Oleh Azrina Sobian
Lihat di sekeliling kita, satu
persatu masalah alam sekitar boleh dikenal pasti. Daripada masalah bersifat
tempatan seperti banjir, tanah runtuh serta peningkatan jumlah sampah hinggalah
kepada masalah merentasi sempadan seperti jerebu dan hujan asid.
Tidak ketinggalan masalah alam
sekitar yang bersifat global seperti masalah penipisan ozon dan pemanasan
global. Semua masalah ini pastinya menjanjikan kehidupan tidak enak bagi
keseluruhan umat manusia. Oleh sebab kehidupan moden manusia dan masalah alam
sekitar tidak mungkin dipisahkan, maka jalan penyelesaian kepada masalah ini
amat diperlukan. Penyelesaian holistik termasuk aspek sosial, ekonomi, politik,
sains dan teknologi adalah gabungan terbaik menyelesaikan masalah persekitaran.
Adab manusia terhadap alam
Usaha menggabungkan agama dalam
pemuliharaan alam sekitar juga wajar diteroka. Harapan kita cuma satu, supaya
saluran agama dapat membantu menyentuh hati dan menjadikan manusia beradab
terhadap alam ini.
Walaupun ia agak asing di
Malaysia, namun usaha ini sudah menjadi kebiasaan pada peringkat antarabangsa.
Contohnya, usaha Jawatankuasa
Bantuan Kebuluran Oxford (Oxfam) bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan
Muslim Aid yang membantu umat Islam di beberapa negara seperti Bangladesh,
Bosnia, Kemboja, Gambia, Indonesia, India, Iraq, Jordan, Kenya, Lebanon,
Pakistan, Somalia, Sri Lanka dan Sudan.
Begitu juga usaha Aga Khan
Development Network, kumpulan Muslim yang membantu masyarakat di negara membangun.
Persekutuan Hidupan Liar Sedunia (WWF) yang telah sekian lama bekerjasama
dengan pelbagai kumpulan agama dalam usaha pemuliharaan alam sekitar.
Malah, Bank Dunia turut
bekerjasama dengan komuniti agama untuk mengurangkan kemiskinan dan
mempromosikan pemuliharaan alam sekitar di negara membangun.
Merujuk khusus kepada agama
Islam, usaha menggabungkan agama dalam program pemuliharaan alam sekitar wajar
dilakukan kerana, agama, komuniti serta negara Islam tidak terkecuali
berhadapan pelbagai masalah alam sekitar.
Sebahagian besar masyarakat Islam
kini hidup di negara dikategorikan sebagai negara membangun dan miskin. Bagi
negara Islam membangun, tekanan untuk membentuk kekayaan atau menjadi negara
maju menyebabkan pembangunan menjadi keutamaan berbanding pemuliharaan alam
sekitar.
Bagi negara miskin pula,
kemiskinan dan hutang negara menyebabkan berlakunya penghakisan sumber alam
secara intensif demi untuk melunaskan hutang negara mahupun sekadar untuk
memastikan kelangsungan hidup rakyatnya.
Pada masa sama, kehidupan dan
keyakinan beragama yang masih menjadi pegangan masyarakat Islam di seluruh
dunia, mahupun Malaysia seharusnya menjadi satu motivasi yang kuat untuk
menggabungkan agama dalam pemuliharaan alam sekitar.
Ketua agama sertai program
kesedaran
Rasa yakin dan hormat kepada
ketua agama pula memungkinkan individu ini menjadi ‘watak utama’ dalam usaha
pemuliharaan alam sekitar. Di seluruh dunia, usaha membabitkan ketua agama
dalam pelbagai program kesedaran bukanlah satu perkara baru.
Di Pakistan dan beberapa negara
Afrika, pembabitan ketua agama dalam program kesedaran HIV/AIDS dan kesihatan
reproduktif menunjukkan tahap kejayaan membanggakan. Oleh itu, jika usaha ini
boleh dilakukan kenapa tidak ia dilaksanakan dalam program pemuliharaan alam
sekitar?
Di Malaysia, sudah ada usaha
menggabungkan agama dalam pemuliharaan alam sekitar seperti dapat dilihat
daripada usaha WWF Malaysia mengajak imam dalam rancangan pemuliharaan Penyu di
Terengganu dan pemuliharaan harimau di Perak.
Contoh lain, beberapa surau dan
masjid di sekitar Selangor terbabit program kitar semula minyak masak untuk
biodiesel. Namun usaha ini belum begitu menyeluruh. Oleh itu, perlu ada usaha
meningkatkan kerjasama agama, ketua agama dan komuniti agama dalam program
pemuliharaan alam sekitar.
Pertubuhan bukan kerajaan Islam
serta program dialog antara agama masa kini terlalu memberikan perhatian
terhadap isu mempertahankan kepercayaan dan kedudukan agama. Isu alam sekitar
kurang diberikan perhatian.
Oleh itu, mungkin sudah tiba
masanya hal ini diubah dan alam sekitar menjadi satu agenda penting dalam
manifesto serta kegiatan pelbagai pertubuhan berasaskan Islam di negara ini.
Lagipun, di Malaysia terdapat begitu banyak surau, masjid serta sekolah agama.
Cuba bayangkan jika setiap satu
institusi ini menjalankan aktiviti pemuliharaan alam sekitar, sudah pasti ini
akan memberi kesan yang baik terhadap usaha pemuliharaan, pendidikan dan
kesedaran alam sekitar.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan