Ahad, 12 Ogos 2012

ISU PENGAJIAN TINGGI : Apabila pendidikan jadi komoditi perdagangan


Oleh : Dzulkifli Abdul Razak
 
Kebelakangan ini kita sering terbaca bagaimana sukarnya untuk mengendalikan sesebuah universiti, khususnya yang bukan ditaja Kementerian Pengajian Tinggi. Soal utama sudah tentu bersangkutan dengan hal kewangan kerana secara lazimnya sesebuah universiti itu adalah satu pelaburan yang besar dan hanya mendatangkan ‘pulangan’ dalam masa yang agak lama.

Berbeza dengan perniagaan lain, umpamanya dari aspek pembuatan, pendidikan (walau ingin dianggap sebagai perniagaan) tidak dapat disamakan daripada kefahaman untung rugi bagi sesebuah perniagaan.

Bayangkan saja selain daripada pelaburan untuk membangunkan hal ehwal akademik, universiti terpaksa juga melabur mengenai pembangunan hal-ehwal pelajar termasuk prasarana seperti tempat rehat mereka, jika tidak asrama, tempat beriadah dan bersukan, mahupun segala peralatan yang sesuai kerana ini semua termasuk dalam pengertian pendidikan sebenarnya.

Sekiranya aspek penyelidikan diambil kira untuk sebuah universiti yang dianggap baik, ini akan menelan kos tambahan yang banyak.

Hatta tanpa keupayaan menanggung pembiayaan secara berterusan kekangan kewangan sudah tentu menjadi penghalang besar bukan saja untuk mencemerlangkan sesebuah institusi itu tetapi baik setakat untuk bernafas lega sekali pun.

Oleh sebab itu jugalah di merata dunia kini, termasuk negara ekonomi kaya sekalipun, yuran pengajian anak tempatan ditingkatkan berlipat kali ganda. Contoh yang jelas ialah apa yang berlaku di Britain sejak kebelakangan ini apabila yuran dinaikkan hampir tiga kali ganda mencecah £9,000.

Bezanya di Malaysia adalah rata-rata yuran pengajian dikawal oleh kerajaan menerusi kementerian dan tidak boleh ditingkatkan sewenang-wenangnya. Oleh itu, di Malaysia yuran pengajian secara umumnya tidak dapat dijadikan sumber utama pendapatan untuk tujuan menampung pembangunan universiti keseluruhannya.

Perkara ini menjadi lebih rumit lagi sekiranya diambil kira aspek autonomi yang memberi kebebasan kepada universiti untuk memimpin, mengurus dan mentadbir mengikut matlamat dan falsafah masing-masing.

Universiti swasta, misalnya boleh menentukan kadar yuran sendiri kerana daya pasaran mampu mendukungnya atau mengadakan pelbagai program berbentuk komersial bagi tujuan menampung pembiayaan universiti berkenaan.

Itu belum lagi mengambil kira perubahan mendadak yang berlaku kepada pengajian tinggi di seluruh dunia, termasuk penggunaan teknologi canggih untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran.

Malah kepelbagaian kini dikatakan sebagai tonggak penting mendapatkan pengalaman untuk pengajian tinggi. Ia bermaksud keupayaan menampung pembiayaan seumpama ini juga diperlukan sekiranya universiti berkenaan mahu menarik minat pelajar mendaftar untuk mengikuti programnya.

Pendek kata, pembiayaan akan jadi lebih meruncing, terutama apabila program pertukaran itu membabitkan negara maju dengan kos sara hidup yang lebih tinggi. Memandangkan semua ini ramai pakar pendidikan mengatakan bahawa untuk menguruskan sesebuah universiti bukan semudah dijangka. Malah ada yang menganggap bahawa universiti adalah satu-satunya organisasi sukar untuk diurus.

Urus tadbir korporat atau perniagaan yang sering dikenakan kepada universiti rata-rata tidak sesuai jika diambil kira pandangan alam sesebuah universiti sebagai satu institusi yang mementingkan kemakmuran negara dan masyarakat mendahului kepentingan lain.

Dalam hal ini, universiti mempunyai aspirasi tinggi sebagai institusi yang pasrah mencari kebenaran bersumberkan ilmu pengetahuan, sambil warganya berazam mempertahankan kebenaran sepenuh jiwa raga sebagai ilmuwan.

Pertimbangan seumpama inilah yang membuatkan universiti itu begitu sukar diurus tanpa berkompromi dengan soal pokok yang mutlak bagi perkembangan ilmu. Ini menjadi semakin rumit jika kefahaman pendidikan diselewengkan pula oleh pihak lain sebagai satu komoditi yang boleh diperdagangkan untuk menampung perjalanan universiti berkenaan, sekali gus menggadaikan apa itu ‘kebenaran’ serta nilai yang berkaitan dengannya.

Umumnya universiti yang cenderung kepada mencari keuntungan mendahului soal kebenaran sudah hilang sifat dan fungsinya sebagai sebuah universiti yang hakiki.

Penulis ialah Naib Canselor Universiti Antarabangsa Albukhary dan bekas Naib Canselor USM (2000-2011)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen