Selasa, 24 Julai 2012

ISU EKONOMI : Memajukan sektor penjagaan kesihatan



Oleh AZMAN ANUAR
rencana@utusan.com.my


ESOK saham-saham Integrated Healthcare Holdings Bhd. (IHH), sayap penjagaan kesihatan Khazanah Nasional Berhad secara rasmi akan didagangkan di Bursa Malaysia.

Kejayaan penyenaraian IHH adalah satu lagi bukti kemantapan ekonomi dan kedudukan kewangan Malaysia walaupun dalam suasana ekonomi global yang tidak menentu berikutan krisis euro.

Selepas tawaran awam permulaan (IPO) Felda Global Ventures Holding (FGV) disenaraikan pada Jun lalu, kini IPO IHH menjadi buruan para pelabur. IHH adalah sebuah syarikat pengendali rangkaian perubatan swasta ke dua terbesar di dunia yang dikuasai oleh Khazanah. Harga tawaran saham IHH pada RM2.80 di Malaysia dan S$1.113 di Singapura dengan jumlah tawaran sebanyak 2.23 bilion saham biasa merupakan tawaran ketiga terbesar di dunia selepas Facebook dan FGV.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis pelancaran prospektus IHH baru-baru ini berkata, penyenaraian IHH menjadi petanda perkembangan signifikan perancangan negara ke arah melupuskan syarikat-syarikat milik kerajaan.

Penyenaraian IHH juga, katanya, akan mengukuhkan lagi pembangunan dan kematangan sektor penjagaan kesihatan swasta Malaysia dan muncul sebagai penggiat utama di peringkat antarabangsa.

Najib berkata, penyenaraian IHH merupakan contoh mengenai komitmen strategi rasionalisasi Khazanah yang jelas dan teratur, yang menyatukan perniagaan terbaik dalam kelasnya menerusi penggabungan, pengambilalihan dan usaha sama.

"Menerusi penyenaraian itu, IHH akan memperkukuh peranannya sebagai kuasa utama dalam sektor penjagaan kesihatan global," katanya.

Pada zahirnya, penyenaraian serentak di bursa saham Malaysia dan Singapura akan menjadikan IHH sebagai tawaran awam permulaan keempat terbesar di Singapura dan kedua terbesar di Malaysia selepas FGV.

Kejayaan besar Khazanah menguasai perkhidmatan penjagaan kesihatan bertaraf dunia dalam tempoh beberapa tahun sahaja sekali gus meletakkan IHH dan rangkaian hospital terbesar di Asia merangkumi negara seperti Malaysia, Singapura, India, China, Brunei dan Emiriyah Arab Bersatu sebagai pengendali pusat kesihatan kedua terbesar dunia di belakang Hospital Corporation, Amerika Syarikat.

Rangkaian hospital yang tersedia ini akan memantapkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi pakar perubatan tempatan dan antarabangsa.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai baru-baru ini menegaskan bahawa bidang pelancongan kesihatan mencatatkan pendapatan RM511 juta tahun lalu, melebihi sasaran kementerian tersebut.

Pelancongan Kesihatan menunjukkan pencapaian dan pertumbuhannya meningkat 20 peratus setahun. Tahun ini kementerian itu menyasarkan pendapatan mencapai RM600 juta.

Pertumbuhan positif ekonomi negara-negara di Asia bermakna permintaan yang tinggi terhadap penjagaan kesihatan juga. Malaysia wajar berbangga kerana memiliki rangkaian penjagaan kesihatan kedua terbesar di dunia melalui Khazanah, pelaburan strategik yang membolehkan Malaysia bertukar menjadi negara bertaraf dunia.

Sejak Januari hingga Mei lalu kira-kira 236,836 pelancong tiba di negara ini untuk mendapat khidmat perubatan. Kehadiran mereka memberi perolehan RM200.4 juta kepada negara. Kebanyakan pesakit datang untuk rawatan jantung atau ortopedik, tetapi permintaan untuk khidmat kecantikan juga semakin meningkat.

Angka ini juga menunjukkan pesakit-pesakit dari negara luar datang untuk mendapat rawatan daripada pakar-pakar perubatan yang ada di negara ini.

Tiong Lai ketika merasmikan Persidangan dan Pameran Penjagaan Kesihatan Antarabangsa Ke-20 pada Rabu lalu juga menyatakan Malaysia mempunyai 5,000 doktor pakar dan daripada jumlah itu kira-kira 3,000 doktor pakar kini berkhidmat dalam sektor awam.

Beliau juga menggesa hospital swasta melatih lebih ramai pakar sendiri untuk membantu kerajaan menangani kekurangan doktor pakar di negara ini.

IHH yang mempunyai rangkaian antarabangsa menyediakan tenaga pakar 'tambahan' yang diperlukan. Melalui perkhidmatan globalnya, kesan yang dijangkakan ialah kepulangan doktor-doktor pakar ke Malaysia.

Berbanding dengan pertumbuhan biasa penjagaan kesihatan, rangkaian global IHH menyediakan platform kepada pakar atau pengamal perubatan untuk meningkat maju.

Rangkaian global IHH yang sedia ada juga membolehkan cross training yang bakal memberikan pendedahan serta memperluaskan pengetahuan doktor-doktor pakar dan bakal-bakal doktor.

Langkah ini bakal membangunkan dan memperkukuh industri perkhidmatan penjagaan kesihatan negara. IHH dijangka menaikkan taraf tenaga kerja dan perkhidmatan yang ditawarkannya sama ada di rantau ini mahupun di peringkat antarabangsa.

Perancangan yang diatur rapi oleh Khazanah selama beberapa tahun lalu telah meletakkan Malaysia sebagai salah satu hab pelancongan kesihatan dan sekali gus memperlihatkan langkah transformasi yang diambil Perdana Menteri dalam melaksanakan Model Baru Ekonomi (MBE) khususnya dalam bidang penjagaan kesihatan, kini mula memperlihatkan hasilnya iaitu mentransformasikan Malaysia antara penggiat utama dalam sektor penjagaan kesihatan dunia.

IHH menerusi syarikat yang dikuasainya mengendalikan 83 hospital dengan 12,316 katil.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan