Sabtu, 21 Julai 2012

ISU PENDIDIKAN : Jangan salah langkah urus pendidikan


Oleh : Noor Azam
 
‘Hanya bangsa sendiri tahu keperluan kita’.

Pengumuman Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengenai rancangan ‘merombak secara besar-besaran Dasar Pendidikan Negara’ dan saranan Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) supaya sekolah diberikan kuasa autonomi, mendorong saya menulis lagi mengenai isu pendidikan. Kedua-dua cadangan ini amat penting dan pasti akan banyak sekali mengubah sistem pendidikan kita yang sudah berjalan sejak Penyata Razak (1956) dan Laporan Rahman Talib (1960).

Persoalan yang timbul, apakah kesan kepada masa depan anak kita. Mereka akan jadi insan jenis apa dan apakah kesannya kepada cita-cita pembentukan satu bangsa Malaysia?

Di samping transformasi politik, pendidikanlah yang akan menentukan wajah, semangat dan sikap generasi akan datang. Inilah cabaran paling utama terhadap Dasar dan Sistem Pendidikan Negara kita.

Untuk menangani tuntutan parti politik, pertubuhan kaum dan juga perubahan sosial-politik-ekonomi, sistem pendidikan kita sudah mengalami banyak sekali perubahan yang positif dan juga negatif. Ada antara perubahan itu bertentangan dengan semangat dan matlamat yang termaktub dalam Penyata Razak dan tergelincir daripada landasan. Inilah sebabnya kita sudah gagal memenuhi hajat Tun Abdul Razak Hussein hendak meletakkan anak kita di bawah satu bumbung sekolah yang menggunakan bahasa pengantar Bahasa Melayu. Gagasan Sekolah Wawasan pun tak tercapai.

Menurut laporan akhbar: “Dasar Pendidikan Negara bakal dirombak semula mulai tahun depan bagi mewujudkan sistem lebih berkualiti serta mampu melahirkan modal insan yang dapat menyumbang kepada perkembangan ekonomi seiring dengan usaha ke arah menuju negara berpendapatan tinggi.”

Nyatalah matlamat Dasar dan Sistem Pendidikan kita yang baharu, adalah untuk melahirkan rakyat yang dapat menyumbang kepada ‘perkembangan ekonomi’ supaya matlamat akhir ‘negara berpendapatan tinggi’ dapat dicapai.

Tidak ada matlamat untuk melahirkan warga negara yang menjunjung tinggi Perlembagaan dan Rukun Negara. Tiada juga matlamat untuk mewujudkan kestabilan sosial-politik dan ekonomi dan perpaduan nasional. Ini bermakna pendidikan kewarganegaraan tidak mendapat tempat dalam dasar dan sistem yang baharu nanti. Kita tidak seharusnya terpengaruh kepada mentaliti komersial sehingga melihat insan sebagai ‘modal’ semata. Istilah dan konsep ‘modal’ adalah istilah komersial – bukan istilah pendidikan.

Ramai yang berpendapat, kita perlu menimbang semula cadangan ‘pelan pembangunan dan pelan strategik pendidikan’ yang akan ‘mengambil kira pandangan UNESCO, Bank Dunia, hasil kajian panel bebas dan panel antarabangsa yang dilantik’.

Baguskah pendapat Bank Dunia, panel bebas dan panel antarabangsa dibawa masuk untuk merumuskan dasar dan sistem pendidikan kita? Siapakah anggota panel bebas dan panel antarabangsa itu? Di manakah mereka berdiri?

Selepas 55 tahun merdeka dan dengan kemajuan yang disanjung oleh dunia, kita tentulah tidak kekurangan ahli dalam pelbagai bidang untuk menyusun suatu dasar dan sistem pendidikan yang wajar untuk kita sendiri. Hanya bangsa kita sendiri yang betul-betul tahu akan masalah dan keperluan kita dan dapat menghayati aspirasi Perlembagaan dan Rukun Negara kita. Jika bangsa kita tidak mampu bagaimana institusi pengajian tinggi awam (IPTA) boleh diberikan status autonomi.

Guru sering merungut kerana tugas mereka bertambah-tambah, di samping tuntutan mengajar yang semakin rumit. Bayangkan apa yang akan terjadi apabila sekolah diberi kuasa dan tugas menguruskan kewangan dan bangunan. Apa pula yang dimaksudkan dengan tugas ‘memilih kemasukan pelajar’? Ditambah pula dengan tugas ‘mengurus sendiri disiplin dan kebajikan pelajar’. Inilah autonomi cadangan KGMMB.

Sekolah kita akan jadi seperti sebuah syarikat yang di dalamnya ada macam-macam pegawai dan fungsi. Akan jadi ‘sekolah swasta’ yang dibiayai oleh kerajaan. Mudah-mudahan kita tidak tersalah langkah.

Kita mengharapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang meneruskan usaha ayahandanya mengangkat taraf hidup rakyat miskin tidak bertanah dan membawa FELDA ke persada dunia antarabangsa akan meneruskan semangat dan cita-cita ayahandanya yang tersurat dan tersirat dalam Penyata Razak.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen