Isnin, 9 April 2012

ISU SOSIAL : Dialog antara agama bantu pupuk perpaduan masyarakat


Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my


Program perlu didasari garis panduan, didukung ilmuwan

DIALOG antara agama penting bagi masyarakat majmuk di Malaysia untuk mengelak timbul salah faham seterusnya menjerumuskan negara ke kancah konflik antara agama yang akan meninggalkan kesan buruk kepada masa depan Negara.

Justeru, sebelum terjadi perkara tidak diingini, rakyat pelbagai bangsa serta agama perlu bersedia dan antara langkah boleh diambil ialah menggalakkan aktiviti dialog antara agama sehingga menjadi satu budaya sihat di negara ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Antarabangsa Kajian Tinggi Islam Malaysia (IAIS), Prof Datuk Dr Osman Bakar, menegaskan kepentingan dialog antara agama demi mengukuhkan perpaduan rakyat bagaimanapun mengakui usaha itu perlu didasari garis panduan serta peraturan.

Katanya, garis panduan penting sebagai syarat dan antara syarat untuk berdialog, ia hendaklah dilakukan oleh mereka yang mempunyai ilmu mengenai Islam dan ajaran agama lain, bukan sesiapa saja boleh mengambil bahagian.

“Saya tidak galakkan dialog daripada kalangan orang awam yang tidak ada pengetahuan mengenai agama Islam kerana ia aktiviti berasaskan keilmuan. Kita tidak boleh adakan satu aktiviti dialog kemudian siapa saja boleh datang untuk ambil bahagian walaupun tidak ada pengetahuan.

“Ini berbahaya kerana tujuan utama dialog untuk mewujudkan suasana sihat serta hidup aman damai,” katanya yang ditemui selepas menyampaikan ceramah umum bertajuk Peranan Islam Dalam Asas Budaya Dialog Antara Agama yang Baru Dalam Dunia Kontemporari.

Program anjuran IAIS dan Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya itu bertujuan menggalakkan budaya berdialog untuk melahirkan persefahaman, meningkatkan persamaan selain meminimumkan perbezaan dan memupuk rasa hormat di kalangan masyarakat majmuk.

Dalam ceramahnya, Prof Osman menegaskan masyarakat masih belum celik budaya berdialog khususnya dialog antara agama sedangkan aktiviti itu membantu masyarakat majmuk mengetahui serta memahami agama serta budaya bangsa lain.

Berdialog juga dapat menggalakkan persefahaman khususnya di kalangan pemimpin pertubuhan pelbagai agama atas kesedaran kepelbagaian memang wujud tetapi masih ada nilai kebersamaan yang boleh dikongsi demi kepentingan masyarakat sejagat.

Katanya, hakikatnya, Islam mempunyai peranan ke arah membudayakan dialog antara agama ini kerana idea positif disarankan Islam boleh dikongsi untuk menyumbang kepada persekitaran lebih sihat.

Malah, Islam menekankan unsur kerohanian dan nilai moral dalam setiap aspek kehidupan umatnya boleh menjadi asas kepada budaya berdialog antara agama, disokong pengalaman Islam dalam berdialog berdasarkan sejarah dulu.

Pada masa sama, beliau turut menggariskan beberapa cabaran yang boleh membantutkan hasrat membudayakan aktiviti dialog antara agama seperti masalah salah faham serta terlalu berprasangka terhadap tujuan sebenar dialog.

Prof Osman berkata, jika ada kebimbangan sesetengah pihak bahawa dialog antara agama boleh menyebabkan timbul perkara sensitif, maka pihak berwajib perlu menetapkan garis panduan untuk berdialog.

“Memang ada berasakan dialog antara agama tidak perlu. Kenapa? Kerana takut melalui aktiviti dialog iman kita akan goyah. Itu andaian kerana bagi yang terbabit dalam aktiviti dialog yakin dengan kebenaran Islam dan dialog sebagai wahana untuk menyampaikan ajaran Islam.

“Dialog satu bentuk dakwah juga. Objektif dialog ialah bagaimana kita hendak wujudkan persefahaman supaya dapat hidup aman damai. Oleh sebab itu, saya tekankan kenapa dialog antara agama ini perlu.

“Kita tidak membincangkan isu teologi kerana ia aspek paling sensitif dan sukar. Dialog antara agama membincangkan isu membabitkan masyarakat, moral, keruntuhan rumah tangga, keganasan terhadap wanita dan isu berbangkit yang lain supaya dapat ditangani secara bersama,” katanya.

Beliau berkata, masyarakat masih belum celik budaya dialog antara agama tetapi jika budaya itu digalakkan dan dilakukan dengan betul, orang ramai semakin faham, mengakui kepentingannya serta bersedia membuka ruang untuk budaya dialog antara agama terus berkembang.

Prof Osman berkata, apa yang berlaku sekarang ialah ruang dialog dibuka seluasnya tanpa sebarang panduan dan syarat menyebabkan berlaku keadaan tidak diingini seperti kebebasan memberi pandangan tanpa memikirkan kesannya.

Itu yang berlaku di blog, laman web serta forum kerana sesiapa saja boleh memberikan pendapat serta hujah hingga membawa kepada keadaan tidak diingini seperti kritikan tidak berasas, caci mencaci.

Katanya, semua itu boleh dielakkan jika ruang dialog mengikut garis panduan dibuka dan dijadikan budaya dalam masyarakat.

Ditanya adakah isu murtad akan dapat ditangani melalui aktiviti dialog antara agama, beliau tidak menyangkal kemungkinan itu kerana katanya, ada pihak daripada penganut Kristian sendiri tidak bersetuju dengan dakyah Kristianisasi itu.

“Banyak orang Islam tidak senang dengan aktiviti menukarkan agama orang Islam dan memang ada kumpulan Kristian yang ghairah hingga mengetepikan semangat menghormati antara agama itu. Oleh itu kita perlu berdialog dengan mereka.

“Melalui bukti yang ada, kita tunjukkan apa mereka lakukan kepada kumpulan Kristian ini dan minta jasa baik mereka, khususnya yang tidak bersetuju dengan dakyah menukarkan agama orang Islam supaya menegur kumpulan yang memurtadkan orang Islam.

“Saya pernah dimaklumkan ada kumpulan Kristian tidak setuju dengan tindakan menukar agama orang Islam. Ini juga jelas melanggar peraturan yang ada pada pihak agama lain. Undang-undang sudah ada dan alangkah baiknya undang-undang itu dihormati bukan Islam,” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan