PUTRAJAYA : Ia adalah langkah terakhirnya sebagai seorang
penjawat awam tetapi bagi bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan,
ia juga adalah langkah permulaan kepada satu kehidupan baru.
Sidek, yang kini berusia 61 tahun buat kali terakhirnya
bertugas sebagai pegawai kerajaan pada jam 5 petang Jumaat.
Beliau telah berkhidmat tanpa henti dengan perkhidmatan awam
selama 38 tahun dengan menyandang jawatan paling tinggi sebagai pegawai
kerajaan selama enam tahun.
Tidak ada jawatan yang paling tinggi dalam perkhidmatan awam
melainkan jawatan ketua setiausaha negara yang juga bertindak sebagai
setiausaha kepada jemaah menteri.
Mohd Sidek yang dilahirkan pada 24 Jun 1951 di Pahang,
dilantik sebagai KSN pada 3 September 2006 sehingga bersara wajib pada 23 Jun
2007 setelah mencapai umur 56 tahun.
Bagaimanapun beliau dilantik semula secara kontrak sebagai
KSN untuk tempoh dua tahun mulai 24 Jun 2007 dan perkhidmatannya itu kemudian
dilanjutkan beberapa kali mengikut tempoh kontrak sehinggalah 23 Jun 2012.
Beliau memulakan perkhidmatannya sebagai penjawat awam pada
1974 dalam perkhidmatan tadbir dan diplomatik, Kementerian Perdagangan
Antarabangsa dan Industri.
Walaupun majlis perpisahannya sebagai pegawai kerajaan
diadakan secara sederhana sahaja tetapi lebih 500 kakitangan termasuk wakil
dari semua 24 buah kementerian hadir untuk berjabat tangan dan mengucapkan
selamat tinggal kepadanya.
Beliau berkata sepanjang berkhidmat, beliau berusaha
memberikan perkhidmatan yang terbaik dengan memperkenal pelbagai pembaharuan
dan perubahan bagi mengukuhkan prestasi dan budaya penyampaian awam yang
cemerlang.
Sementara itu, di dalam laman web rasmi KSN, Mohd Sidek
menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada penjawat awam kerana membantunya
melunaskan tanggungjawab selama ini.
"Bagi sesetengah pihak, saya bukan seorang yang mudah
untuk bekerja, malah tindakan-tindakan saya kadang-kadang dianggap terlalu
tegas dan kasar. Namun niat saya sebenar-benarnya semata-mata untuk melakukan
yang betul dan terbaik," katanya.
Ini kerana setiap tindakan dan keputusan yang dibuat adalah
berdasarkan kepada prinsip antaranya integriti, kesegeraan, mengutamakan
pelanggan, kolaborasi dan kerjasama, inovasi dan kreativiti, konsultasi dan
penglibatan, meningkatkan kemahiran dan menimba ilmu, kata beliau.
Mohd Sidek turut merakamkan penghargaan dan terima kasih
kepada pucuk pimpinan negara yang telah menaruh kepercayaan kepada beliau untuk
menerajui perkhidmatan awam.
“Setakat yang saya terdaya saya telah melakukan yang terbaik
dalam berkhidmat kepada negara saya dan juga saya telah melakukan yang terbaik
untuk mengubah set minda para kakitangan awam agar memberikan perkhidmatan yang
terbaik.
“Dan kini saya percaya, KSN yang baru akan terus menerima
sokongan sepertimana yang saya terima daripada semua kakitangan awam,"
ujarnya.
Datuk Seri Dr Ali Hamsa, yang merupakan Ketua Pengarah Unit
Kerjasama Awam-Swasta di Jabatan Perdana Menteri akan mengambil alih jawatan
KSN daripada Sidek secara rasminya Isnin depan.
Sumber : http : //www.mstar.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan