Jumaat, 25 Mei 2012

ISU SOSIAL : Buku Irshad keliru syariah



Oleh Zanariah Abd Mutalib
zanariah@bharian.com.my

Penerbit pertikai JAWI, cadang ambil tindakan undang-undang

KUALA LUMPUR : Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan buku Allah, Liberty & Love serta versi terjemahan bahasa Melayu, Allah, Kebebasan dan Cinta.

Keputusan dibuat berdasarkan laporan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang mendapati ia mengandungi unsur yang boleh mengelirukan orang awam serta menyalahi syariah yang ditetapkan al-Quran dan hadis.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop, berkata kandungan buku tulisan Irshad Manji itu juga boleh menggemparkan fikiran orang ramai serta memudaratkan keselamatan dan ketenteraman awam, manakala perintah larangan dibuat berdasarkan Seksyen 7 Subseksyen 1 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984.

Antara unsur mengelirukan dan menyalahi syariah adalah:
  • Perkahwinan campur antara Islam dan bukan Islam sebagai sesuatu yang harus yang boleh menjurus kepada pluralisme;
  • Penghinaan terhadap Rasulullah SAW yang boleh mencemar kesucian Islam;
  • Mempertahankan fahaman sekularisme dengan mencampur-aduk nilai akidah; dan
  • Solat fardu lima waktu boleh didirikan dalam pelbagai pergerakan dan bahasa serta dilakukan lebih lima kali sehari.
Abu Seman berkata, ia boleh menimbulkan kekeliruan kepada orang awam mengenai solat, selain mendorong pemikiran kepada logik akal semata-mata dalam ijtihad dan menolak konsep ijmak yang dikhuatiri menggalakkan interpretasi hukum agama yang tidak berpegang kepada nas al-Quran dan hadis.

Berita Harian semalam melaporkan JAKIM memutuskan buku itu bertentangan dengan ajaran Islam.

Berikutan itu, JAKIM mengemukakan perakuan kepada KDN meminta penjualan buku karya warga Kanada kelahiran Uganda itu diharamkan.

Kelmarin, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) merampas tujuh buku berkenaan termasuk tiga versi bahasa Inggeris dan empat versi bahasa Melayu di sebuah kedai buku di ibu negara.

Sementara itu, penerbit buku dalam versi Bahasa Melayu, ZI Publications Sdn Bhd mempertikaikan rampasan buku oleh JAWI yang didakwa dibuat tanpa mengikut lunas undang-undang.

Pengarahnya, Ezra Zaid, berkata pihaknya sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang termasuk memfailkan saman untuk semakan kehakiman terhadap JAWI, selain tuntutan ganti rugi.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama JAWI, Wan Jaapar Wan Ahmad, berkata JAWI mempunyai kuasa merampas buku itu yang dijual di sekitar Kuala Lumpur mengikut Sekyen 13, Akta 559 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 yang melarang mana-mana pihak mencetak, menyiar, menerbit, merakam dan mengedar buku berkenaan selepas didapati bertentangan dengan syarak.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan