Selasa, 17 Julai 2012

ISU KENEGARAAN : Semarakkan sambutan kemerdekaan dengan bendera kebangsaan


Oleh : MOHD. AYOP ABD RAZID

BULAN Ogos dan September merupakan bulan-bulan bersejarah buat negara kita yang tercinta. Ogos adalah bulan kemerdekaan, manakala September merupakan Hari Malaysia. Negara kita merdeka pada 31 Ogos 1957, manakala penubuhan Malaysia pula ialah pada 16 September 1963. Ini bermakna pada tahun ini kita menyambut hari kemerdekaan negara ke-55 dan Hari Malaysia ke-49.

Antara aktiviti yang boleh dikatakan wajib bagi menyambut bulan kemerdekaan ialah mengibarkan 'Jalur Gemilang', bendera kebanggaan negara. Bagi mereka yang nipis sifat kenegaraannya mungkin akan bertanya, "apa faedahnya mengibarkan bendera" Sebaliknya, bagi mereka yang faham dan menebal semangat kenegaraannya akan berfikir secara positif erti sebuah bendera.

Walaupun bendera hanyalah selembar kain yang dicorakkan dengan warna dan lukisan tertentu, namun bagi rakyat yang tinggi sifat patriotisme melihat Jalur Gemilang mempunyai nilai dan darjat yang cukup istimewa.

Memang makna dan erti sebuah bendera sangat dalam dan berharga. Bagi sebuah negara berdaulat, bendera merupakan simbol dan juga identiti penting bagi negara itu. Bendera melambangkan kedaulatan, kemerdekaan dan kebebasan sesebuah negara. Ia juga memiliki makna ideologi bagi negara itu.

Kajian ilmu tentang bendera (ilmu veksilologi ) yang diasaskan oleh Whitney Smith, 1957 adalah bukti begitu pentingnya nilai dan makna bendera bagi bangsa yang bertamadun. Kajian tentang bendera ini cukup luas cakupannya merangkumi sejarahnya, reka bentuknya, bahagian-bahagian dari bendera tersebut, gaya, warna, gambarnya, protokol-protokol bendera dan apa jua yang berkaitan dengan bendera.

Sepanjang sejarahnya, bendera yang digunakan oleh pelbagai bangsa dan negara itu mempunyai variasi (kepelbagaian) yang unik. Pada awalnya, bendera digunakan untuk membezakan pihak yang sedang berperang. Dalam sejarah Perang Salib antara Islam dan Kristian, kedua-kedua pasukan terbabit akan membawa dan mengibarkan bendera mereka bagi membakar semangat tentera dan rakyatnya.

Tugas memegang bendera biasanya akan diserahkan kepada seorang atau beberapa pahlawan yang kental semangat juangnya agar tidak jatuh ke tanah. Mereka akan mempertahankan bendera masing-masing sebagai lambang kedaulatan.

Penggunaan bendera kemudiannya berkembang sebagai simbol kelompok masyarakat, kelompok agama serta kelompok-kelompok lainnya. Akhirnya, bendera menjadi simbol negara-bangsa dan juga organisasi-organisasi seperti yang kita kenal sekarang.

Jelaslah bahawa kewujudan bendera itu mempunyai akar umbinya tersendiri. Seorang warganegara yang baik dan prihatin terhadap kedaulatan negaranya akan memberikan penghormatan sewajarnya terhadap bendera tanah airnya. Ia tidak akan memijak, menconteng dan mengoyakkan bendera tanah airnya.

Ia juga akan memastikan bendera yang ingin dikibarkan itu berada dalam keadaan yang baik dan sempurna. Bendera akan dilipat dan dibentangkannya dengan baik dan tertib serta diletakkan di tempat yang bersih dan layak.

Bendera bagi sesebuah negara turut dihargai oleh negara atau bangsa lain. Misalnya, apabila ketua tertinggi sesebuah negara itu mengadakan kunjungan hormat ke sebuah negara lain maka bendera negara tamu itu akan turut dikibarkan mengikut protokolnya. Dalam pertandingan sukan antarabangsa, bendera negara-negara yang mengambil bahagian akan dikibarkan dengan megahnya.

Namun, kerap juga berlaku bendera bagi sebuah negara dijadikan sasaran oleh negara lain terutamanya ketika saat krisis kedua-dua negara itu menjadi genting. Mungkin rakyat dari salah sebuah negara yang berkrisis itu menunjukkan kemarahan atau protes mereka dengan cara membakar, mengoyak, menginjak-injak bendera seterunya.

Justeru, sudah sewajarnya di seluruh pelosok tanah air, pada saat bulan kemerdekaan ini terutama menjelang 31 Ogos yang semakin hampir ini, maka sepatutnya kita dapat menyaksikan kibaran Jalur Gemilang di premis-premis bangunan, kediaman dan kenderaan.

Apatah lagi jika ia dilakukan dengan penuh penghayatan terhadap erti sebuah kemerdekaan. Oleh itu, aktiviti tradisi patriotisme mengibarkan bendera kemegahan negara pada setiap bulan Ogos tidak boleh dilunturkan dari sanubari rakyat negara ini.

Justeru, untuk merangsang, membangkit dan melonjakkan momentum kibaran Jalur Gemilang ini maka Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan akan menganjurkan program "Kibaran Jalur Gemilang" sebagai aktiviti menyemarakkan sambutan bulan kemerdekaan negara ke-55.

Program yang dinaungi oleh Datuk Seri Dr. Rais Yatim, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan ini akan diadakan  17 Julai 2012 (Selasa) di tiga lokasi di sekitar Kuala Lumpur. Lokasi-lokasi tersebut ialah di Kampung Baru, Jalan Petaling dan Little India, Brickfield.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan beberapa orang menteri akan turut serta dalam program ini. Alangkah meriahnya seandainya orang ramai, khususnya yang berada di lokasi-lokasi di mana program ini berlangsung dapat turut serta di lokasi-lokasi yang terbabit.

PENULIS ialah Penganalisis Media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen