Isnin, 23 Julai 2012

ISU PERKHIDMATAN AWAM : Cuepacs Gesa SPA Wujud Mekanisme Ambil Semula Penjawat Awam



Kuala Lumpur : Tindakan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) mengambil semula penjawat awam yang telah berhenti untuk berkhidmat, perlu melalui satu mekanisme, saran Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman berkata cadangan SPA itu baik, bagaimanapun satu mekanisme bagi memastikan kriteria mereka yang boleh diambil semula bekerja dengan perkhidmatan itu perlu diadakan.

Ini supaya tidak menjejaskan kelayakan pegawai yang sedang berkhidmat dalam sektor awam untuk mendapat kenaikan pangkat.

"Kami sambut baik cadangan SPA itu tetapi mereka (SPA) perlu fikir mekanisme yang melayakkan mereka untuk diambil semula bekerja dalam sektor awam, kerana ramai penjawat awam yang sedang berkhidmat dan mereka mempunyai prestasi yang baik.

"Mereka perlu ada satu keistimewaan atau potensi yang dapat dilihat untuk diambil semula, seperti contoh pengalaman dan produktiviti mereka," katanya.

Sebuah akhbar tempatan hari ini menlaporkan Pengerusi SPA Tan Sri Mahmood Adam berkata SPA akan mengkaji semula untuk membenarkan mereka yang berhenti dari sektor awam untuk kembali semua bekerja dalam perkhidmatan awam.

Omar berkata pada masa ini, petugas kerajaan yang berhenti tidak dibenarkan kembali semula berkhidmat dalam perkhidmatan awam, dan peraturan itu merugikan kerajaan kerana pengalaman mereka yang luas dan banyak.

"Kami mahu mengkaji semula bagi membolehkan mereka bekerja semula, tetapi perlu melalui permohonan seperti orang lain," katanya.

Sementara itu, Omar berkata sebelum seseorang ingin memohon ke dalam perkhidmatan awam atau mengisi borang permohonan pekerjaan, mereka perlu memastikan yang mereka mempunyai rekod bersih agar tidak timbul sebarang masalah semasa proses pengambilan bekerja.

Beliau mengulas sistem baru yang digunapakai SPA yang boleh mengesan status dan rekod pemohon kerja melalui sistem yang dihubungkan dengan pelbagai agensi termasuk Kementerian Dalam Negeri.

Sistem itu turut disambungkan dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi membolehkan SPA mengenal pasti calon yang mempunyai rekod buruk lebih awal. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan