Sabtu, 21 April 2012

ISU BAHASA : Bahasa jadikan kita warga global berjaya

Rakyat digalak kuasai Mandarin, Arab

SANDAKAN: Rakyat, terutama pelajar digalakkan menguasai lebih daripada bahasa Melayu dan Inggeris bagi memastikan mereka berdaya saing ketika memohon pekerjaan atau memulakan perniagaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata antara bahasa yang perlu dikuasai termasuk Mandarin dan Arab kerana ia bukan saja digunakan komuniti antarabangsa, malah memudahkan persaingan mendapatkan pekerjaan dan menceburi perniagaan.

“Saya menggalakkan pelajar menguasai pelbagai bahasa, terutama sejak di bangku sekolah kerana ia memberi kelebihan kepada kita untuk menjadi warga global yang berjaya seantero dunia.

“Sekarang bahasa Mandarin sudah jadi bahasa pertuturan antarabangsa. Jika kita menguasai bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin, ia menjadikan kita hebat untuk bersaing pada peringkat antarabangsa,” katanya pada majlis pecah tanah Bangunan Serba Guna Sekolah Menengah Yu Yuan di sini, semalam.

Hadir bersama 2,000 hadirin adalah Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman; Timbalannya, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; Ahli Parlimen Sandakan, Datuk VK Liew; dan Pengerusi Lembaga Pengelola sekolah berkenaan, Ramona Lai Ai Fong serta kira-kira 2,000 hadirin.

Ditubuhkan pada 1963, ia adalah sekolah persendirian pertama di bandar ini dan menyediakan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), iaitu peperiksaan khas untuk pelajar aliran Cina, selain Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Mengambil contoh dua anaknya mempelajari bahasa Mandarin dan Arab, Najib berkata, seorang daripada mereka yang menuntut di sebuah universiti di Amerika Syarikat turut mengambil satu kertas pilihan, bahasa Mandarin.

Pada cuti semester musim panas lalu, anak Perdana Menteri dihantar ke Beijing University of Foreign Studies di China untuk mendalami bahasa Mandarin, manakala seorang lagi mengambil kertas bahasa Arab.

Sambil memuji dua pelajar perempuan fasih berbahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin yang mengacara majlis pecah tanah itu, Perdana Menteri berkata, penguasaan bahasa ketiga selain bahasa Melayu dan Inggeris membolehkan pelajar bersaing dengan lebih yakin ketika memasuki alam pekerjaan.

Najib turut mengumumkan peruntukan RM1 juta bagi membantu membina bangunan serba guna bernilai RM5 juta di sekolah itu kerana percaya sekolah sedemikian mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan komuniti setempat.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan