Jumaat, 20 April 2012

ISU KENEGARAAN : Ruang demokrasi yang matang


Oleh Mohd. Ayop Abd. Razid

KETIKA menyampaikan ucapan sempena menyambut Hari Malaysia 2011, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 dan pemansuhan Akta Buang Negeri.

Pada 5 Oktober pula, Perdana Menteri semasa membentangkan cadangan pemansuhan Akta Kediaman Terhad di Dewan Rakyat mengumumkan pembebasan serta merta kesemua 125 orang tahanan Perintah Kediaman Terhad dan pembatalan lebih daripada 200 waran yang belum disampaikan di bawah akta terbabit.

Kesemua pengumuman itu menjadi detik bersejarah bagi politik Malaysia kerana ia membuka lembaran baru ke arah pengamalan demokrasi yang lebih matang dan terbuka.

Najib melihat akta-akta terbabit tidak lagi relevan dengan prinsip demokrasi dan keadilan dalam arus politik masa ini. Walaupun pengumuman itu mengejutkan banyak pihak terutamanya ahli-ahli dan aktivis badan-badan bukan kerajaan (NGO), namun mereka menyambutnya dengan positif dan menyifatkannya sebagai satu keberanian politik yang dilakukan oleh Najib.

Selama ini parti-parti politik pembangkang menganggap ISA dan beberapa akta lain sebagai tidak bertamadun dan tidak berperikemanusiaan. Ia dijadikan modal politik untuk mengkritik dan menghentam kerajaan. Malah, pada 1988 Tun Abdullah Ahmad Badawi turut mengkritik ISA yang didakwanya disalahgunakan untuk melakukan tahanan politik ke atas orang lain.

Pada Oktober 2008, sebanyak 65 buah NGO bergabung bagi menentang ISA yang dikenali sebagai Gerakan Mansuhkan ISA (GMI). Namun, langkah kerajaan memansuhkan ISA bukan atas tekanan itu tetapi didorong oleh semangat transformasi yang sedang dilaksanakan Najib.

Pemansuhan ISA tidak bermakna negara tidak lagi memerlukan undang-undang khusus untuk melindungi keselamatan dan kedaulatan negara. Negara masih memerlukan undang-undang baru yang berfungsi melindungi keselamatan negara dari ancaman bentuk baru yang melanda dunia hari ini iaitu ancaman ekstremis dan pengganas.

Amerika Syarikat (AS) sendiri yang pernah menggesa kerajaan memansuhkan ISA telah menggubal dua akta yang hampir serupa dengan ISA. Kedua-dua akta terbabit yang digubal selepas berlakunya peristiwa 11 September 2001 ialah 2001 USA Patriot Act dan Anti- Terrorism Act of 2001 yang membolehkan pihak berkuasa AS menahan dan memenjarakan mana-mana orang yang disyaki terlibat dalam aktiviti pengganas tanpa melalui perbicaraan mahkamah.

Dalam trend keganasan global hari ini, negara pada bila-bila masa boleh diancam oleh pengganas sama ada yang datang dari dalam mahupun dari luar. Justeru, satu bentuk undang-undang yang dapat mencegah dan membendung kejahatan kemanusiaan seperti ini amat diperlukan.

Untuk itu, kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 di Dewan Rakyat pada Isnin lalu dan ia diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 17 April lalu tanpa sebarang pindaan. Dewan Rakyat turut meluluskan Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2012 yang akan melengkapi Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

Dalam menggubal Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012, kerajaan turut mengkaji beberapa akta keselamatan di beberapa negara seperti Akta Pencegahan Pengganas di Britain dan Akta Patriot di AS. Kedua-dua negara berkenaan meluluskan akta berkenaan selepas serangan pengganas di New York dan Washington DC pada 11 September 2001.

Akta baru itu membabitkan peruntukan untuk menangani ancaman pengganas, sabotaj, pengintipan dan aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen. Seperti yang diungkap Najib bahawa Penguatkuasaan Akta Kesalahan Keselamatan 2012 itu nanti akan mengekang kegiatan seseorang atau kumpulan yang mahu mengguling atau melemahkan demokrasi berparlimen dengan cara ganas dan tidak berlandaskan Perlembagaan.

Ia turut mengambil kira keseimbangan antara hak asasi manusia dengan kepentingan keselamatan negara. Justeru, terdapat beberapa perbezaan antara ISA dan akta baru ini. ISA memberikan kuasa untuk menahan mana-mana individu yang dikehendaki selama 60 hari tanpa perbicaraan. Selepas 60 hari, Menteri Dalam Negeri boleh meluluskan untuk menahan orang yang ditahan itu selama tempoh dua tahun tanpa merujuk mahkamah.

Sebaliknya di bawah akta baru itu, polis akan diberikan tempoh selama 29 hari sahaja untuk menahan seorang suspek bagi tujuan siasatan. Selepas tempoh tersebut berakhir, suspek mesti didakwa atau dibebaskan. Individu yang ditahan di bawah undang-undang baru berhubung anti keganasan pula boleh mencabar penahanan mereka di mahkamah. Ini berbeza daripada peruntukan ISA, di mana habeas corpus tertakluk kepada tujuan penahanan.

Mengikut akta baru itu, tahanan berkenaan boleh memfailkan writ habeas corpus ke atas sebab dan tujuan penahanan mereka. Jelaslah kepada kita bahawa di bawah penguatkuasaan akta baru itu nanti, kuasa untuk membuat semakan kehakiman ke atas sebab penahanan itu dikembalikan semula ke mahkamah. Selain itu, akta baru berkenaan turut menyatakan secara khusus tiada siapa akan ditahan kerana fahaman politik masing-masing.

Langkah pembaharuan perundangan bukan sahaja menyentuh soal pemansuhan ISA, malah turut melibatkan penyemakan dan pembaikan beberapa akta lain. Misalnya, kerajaan telah pun membentangkan di Dewan Rakyat untuk Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1974.

Tahun lalu, kerajaan telah pun menggubal Akta Perhimpunan Aman 2011. Selain itu, kesediaan kerajaan untuk mengkaji semula Akta Hasutan dilihat akan memberi kesan positif terhadap hak asasi manusia.

Kerajaan juga telah membatalkan tiga proklamasi darurat yang masih berkuat kuasa dan semua ordinan di bawah perisytiharan itu mansuh pada bulan Jun depan. Tiga perisytiharan darurat terbabit itu ialah perisytiharan darurat ekoran daripada rusuhan kaum 13 Mei yang diisytiharkan pada 15 Mei 1969, pengisytiharan darurat bagi menyelesaikan pertikaian politik yang berlaku di Sarawak (14 September 1966 ) dan Kelantan pada 8 November 1977.

Tiga lagi ordinan yang berkaitan dengan RELA, Rukun Tetangga dan Undang-undang Laut Wilayah turut dibentangkan sebagai rang undang-undang baru di Dewan Rakyat.

Selain pemansuhan dan penyemakan beberapa akta, kerajaan juga telah berusaha membaiki sistem pilihan raya di negara ini. Untuk itu, kerajaan telah membentuk Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya.

Jawatankuasa itu dianggotai oleh wakil- wakil dari parti pemerintah tetapi juga wakil- wakil dari parti pembangkang. Kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengkaji semua 22 syor PSC bagi tujuan menambah baik perjalanan sistem pilihan raya di negara ini. SPR juga sedang berusaha untuk membersihkan senarai daftar pemilih dan bersedia untuk melaksanakan penggunaan dakwat kekal pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Hakikatnya, kerajaan di bawah kepemimpinan Najib menyedari bahawa rakyat pada hari lebih bijak dan lebih berpengetahuan. Mereka melihat demokrasi dalam konteks yang luas dan universal merentasi sudut pandang politik kepartian. Mereka mahu hak-hak rakyat dan hak asasi seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara ditegakkan sepenuhnya.

Namun, rakyat juga perlu faham bahawa setiap kebebasan itu perlu berasaskan kepada konsep 'hak berserta tanggungjawab' (rights with responsibility). Malah, dalam Artikel 29 (2) Piagam Sejagat mengenai hak asasi manusia ada menggariskan bahawa setiap orang hendaklah dikenakan had yang ditentukan oleh undang-undang bagi tujuan menegakkan dan mengiktiraf hak dan kebebasan orang lain. Ini bermakna hak kolektif (collective or community rights) tidak harus diketepikan.

Kesimpulan, kesediaan kerajaan di bawah kepemimpinan Najib melaksanakan transformasi politik adalah sejajar dengan perkembangan terkini di mana rakyat sudah bersedia untuk memasuki era politik baru. Rakyat mahukan kerajaan mendaulatkan hak-hak asasi seperti yang dijamin dan dilindungi perlembagaan.

Kini, kerajaan telah pun menunjukkan iltizam seperti yang pernah disebut Najib bahawa apa yang dilakukan kerajaan hari ini adalah bertepatan dengan pengertian demokrasi iaitu "pemerintahan dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat".

PENULIS ialah Penganalisis Media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen