Sabtu, 8 September 2012

ISU PENDIDIKAN : Pelan pendidikan baru bakal dilancar


Oleh : NIZAM YATIM

PADA Selasa ini, satu peristiwa bersejarah bakal dilakarkan apabila dilancarkan laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan (PPP) 2013-2025.

Laporan awal itu yang akan dilancarkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bertujuan menghasilkan modal insan unggul, kreatif, berkemahiran tinggi dan berdaya saing di peringkat antarabangsa melalui sistem pendidikan yang berkualiti dan bertaraf dunia.

Selepas pelancaran laporan awal dalam bentuk dokumen itu yang mengandungi pandangan, cadangan dan maklum balas untuk mempertingkatkan sistem pendidikan negara, ia akan dipaparkan untuk dilihat orang ramai.

Orang ramai boleh meneliti dokumen awal tersebut dan mengemukakan pelbagai cadangan tambahan sebelum ia dimuktamadkan pada penghujung tahun ini.

Sebahagian daripada cadangan itu diperoleh daripada Dialog Nasional Pendidikan Negara 2012 yang telah diadakan di seluruh negara dengan dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid Wan Mohd. Nordin.

Sesi dialog itu telah membolehkan segenap lapisan masyarakat seperti golongan petani, pemandu teksi, pekerja kilang, peniaga, warga pendidik hinggalah kepada pelbagai latar belakang kumpulan profesional mengemukakan cadangan.

Selain dialog, pandangan juga diperoleh melalui Twitter, Facebook dan laman-laman web. Ia juga mengambil kira pandangan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Bank Dunia, hasil kajian 12 panel bebas, empat panel antarabangsa yang dilantik, laporan daripada enam Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan sembilan makmal pendidikan.

Dokumen awal PPP itu akan memaparkan pelbagai cadangan yang melibatkan sembilan bidang utama yang dianggap kritikal untuk mentransformasi pendidikan negara dan perlu diberikan perhatian oleh kerajaan.

Pertama, memartabatkan profesion keguruan. Untuk itu, Kementerian Pelajaran akan memberi fokus kepada usaha meningkatkan kualiti guru melalui pengambilan calon-calon guru yang memiliki keputusan akademik cemerlang serta meningkatkan kualiti latihan praperkhidmatan dan dalam perkhidmatan untuk guru.

Di samping itu, kementerian akan menambah bilangan guru dengan nisbah satu guru bagi setiap 13 murid, iaitu melebihi purata antarabangsa satu guru bagi setiap 16 murid.

Kedua, meningkat kualiti kepimpinan sekolah. Antara kaedah yang dilaksanakan adalah memberikan ganjaran kepada pengetua dan guru besar yang menunjukkan pencapaian cemerlang dalam meningkatkan prestasi sekolah.

Ia juga melibatkan langkah memperkenalkan kaedah pemilihan pengetua dan guru besar berasaskan merit dan pelan peralihan kepimpinan sekolah yang berkesan.

Ketiga, meningkatkan kualiti sekolah yang sekali gus akan meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran. Antara ciri-ciri sekolah berkualiti adalah yang mempunyai kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Untuk tujuan ini, kerajaan akan meningkatkan kemudahan ICT kepada sekolah termasuk kemudahan jalur lebar dan internet berkelajuan tinggi bagi memudahkan murid mengakses maklumat di dunia maya.

Keempat, memantapkan kualiti kurikulum dan pentaksiran untuk menyediakan modal insan abad ke-21.

Keutamaan yang diberikan adalah untuk membina satu kurikulum yang memenuhi piawaian antarabangsa dengan menekankan aspek kemahiran kreatif, penyelesaian masalah dan inovasi yang merupakan ramuan utama untuk melahirkan modal insan yang mampu untuk bersaing di peringkat global.

Kelima, meningkatkan penguasaan pelbagai bahasa di kalangan murid. Ia akan dilaksanakan tanpa menjejaskan kepentingan penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di negara kita.

Langkah meningkatkan penguasaan bahasa ketiga seperti Mandarin, Tamil, Arab dan bahasa-bahasa antarabangsa lain adalah selaras dengan kemunculan kuasa baru ekonomi dunia yang sebahagiannya bertumpu di negara-negara Asia.

Keenam, menekankan penglibatan ibu bapa, sektor swasta dan masyarakat sebagai rakan kongsi dalam pendidikan.

Satu aspek yang diberikan penekanan dalam kajian semula pendidikan ini adalah peranan pihak berkepentingan di luar lingkungan sekolah untuk berganding bahu dengan pihak sekolah dalam usaha meningkatkan pencapaian murid.

Ketujuh, meningkatkan kesediaan murid untuk merebut peluang dalam pendidikan tinggi dan pasaran kerja. Pelan pendidikan baru ini akan melengkapkan pelajar dengan ilmu dan kemahiran yang akan membolehkan mereka memasuki pasaran kerja dalam sektor yang berdaya saing.

Untuk tujuan itu, di samping menguasai literasi dan numerasi, murid-murid akan dilengkapkan dengan kemahiran abad ke-21 seperti kualiti kepimpinan, kemahiran menyelesaikan masalah, pemikiran aturan tinggi (higher order thinking) dan kebolehan berkomunikasi dengan berkesan.

Kelapan, memperbaiki kecekapan dan keberkesanan pengurusan sumber. Ini bermakna, Kementerian Pelajaran akan mengurus sumber dengan cekap bagi mengelakkan ketirisan dan pembaziran serta memastikan sumber diagih secara optimum agar pulangan yang maksimum terhasil daripada setiap ringgit yang dibelanjakan untuk pendidikan.

Kesembilan, membina kemampuan serta keupayaan sistem penyampaian pendidikan. Ini bermakna, kualiti kepimpinan dan susunan urus tadbir kementerian akan diberikan perhatian yang utama dalam usaha untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan fungsi pegawai di setiap peringkat.

Ia akan melibatkan kira-kira 10,000 pegawai di peringkat kementerian, 6,000 di peringkat negeri, 4,000 di peringkat daerah dan 420,000 guru di sekolah.

Kepada orang ramai yang sedang menanti-nantikan pelancaran laporan awal PPP, marilah kita sama-sama mengemukakan pelbagai cadangan membina supaya ia menjadi pelan pendidikan yang melambangkan aspirasi rakyat seluruhnya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan