Sabtu, 7 Julai 2012

ISU BAHASA : Gapena protes Mandarin disama taraf dengan BM


GEORGE TOWN - Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) tidak bersetuju dengan tuntutan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), yang mahu bahasa Mandarin menjadi bahasa  pengantar utama di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina di seluruh negara.

Ketua Satu Gapena, Profesor Datuk Wira Abdul Latiff Abu Bakar berkata, tuntutan itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi negara ini

"Bahasa lain tidak harus dijadikan modal untuk mencabar bahasa kebangsaan negara ini," katanya ketika berucap pada perjumpaan siri wacana Gapena di Dewan Sekolah Menengah (Perempuan) St. George hari ini.

Beliau berkata Gapena akan menghantar memorandum akhir Julai ini kepada kerajaan Persekutuan agar mengabaikan tuntutan jawatankuasa itu.

"Kami menggesa semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyokong kami dan menyertai kami dalam memperjuang kedudukan bahasa Malaysia," katanya.

Antara kandungan memorandum itu ialah menuntut agar diadakan semula silibus lisan bagi memastikan semua rakyat fasih bertutur bahasa kebangsaan dalam kehidupan seharian mereka.

Abdul Latiff juga mengingatkan masyarakat agar menghormati bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, dan bukan menganggap ia sebagai bahasa yang menunjukkan perbezaan kaum. - Bernama


Nota Hujung :


Sebagai imbasan berikut disenaraikan tuntutan Dong Zong  terhadap Kementerian Pelajaran Malaysia:

1. Memindah keluar semua guru yang tidak mempunyai kelayakan Bahasa Mandarin peringkat SPM dari sekolah rendah Cina

2. Menyediakan kursus khas untuk guru Bahasa Mandarin yang mengajar Bahasa Melayu (BM) atau Bahasa Inggeris (BI) sekurang-kurangnya bagi tempoh tiga tahun, bagi membolehkan mereka layak untuk mengajar ketiga-tiga mata pelajaran iaitu Bahasa Mandarin, BM dan BI

3. Membuat reformasi silibus latihan guru bagi memastikan lebih ramai guru boleh berbahasa Mandarin yang diperlukan di sekolah-sekolah Cina

4. Mengkaji semula Akta Pendidikan bagi memastikan sekolah vernakular diberi status yang sama dan dijamin kedudukannya sebagai sebahagian sistem pendidikan kebangsaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan