Sabtu, 7 April 2012

ISU SOSIAL : Tekanan sebagai jambatan menuju kejayaan


Oleh Sharifah Hayaati
bhagama@bharian.com.my


Enam penyelesaian ubah stres kepada sukses dalam mencari hikmah pengajaran

Dalam mengejar cita-cita untuk berjaya, tekanan seperti sudah menjadi satu lumrah dan harga yang perlu dibayar untuk mengecapi kejayaan. Umat Islam sudah diingatkan Allah dalam firman yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah al-Ra`du, ayat 11)

Ada kalangan kanak-kanak dan remaja juga sering menyebut mengenai tekanan walaupun masalah dihadapi sangat kecil dan mudah diselesaikan. Ada menggunakan perkataan hampir kepada stress seperti bosan, jemu dan sebagainya. Justeru, bagaimana penyelesaian Islam apabila berdepan apa juga jenis serta penyebab tekanan?

Indahnya ajaran Islam apabila Allah SWT memuji hamba-Nya sebagai sebaik-baik kejadian dan Allah tidak membebankan hamba-Nya sesuatu di luar kemampuan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui setiap kejadian-Nya.

Namun, sehebat-hebat manusia, bulan yang dicita tak akan jatuh ke riba tanpa usaha dan dalam usaha mencapai cita-cita, sudah tentu ada jatuh bangunnya, susah senangnya, pahit getirnya kerana langit tidak selalunya cerah.

Kegetiran dan kepahitan inilah yang selalunya memberikan kita tekanan kerana manusia secara semula jadi sukakan kesenangan dan tidak suka kepada kesusahan.

Justeru, Allah mengingatkan dalam firman yang bermaksud: “Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal salih), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal salih yang lain).” (Surah ash-Sharh, ayat 5-7)

Mengubah tekanan kepada kejayaan, pertamanya kita perlu berfikiran positif dengan yakin bahawa pada kesukaran itu ada hikmah pengajaran yang mungkin tidak akan dapat ditimba dalam keadaan senang.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya besarnya balasan baik adalah dengan besarnya ujian dan bala (tahap ganjaran adalah setimpal dengan tahap kesukaran mihna’), dan Allah SWT apabila kasihkan satu kaum lalu akan didatangkan baginya ujian, sesiapa yang mampu reda maka ia beroleh reda Allah dan barang siapa yang ingkar, maka akan beroleh azab Allah.” (Hadis riwayat At-Tirmizi)

Kedua, hendaklah berlapang dada dengan melihat ke dalam diri adakah kekuatan mahupun kelemahan yang ada perlu diatasi dan jangan mudah putus asa. Ada sehingga menyalahkan takdir atau nasib dengan kata-kata, “apalah nasib saya, kerja semuanya tak kena”.

Ada kala kita berfikiran pendek ingin berhenti kerja dan mencari kerja lain, sedangkan kita sendiri belum tahu cabaran dan tekanan kerja di tempat lain.

Ketiga, kita perlu sabar kerana sabar adalah terapi hebat dan membangunkan kemampuan daya tahan jiwa dalam Islam.

Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai sekalian orang beriman, bersabarlah kamu sekalian dan teguhkanlah kesabaranmu itu, tetaplah bersiap sedialah dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beruntung.” (Surah Ali-Imran, ayat 200)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Amat dikagumi sifat orang mukmin, iaitu semua urusan yang menimpanya adalah baik, dan tidaklah seorang mukmin itu kecuali apabila ditimpa kebaikan, ia bersyukur lalu menjadi kebaikan baginya; dan bila ditimpa musibah ia bersabar dan menjadi kebaikan baginya.” (Hadis riwayat Muslim)

Keempat, sering membandingkan diri dengan keadaan mereka yang jauh lebih terbeban daripada kita disebabkan penderitaan kemiskinan, malapetaka, bencana alam, mangsa peperangan dan persengketaan kaum. Nescaya kita akan berasa bersyukur.

Kelima, kongsi perasaan dan masalah kerja dengan individu yang boleh dipercayai atau mampu memberikan penyelesaian.

Keenam, hendaklah teruskan usaha dengan cara terbaik dan akhir sekali bermunajat dengan solat dan berdoa kepada Allah.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barang siapa yang melazimkan beristighfar, nescaya pada setiap kesedihan itu Allah gantikan dengan kegembiraan, dan pada setiap kesempitan itu Allah tunjukkan jalan keluarnya dan dikurniakan rezeki yang tidak disangka-sangka.”

Kesemua usaha ini menjadi penyelamat kepada umat Islam supaya tidak terus tenggelam dalam belenggu tekanan hidup sebaliknya menjadikan tekanan sebagai jambatan menuju kejayaan.

Penulis ialah pensyarah di Jabatan Siasah Syar'iyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan