Ahad, 24 Jun 2012

ISU PENDIDIKAN : Apabila pendidikan dipolitikkan


MASA depan anak-anak kita perlu diberi lebih perhatian daripada hanya menjadi mangsa politik pilihan raya yang menjejaskan pendidikan dan perpaduan negara.


POLITIK berasaskan pilihan raya dalam masyarakat berbilang bangsa kadang kala menjejaskan usaha ke arah perpaduan negara.

Tatkala ini kita sedang menyaksikan ia berlaku di Malaysia. Dalam kehangatan persaingan menambat hati pengundi pada pilihan raya yang akan datang, pesaing utama untuk berada di tampuk kuasa mula menggembleng seluruh tenaga dan usaha untuk menonjolkan diri mereka sebagai juara yang memperjuangkan kepentingan kumpulan etnik tertentu.

Ini amat jelas jika diamati pendekatan berkaitan pendidikan dalam bahasa Cina.

Sekolah rendah aliran bahasa Cina adalah sebahagian daripada sistem persekolahan kebangsaan tetapi kini desakan untuk memperbanyakkan sekolah menengah aliran Cina pula mula diketengahkan.

Laungan untuk sekolah menengah persendirian Cina di Kuantan adalah sebahagian daripadanya. Parti politik pembangkang mahupun kerajaan masing-masing menjadikan permintaan ini sebagai modal perjuangan.

Jika had ke atas sekolah menengah persendirian Cina yang kini berjumlah 61 buah dihapuskan, adalah dipercayai jumlah itu akan meningkat secara mendadak dalam masa yang singkat.

Adakah ia akan membawa kepada kemunculan sistem Sekolah Menengah Persendirian Cina yang sejajar dengan sistem Sekolah Menengah Kebangsaan yang berteraskan bahasa Malaysia? Implikasi ini satu kebarangkalian yang harus difahami dalam konteks pengiktirafan universiti-universiti di China oleh kerajaan baru-baru ini.

Pendedahan

Jika bangsa Cina di Malaysia melalui keseluruhan sistem pembelajaran dalam bahasa Cina iaitu dari sekolah rendah hingga ke peringkat universiti, berapa banyakkah kemungkinan pendedahan yang mereka akan tempuhi dengan pelajar-pelajar Malaysia dan guru-guru daripada masyarakat lain? Adakah ini akan menjejaskan sikap dan pandangannya terhadap bangsa lain? Apakah agaknya tanggapan mereka terhadap identiti Malaysia?

Ia bukan sekadar pengasingan eksklusif pendidikan Cina yang akan wujud malah lebih kepada cabaran yang perlu kita hadapi akibat daripadanya. Ramai ibu bapa bangsa Melayu bandar kini memilih pendidikan agama Islam di peringkat sekolah rendah dan menengah untuk anak-anak mereka.

Dengan percambahan universiti dan kolej Islam di negara ini, mereka boleh memilih untuk meneruskan pengajian tinggi mereka dalam persekitaran yang sebahagian besarnya mono etnik dan berteraskan agama. Tidak salah jika dikatakan ia akan memberi kesan negatif kepada hubungan antara kaum dan agama pada masa akan datang.

Terdapat perkembangan semasa lain yang juga akan memberi kesan kepada sekolah kebangsaan. Kerajaan telah membuatkan ia lebih mudah bagi rakyat Malaysia untuk mendaftarkan diri di sekolah-sekolah swasta yang pada hakikatnya akan disahut hanya oleh mereka yang berkedudukan tinggi dalam masyarakat.

Maka ia akan memburukkan lagi pemisahan berdasarkan kelas yang sudah lama berakar umbi dalam masyarakat kita. Segelintir rakyat Malaysia pula mahukan pihak berkuasa untuk membenarkan pendidikan aliran Inggeris, tanpa menimbangkan kesannya terhadap sistem sekolah yang sudah sebegitu terbahagi dalam pelbagai bentuk.

Apakah ini bermakna bahawa tidak ada komitmen yang tinggi terhadap sekolah kebangsaan? Adakah sekolah kebangsaan telah menjadi ‘anak tiri’ kepada sistem pendidikan kita?

Oleh kerana Perlembagaan Malaysia mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, logiknya sekolah kebangsaan dengan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utamanya harus menjadi paksi kepada sistem pendidikan kita.

Saluran

Laporan Razak 1956, iaitu satu-satunya laporan pendidikan yang komprehensif dimiliki negara, mengakui akan perkara tersebut. Ia menekankan tentang peranan sekolah kebangsaan sebagai saluran untuk menggalakkan perpaduan nasional.

Tidak ramai rakyat kita yang menghargai peranan bahasa Melayu sebagai “lingua franca" iaitu bahasa yang memudahkan komunikasi dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik - merangkumi rantau yang luas yang pada hari ini digambarkan sebagai dunia Melayu. Ia berjaya mewujudkan semangat perpaduan budaya dan melahirkan identiti-identiti Melayu yang melampaui jaringan etnik, menjadikan bangsa Melayu sebagai salah satu bangsa yang paling kosmopolitan di muka bumi.

Pada zaman kontemporari, bahasa Melayu, dalam bentuk bahasa Indonesia, juga telah membantu untuk membangunkan identiti kebangsaan daripada kepelbagaian etnik di Indonesia. Bahasa Melayu juga boleh memainkan peranan sedemikian di Malaysia, jika sekolah kebangsaan dijadikan ‘nasional’ dalam erti kata yang sebenar.

Untuk menjadi ‘nasional’, sekolah berbahasa Malaysia perlu muncul sebagai sekolah pilihan pertama untuk semua rakyat Malaysia. Kualiti perlu ditingkatkan dengan ketara.

Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain perlu diajar dengan baik seperti juga mata pelajaran teras seperti Matematik, Sains dan Sejarah. Ibu bapa juga akan kagum dengan sekolah jika disiplin pelajar dikuatkuasakan dengan tegas dalam persekitaran yang penyayang.

Guru-guru yang berwibawa dan berdedikasi akan menjadi prasyarat penting untuk sistem sekolah. Mereka bukan hanya sekadar mencurah pengetahuan dan kemahiran malah akan cuba membentuk golongan muda di bawah jagaannya supaya menjadi manusia yang jujur dan amanah. Guru perlu melayan semua pelajar, tanpa mengira latar belakang mereka, dengan adil dan saksama.

Komuniti tenaga pengajar sekolah kebangsaan seharusnya lebih berbilang kaum dan berbilang agama daripada apa yang ada sekarang. Lebih ramai bukan Melayu dan bukan Islam perlu dilantik sebagai Pengetua Sekolah dan Penolong Kanan. Di daerah, peringkat negeri dan nasional, pejabat atau jabatan pendidikan harus mencerminkan komposisi multietnik negara. Bangsa Dayak dan Kadazan yang berkelayakan harus diberikan peranan pentadbiran di luar Sarawak dan Sabah.

Apa yang dimaksudkan adalah dalam tiga elemen komponen sistem pendidikan - pentadbir, guru dan pelajar - kemampuan perlu diiktiraf dan diberi ganjaran. Barulah sistem pendidikan akan dilihat menggalakkan kebolehan dan kecemerlangan yang memberi keyakinan kepada ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah kebangsaan.

Pada masa sama, sekolah kebangsaan harus menghulurkan bantuan kepada pelajar yang kurang bernasib baik, tanpa mengira fahaman agama atau latar belakang budaya.

Secara ringkasnya, transformasi keseluruhan sekolah kebangsaan perlu dilakukan. Kementerian Pelajaran, saya pasti sedang berusaha ke arah matlamat ini. Ia adalah transformasi yang akan dijalankan seiring dengan perubahan asas yang lain kepada sistem pendidikan secara keseluruhan.

Sebagai permulaan, marilah kita cuba untuk mengurangkan impak politik pilihan raya ke atas pendidikan dan perpaduan negara.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen