penduduk, persatuan agama akan tampil memberikan sokongan kepada program ini.

Lee berkata, kesedaran bukan saja dilakukan dalam kalangan penduduk, malah Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Awam Pendermaan Organ mengunjungi sekolah bagi mendekati generasi muda di institusi pengajian tinggi (IPT).

Selain memberi kesedaran, kempen ini dapat mengatasi aktiviti pemerdagangan organ dengan mengangkat pendermaan organ sebagai perbuatan mulia di sisi agama tanpa perlu membuat pembayaran.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan