Rabu, 11 Julai 2012

ISU SOSIAL : Wujudkan NKRA tangani jenayah komersial


Oleh ROHAMI SHAFIE

BIDANG Keberhasilan Utama Negara (NKRA) berkaitan dengan menangani jenayah jalanan telah dilaksanakan dengan baik apabila kadar jenayah ini telah berjaya dikurangkan pada kadar yang terendah.

Ini secara tidak langsung telah memberi kesan positif terhadap nama negara apabila Malaysia diiktiraf oleh World Justice Project sebagai negara yang paling selamat di kalangan 19 buah negara berpendapatan sederhana tinggi di dunia.

Pengiktirafan ini membantu melonjakkan ekonomi Malaysia. Sebagai antara elemen terpenting dalam merancakkan aktiviti ekonomi negara, kestabilan dan keamanan negara tidak boleh sama sekali dipinggirkan.

Mustahil sesebuah kerajaan mampu melaksanakan dasar ekonomi dengan baik jika negara tersebut tidak aman dan kerap kacau bilau. Keamanan adalah suatu nikmat yang perlu disyukuri oleh kita.

Ketika negara-negara lain bergelut untuk mengharungi krisis ekonomi, Malaysia masih boleh bertahan bahkan telah menunjukkan prestasi ekonomi yang memberangsangkan berbanding negara-negara lain di dunia.

Namun, di sebalik peningkatan aktiviti ekonomi negara, ia telah menarik minat para penjenayah komersial untuk menjalankan 'aktiviti' mereka.

Menurut perangkaan Polis Diraja Malaysia (PDRM), kerugian akibat jenayah komersial adalah dianggarkan sebanyak RM100 juta setiap bulan dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Jenayah ini semakin meningkat dengan kehadiran warga Afrika yang menipu dengan pelbagai cara. Mereka ini amat berani dan licik serta sanggup menggunakan warganegara Malaysia untuk turut serta menipu rakyat Malaysia sendiri.

Penipuan siber adalah modus operandi utama mereka. Tidak ketinggalan ada di antara mereka mengklonkan kad kredit. Rakyat Malaysia pula mudah ditipu oleh mereka.

Baru-baru ini penulis sendiri hampir diperdayakan oleh mereka ketika membuat transaksi melalui internet. Penjenayah siber atau lebih dikenali sebagai pengodam (hacker) mengetahui segala maklumat yang sedang penulis urusniagakan melalui internet.

Disebabkan masalah teknikal, penulis tidak dapat menghabiskan transaksi berkenaan. Ketika itulah pengodam berkenaan menelefon penulis dan bagi meyakinkan penulis bahawa beliau adalah kakitangan syarikat berkenaan, segala maklumat transaksi penulis disebut satu persatu tanpa adanya kesilapan.

Penulis hanya tersedar apabila beliau meminta nombor kad kredit berserta tarikh luput kad kredit dan tiga nombor digit terakhir di belakang kad kredit berkenaan. Atas langkah keselamatan, maklumat tersebut tidak diberikan.

Penulis juga bertanyakan nama beliau, namun nama samaran yang diberikan kepada penulis, kononnya ini adalah polisi syarikat.

Ketika inilah penulis berasa beliau sedang melakukan penipuan dan akhirnya tidak melayan permintaan beliau. Selepas beliau meletak telefon, penulis cuba menelefon kembali beliau tetapi panggilan tidak dapat disambungkan kerana nombor telefon berkenaan 'tidak wujud'.

Tidak tahulah apa yang akan terjadi jika segala maklumat yang diminta diberikan kepada beliau. Penulis mungkin akan mengalami kerugian yang besar. Cukup licik penjenayah komersial ini.

Penulis amat yakin, ramai yang telah ditipu oleh penggodam berkenaan dan berkemungkinan besar beliau bekerja secara profesional sebagai pengodam kad kredit.

Jumlah kerugian yang diberikan oleh PDRM mungkin lebih besar lagi jika dilihat saban hari ada sahaja berita mengenai jenayah komersial sama ada yang dilaporkan oleh media massa mahupun yang tidak dilaporkan.

Maka, penulis ingin mencadangkan agar kerajaan menjadikan jenayah komersial sebagai salah satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA). Tangani jenayah komersial secara berkesan. Memang benar, jenayah komersial sukar dibanteras berbanding jenayah jalanan kerana kebanyakan mereka yang melakukannya adalah golongan profesional yang berpendidikan tinggi.

Umpamanya jenayah siber melalui perkhidmatan memalsukan sijil ijazah sebuah universiti tempatan baru-baru ini. Perjualan sijil ijazah bukan sahaja berlaku di Malaysia malahan berlaku di seluruh dunia.

Mereka yang menawarkan sijil palsu mengetahui ramai pihak yang mahukan ijazah tanpa belajar di universiti. Mereka ini pun dikategorikan sebagai penjenayah kerana mahukan jalan singkat bagi membolehkan orang lain mengiktirafkan "kelayakan" mereka.

Sewajarnya mereka juga perlu ditangkap bukan sahaja pihak yang menawarkan sijil ijazah yang palsu.

Terdapat juga kes pekerja yang diambil dengan dibayar gaji mengikut 'sijil' tetapi akhirnya penipuan telah berjaya dibongkarkan.

Apakah akan terjadi jika terdapat begitu banyak kes sebegini di Malaysia terutamanya lambakan pekerja warga asing di Malaysia yang tidak diketahui kesahihan kelayakan dan kompetensi mereka kecuali sekadar sehelai sijil yang mudah dipalsukan?

Mereka ini dibayar gaji berlipat kali ganda berbanding rakyat Malaysia tetapi melihat sumbangan mereka tidak setimpal dengan kelayakan sijil berbanding sumbangan pekerja Malaysia.

Yang rugi bukan sahaja para pekerja Malaysia dan majikan tetapi juga negara kerana mengalami kerugian berganda. Pertama kerugian ditipu 'kelayakan' mereka yang akhirnya sumbangan mereka amat rendah berbanding rakyat Malaysia. Kedua kerugian wang yang dibawa keluar ke negara mereka.

Justeru, tatkala kerajaan menyasarkan 73 peratus pelaburan langsung domestik (DDI) berbanding 27 peratus pelaburan langsung asing (FDI) menjelang tahun 2020, sudah sampai masanya menangani jenayah komersial dijadikan sebagai salah satu NKRA.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan Dan Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Pengurusan dan Perniagaan, Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan